Oleh Meja Sukan
30 Jun 2021, 8:16 pm
PETALING JAYA: Ia mungkin cerita lama dan ramai sudah mengetahuinya, namun beberapa hari selepas badan bola sepak dunia, FIFA mengumumkan senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman, peminat kembali ‘mengorek’ kisah kehebatan legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.
Kisah Mokhtar pernah ditawarkan untuk beraksi bersama gergasi bola sepak Eropah, Real Madrid menjadi perbualan paling hangat di media sosial hari ini.
Tawaran itu hadir selepas penyerang legenda Selangor tersebut membantu Pilihan Malaysia mengikat gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal 2-2 dalam aksi persahabatan pada 1972.
Selain Real Madrid, Mokhtar turut menarik minat beberapa kelab terbaik EPL, namun semuanya ditolak atas dasar ingin terus menabur bakti kepada Red Giants dan Malaysia.
Selepas pemergian Mokhtar yang terkenal dengan julukan ‘Supermokh’ pada 11 Julai 1991, tiada pemain sehebatnya pernah dilahirkan oleh Malaysia sehingga hari ini.
Kegemilangan yang dicipta Mokhtar dan rakan-rakan seperjuangan pada era 1970-an serta 1980-an memberikan inspirasi kepada bola sepak negara sehingga kini, malah sekolah pembangunan bola sepak kebangsaan yang dibina di Gambang, Pahang turut diberi nama Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Kelmarin, FIFA dalam Twitter rasminya mengeluarkan senarai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman dengan nama Mokhtar berada di kedudukan ketiga menerusi 89 gol, berada di belakang dua legenda dunia, Cristiano Ronaldo (Portugal) dan Ali Daei (Iran) yang berkongsi rekod 109 jaringan.1
__________________________________
1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/supermokh-pernah-tolak-tawaran-real-madrid/
No comments:
Post a Comment