Oleh Rizar Mohd Noor - Jun 30, 2021 @ 11:26pm
rizar@mediaprima.com.my
Pengendali JDT, Benjamin Mora (kiri) dan kapten pasukan, Farizal Marlias pada sidang media di Bangkok menjelang aksi bertemu Pohang Steelers di Stadium Rajamangala. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal membuat rombakan kecil di posisi pertahanan apabila turun berdepan Pohang Steelers pada aksi pusingan kedua Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok.
Pengendali pasukan, Benjamin Mora terpaksa berbuat demikian selepas Mauricio Dos Santos dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham menjalani penggantungan gara-gara mengumpul dua kad kuning.
Pada pertemuan pertama dalam aksi di Stadium Rajamangala, Isnin lalu, skuad Harimau Selatan tewas 1-4 kepada kelab dari Korea Selatan kendalian Kim Gi-dong itu.
"Kami tidak dapat turunkan Mauricio kerana di gantung satu perlawanan tapi kami sudah kenal pasti pemain yang akan mengisi kekosongan tempatnya untuk bergandingan bersama Shane (Lowry). Malah posisi Azrif (Nasrulhaq Badrul Hisham) juga ada pengganti.
"Ini adalah kali kedua kami menentang Pohang. Sudah tentu ia peluang terbaik untuk menebus kesilapan pada pusingan pertama sekali gus memperbaiki corak permainan yang lebih konsisten. Malah kami tahu cara mereka beraksi.
"Kami bersaing di pentas ACL semestinya mahu buktikan sesuatu dan ia bukan sekadar melengkapkan jadual perlawanan. Kami pasti akan turun dengan lebih mantap pada tiga aksi seterusnya bermula dengan menentang kelab dari Korea Selatan itu," katanya.
Mora berkata selepas mengharungi tiga perlawanan yang sukar terutama tekanan pada aspek fizikal dan mental akibat jadual padat, barisan pemainnya kini sudah sedia susulan melalui proses pemulihan tersusun.
Sementara itu, kapten pasukan Farizal Marlias bertekad untuk bangkit bersama rakan sepasukan pada aksi menentang Pohang, sekali gus membalas dendam kekalahan Isnin lalu.
"Ia peluang terbaik untuk tebus kesilapan lalu. Kami berada di landasan terbaik untuk menang pada aksi lalu selepas mendahului 1-0, namun tiga sepakan penalti yang diberikankepada pasukan meranapkan segala harapan.
"Itulah bola sepak, namun aksi kali kedua adalah episod berbeza kerana kami perlu raih mata penuh untuk kekal bersaing di pentas ACL. Harapan kami adalah untuk melakar kejutan," katanya.1
__________________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/834141/mora-lakukan-rombakan-jumpa-pohang
No comments:
Post a Comment