Ad

Sunday, 4 July 2021

Luqman makin 'power'

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



KEMASUKAN Luqman berjaya kucar-kacirkan benteng lawan. FOTO Ihsan KV Kortrijk

Kuala Lumpur: Makin lama makin meletup!

Begitulah peningkatan yang ditunjukkan bintang bola sepak negara, Luqman Hakim Shamsudin apabila makin bersinar bersama kelabnya, KV Kortrijk (KVK) di Belgium ketika ini.

Ia susulan aksi menarik yang diperagakan pemain berusia 19 tahun itu selepas membantu KVK menewaskan kelab terkemuka Belgium, Club Brugee 1-0 pada aksi pramusim semalam.

Biarpun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada lima minit terakhir babak kedua, kelincahan Luqman dilihat berjaya mengucar kacirkan benteng pertahanan lawan yang gagal mengekang kepantasannya.

Akhirnya, gol yang dicari-cari menjelma pada minit ke-88 menerusi Nihad Mujakic yang melepaskan rembatan padu untuk menewaskan penjaga gol Club Brugee.

Walaupun Luqman tidak menjaringkan gol, kemasukan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu dilihat berjaya membawa impak kepada jentera serangan pasukan yang sebelum itu sukar memecah bentang lawan.

Bagaimanapun, kehadiran Luqman mengubah corak serangan dan jaringan Mujakic adalah hasil gerakan pemain Harimau Malaya itu yang membuka ruang buat rakan sepasukannya itu melepaskan tendangan.

Apa yang pasti, Luqman dilihat semakin matang dan tidak mustahil akan diberi peranan lebih besar lagi selepas ini untuk menghadapi musim baharu Liga Belgium.

Terdahulu, dia juga beraksi cemerlang ketika KVK menewaskan KRC Harelbeke 5-0 pada 23 Jun lalu dan ini adalah kali kedua pengendali pasukan, Luka Elsner menurunkan Luqman dalam aksi persahabatan.

KVK akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang SC Heerenveen pada Sabtu sebelum memulakan kempen liga menentang RFC Seraing pada 25 Julai ini.

Disiarkan pada: Julai 4, 2021 @ 1:22pm.1

______________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/726279/luqman-makin-power

No comments:

Post a Comment