Ad

Tuesday, 2 June 2015

Sistem bas elektrik atasi kesesakan di Lembah Klang - PM

ISNIN, 1 JUN 2015 @ 7:05 PM

Oleh Mohd Hamizar Hamid mizar@bh.com.my 
PERDANA Menteri menandatangani plak pelancaran Sistem BRT-Sunway Line sambil diperhatikan Ismail (dua kiri) dan Jeffrey Cheah (dua kanan). - Foto Sairien Nafis KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi melancarkan Sistem Bas Rapid Transit Sunway Line (BRT-Sunway Line), sistem pengangkutan elektrik yang pertama di negara ini bagi mengurangkan kesesakan trafik di Lembah Klang. Perdana Menteri berkata, projek kerjasama awam swasta (PPP) antara Prasarana Malaysia Bhd dan Sunway Bhd itu turut direkodkan di dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Katanya, projek berkenaan yang siap tiga minggu awal dari masa disasarkan juga bakal menyaksikan pengurangan pelepasan karbon apabila orang ramai mula menggunakan perkhidmatan itu. 
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menaiki Bas Rapid Transit (BRT) di Majlis Pelancaran Sistem Bas Rapid Transit (BRT) di Bandar Sunway. - Foto Sairien Nafis "Pelaksanaan projek itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang berkesan serta mudah digunakan rakyat," katanya berucap merasmikan Sistem Bas Rapid Transit (BRT) Pertama Di Malaysia, BRT-Laluan Sunway di sini, petang tadi. Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, Tan Sri Ismail Adam dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah. Sistem BRT- Laluan Sunway yang merangkumi laluan bertingkat sejauh 5.4 kilometer itu menempatkan tujuh buah stesen dari Sunway-Setia Jaya hingga USJ7 dekat sini. Kos pembinaan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam itu membabitkan sejumlah RM634 juta. Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM23 bilion bagi pembinaan jajaran Transit Aliran Massa (MRT) menghubungkan Sungai Buloh-Putrajaya dan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) ketiga menghubungkan Bandar Utara-Shah Alam-Klang. "Kita memilih NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Pengangkutan Awam kerana tidak berjaya mewujudkan sistem pengangkutan bersepadu dan berintegrasi sepenuhnya. "Justeru, kita mewujudkan Prasarana dan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) supaya dapat menyelaraskan pengangkutan awam," katanya. Pada majlis itu, Najib turut mencuba perkhidmatan BRT selain diberi penghormatan mengumumkan kadar percuma bagi perkhidmatan berkenaan untuk tempoh dua bulan bermula esok. Sebanyak 15 bas disediakan bagi perkhidmatan itu dengan kapasiti 67 penumpang bagi setiap bas yang akan bergerak dengan kelajuan 80 kilometer sejam. Sementara itu, jurucakap Prasarana berkata, dalam tempoh dua bulan hingga 1 Ogos ini juga, pengguna ditawarkan kadar parkir promosi RM4 sehari di Kompleks Park n Ride BRT.


Sumber: http://www.bharian.com.my/node/58510

Gary ikrar beri aksi terbaik


Tahap kecergasan masih lagi menghimpit pemain tengah Gary Steven Robbat (gambar) namun dia bersedia beraksi ke tahap maksimum untuk membantu skuad Bawah 23 (B-23) negara mengatasi Vietnam pada perlawanan kedua Kumpulan B Sukan SEA Singpura di Stadium Bishan, hari ini.

Selepas digantung perlawanan tiga bulan Januari lalu akibat pelanggaran kontrak, perlawanan pertama dengan Timor Leste, Sabtu lalu, tempoh paling lama Gary berada di atas padang bagi aksi kompetitif tahun ini.

Biarpun hanya beraksi 70 minit sebelum digantikan dengan Saiful Ridzuwan Selamat, sumbangan pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu cukup penting buat pasukan ketika menewaskan Timor Leste 1-0 dengan 10 pemain.

“Ini kali pertama saya beraksi 70 minit dalam perlawanan kompetitif tahun ini. Saya pernah bermain dalam perlawanan persahabatan sebelum ini tapi tidak sampai 70 minit.

“Saya memang nak main sepenuh masa, saya akan cuba mempertingkatkan tahap kecergasan dan permainan lebih baik. Memang sukar sebab sudah enam bulan tak main sepenuh masa,” katanya selepas perlawanan semalam.

Gary menjadi watak penting penguasaan bola Malaysia ketika bertahan dan menyerang namun bertemu Vietnam, gandingannya di bahagian tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor tidak beraksi kerana digantung perlawanan.

Ini menyaksikan tugas Gary lebih mencabar bertemu Vietnam yang tampil antara pasukan pilihan bersama Thailand dalam Kumpulan B.

Ketiadaan Nazmi, bekas pemain Harimau Muda A itu mungkin menyebabkan Gary bergandingan dengan Muhammad Ariff Farhan Md Isa atau Ridzuwan.

