Julai 2, 2021 @ 11:30am
Jurulatih Kasper Hjulmand memberikan penerangan pada sesi latihan Denmark dekat Elsinore, Denmark. - EPA
BAKU: Denmark kini mengimpikan untuk mengikut jejak langkah skuad yang mencipta kejutan meraih gelaran Eropah pada 1992, namun Republik Czech yang pernah menghantar mereka pulang akan menjadi penghalang buat mereka ke separuh akhir Euro 2020 awal pagi Ahad ini.
Skuad Denmark berdepan bahaya tersingkir awal selepas kalah pada peringkat kumpulan kepada Finland dan Belgium, perlawanan pertama itu dibayangi Christian Eriksen mengalami 'cardiac arrest' di padang.
Namun dibantu sokongan padu di Copenhagen, mereka membelasah Russia 4-1 untuk kedudukan kedua Kumpulan B, sebelum berkunjung ke Amsterdam dan membenam Wales 4-0 pada kelompok 16 terakhir.
Denmark tidak pernah mara ke kejohanan utama sejak merangkul trofi berkenaan 29 tahun lalu, pada kejohanan sebenarnya mereka tidak layak tetapi pada saat akhir menggantikan Yugoslavia.
"Ia peluang yang mungkin tidak akan datang sekali lagi," kata jurulatih Kasper Hjulmand menjelang pertemuan dengan Republik Czech dekat Baku.
"Ia kerja keras bertahun lamanya oleh banyak pihak. Kami mahu mengambil sepenuhnya peluang ini."
Skuad dari Scandinavia itu semakin kuat dalam kejohanan kali ini dan sedar kemenangan di Azerbaijan akan memberikan mereka penampilan dalam kelompok empat terakhir bertemu sama ada England atau Ukraine di Wembley.
Pemain remaja, Mikkel Damsgaard menyinar selepas mengambil tempat Eriksen pada perlaewanan kedua kumpulan, menjaringkan gol pembukaan menakjubkan ketika berdepan Russia.
"Perlawanan menentang Wales adalah yang terbesar dalam karier saya," katanya.
"Perlawanan berikutnya akan menjadi pertembungan terbesar saya pernah bermain, jadi ia bertambah gila buat saya." - AFP.1
___________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/834580/euro-denmark-mahu-ulangi-kejayaan-1992
No comments:
Post a Comment