“Masa Nazmi ada, kami beraksi dengan yakin. Tapi selepas dia keluar susah sikit sebab kami terpaksa menukar corak permainan kepada bertahan.

“Vietnam memang lawan sukar, kita kena lawan habis-habisan kali ini. Kita pernah lawan mereka sebelum ini dan tahu kekuatan dan kelemahan mereka,” kata Gary yang bersama Harimau Malaya menewaskan Vietnam pada separuh akhir Piala AFF 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 8:44 AM

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/55078#sthash.xRVAczCd.dpuf

Nazmi perlu bimbingan

 Oleh Mohd Firdaus Hashim -firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Jangan salahkan dia (Muhammad Nazmi Faiz Mansor) seorang, sebaliknya semua pihak di sekelilingnya perlu turut bertanggungjawab,” kata bekas jurulatih dan pemain kebangsaan, Bakri Ibni.

Bukan mahu menegakkan perbuatan keterlaluan tonggak tengah Selangor itu, sebaliknya Bakri percaya Nazmi tidak seharusnya dipersalahkan 100 peratus kerana baginya pembentukan sikap positif seseorang pemain itu bermula dengan rakan-rakan, keluarga, jurulatih dan pasukan diwakilinya.

“Menyalahkan dia bulat-bulat dalam insiden itu tidak wajar walaupun saya akui tindakan meludah pemain lawan itu salah dan tidak sepatutnya dilakukan,” katanya, semalam.

Bakri menyuarakan isi hatinya susulan tindakan pemain tengah itu meludah pertahanan Timor Leste, Filipe Oliveira yang mengundang layangan kad merah sekali gus menyukarkan skuad Bawah 23 (B-23) negara mencipta kemenangan selesa dalam aksi pertama, Sabtu lalu.

“Sebenarnya pembikinan pemain itu bermula daripada rakan-rakan, keluarga dan jurulatih. Kalau ketika pembikinan pemain itu tidak disalurkan nilai-nilai murni, maka hasilnya juga kurang sempurna.

“Semua itu disebabkan persekitaran yang membentuk perilaku pemain terutama pasukan muda negara yang sepatutnya memiliki disiplin tinggi.

“Apabila berlakunya insiden seperti itu, mengapa pemain saja dipersalahkan? Walhal, dia juga berjuang demi negara dengan sanggup berkorban tenaga, masa dan segala-galanya.

“Sepatutnya semua pihak beri panduan dan nasihat agar dia menjadi pemain yang baik,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut Bakri, bakat yang dimiliki pemain berusia 21 tahun itu amat luar biasa hingga berjaya memikat kelab Eropah seperti Beira Mar FC di Portugal, namun secara tiba-tiba sentuhannya hilang disebabkan persekitaran yang tidak membantu.

“Saya pernah jumpa dia sekali di Wisma FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Saya katakan kepadanya, dia pemain paling bertuah yang mempunyai bakat semula jadi.

“Sekiranya betul cara didikan, saya percaya dia boleh dibentuk menjadi pemain dengan gaya permainan tiki-taka kerana memang mempunyai kebolehan bermain seperti itu,” katanya yang pernah membantu Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 untuk layak ke Olimpik 1980 Moscow.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 8:46 AM
DISYORKAN

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/55082#sthash.wdU7aIpd.dpuf

Monday, 1 June 2015

'Kita boleh perbaiki lagi

'WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Jun 2015
'Kita boleh perbaiki lagi'
'Kita boleh perbaiki lagi' Semangat berpasukan masih kukuh dikalangan pemain.
PENJARING gol tunggal skuad  bawah 23 tahun (B-23), D Saarvindran menganggap situasi sukar yang dialami rakan sepasukannya Nazmi Faiz Mansor boleh berlaku dalam mana-mana pasukan.

Jelasnya, apa yang berlaku itu akan dihadapi bersama rakan sepasukan kerana dalam pasukan ia umpama sebuah keluarga.

"Apa saja berlaku, kami akan hadapinya bersama. Kami seperti satu keluarga,” ujar kata pemain sayap itu yang meledak gol kemenangan menewaskan Timor Leste pada perlawanan pertama Kumpulan B Sukan Sea Singapura 2015, Sabtu lalu.

Bekas pemain Harimau Muda A yang kini beraksi dengan Pahang itu mengakui mereka mampu mencatat kemenangan lebih selesa jika bermain dengan 11 pemain.

“Beraksi dengan 10 pemain memang boleh berlaku dalam  mana-mana perlawanan,  kami kena terima sebagai satu pasukan.

“Kita  boleh buat lebih baik tapi disebabkan kekurangan pemain, kita tidak boleh terlalu menyerang.

“Saya percaya kita boleh perbaikinya pada perlawanan seterusnya,” katanya yang kembali beraksi secara kompetitif selepas berehat hampir 11 bulan akibat kecederaan buku lali.
Sumber-SINARHARIAN ONLINE 2 Jun 2015


Kim Swee akui kelebihan Vietnam

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Jun 2015
Kim Swee akui kelebihan Vietnam
Kim Swee akui kelebihan Vietnam Gary perlu lebih agresif mengekang pergerakan pemain Vietnam. - FOTO : KHAIRIL AJHAR JAAFAR / WWW.ASIANA.MY

PENGENDALI skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee mengakui kelebihan kualiti dimiliki Vietnam yang dibekalkan ramai pemain berkualiti dari segi teknik dan kepantasan permainan bakal memberikan saingan sengit barisan pemainnya.

Selain itu, sentuhan jurulatih dari Jepun, Toshiya Miura sememangnya tidak perlu dipertikaikan berdasarkan kemenangan besar 6-0 menewaskan Brunei pada aksi sulung, Jumaat lalu.

Namun bagi Kim Swee semua itu perlu dilalui untuk memastikan tiga mata penuh sebelum berdepan dengan Thailand pada perlawanan seterusnya.

Berdasarkan pengamatan Kim Swee ketika Vietnam menang besar ke atas Brunei, beberapa pemain lawan yang memberi impak pada pasukan disenaraikan bergerak melalui sayap.

"Pemain yang menjadi tonggak penting kepada Vietnam ialah ketua pasukan, Pham Manh Dung, Do Duy Manh dan nombor Nguyen Huy Hung di bahagian tengah.

"Mereka bertiga beraksi dengan cukup baik di bahagian kiri, jadi perancangan perlu dilakukan bagi menyekat pergerakan pemain ini," katanya.

Ketiadaan Nazmi kemungkinan membuka peluang kepada dua lagi pemain, Mohd Ariff Farhan Mohd Isa dan Saiful Ridzuwan mengintai slot di bahagian tengah untuk bergandingan dengan Gary Steven Robbat serta Mohd Amirul Hisyam Awang Kechik.

"Tanpa Nazmi, saya terpaksa menukar sistem permainan kami, namun bagi pemain, mereka tiada masalah  dan saya masih ada beberapa pemain lain yang boleh diturunkan menggantikan tempatnya.
"Mohd Ariff Farhan dan Saiful Ridzuwan boleh mengisi kekosongan tersebut," jelasnya.

Sumber-SINARHARIAN ONLINE 2 Jun 2015

Dollah: Pemain benar-benar layak tersenarai


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Jun 2015
 Dollah: Pemain benar-benar layak tersenarai
Dollah: Pemain benar-benar layak tersenarai Dollah (kiri) tetap memberikan ruang pemainnya bukti kemampuan.

MELIHAT 31 pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat menjelang aksi persahabatan menentang Hong Kong, Sabtu ini, Pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh memberi jaminan pemain akan diberikan ruang mempamerkan kemampuan masing-masing.

Jelasnya,  selepas berakhirnya perlawanan berdepan Tottenham Hotspur, Rabu lalu, semangat pemain begitu baik dan keputusan mengekalkan semua pemain bagi latihan pusat fasa kedua dibuat.

“Walaupun 23 pemain akan dikekalkan selepas aksi dengan Hong Kong, saya melihat mereka bersaing secara sihat untuk merebut tempat dan ia sikap yang amat positif.

“Tapi saya akan beri peluang semua pemain dan akan memilih yang benar-benar layak untuk disenaraikan kali ini,” katanya.

Dengan aksi terdekat itu, Dollah mahu perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam berkenaan diguna sebaik mungkin bagi mencuri perhatiannya sebelum senarai akhir 23 pemain diumumkan untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Berdasarkan jadual kelayakan Piala Dunia itu, Malaysia bakal menentang Timor Leste pada 11 Jun ini, sebelum berdepan Palestin, lima hari kemudian dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sumber-SINARHARIAN ONLINE 2 Jun 2015

Natasha Ezzra enggan tertekan dengan sasaran pingat emas


 
NATASHA EZZRA tekad memberikan aksi terbaik dalam acara lawan pedang tanpa mahu tertekan dengan sasaran pingat emas.

SINGAPURA – Atlet lawan pedang wanita negara, Natasha Ezzra Abu Bakar enggan terlalu awal memikirkan mengenai peluang untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2015 kali ini.

Ini kerana atlet berusia 23 tahun itu tidak mahu mele­takkan dirinya dalam keadaan tertekan lebih-lebih lagi dalam acara foil perseorangan wanita yang akan membuka tirainya di Arena OCBC, Singapura esok.

Begitupun, Natasha Ezzra akan tetap memberikan persembahan terbaik kerana dia mempunyai matlamat peribadi iaitu melakar kejayaan lebih cemerlang daripada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia.

“Saya ada sasaran peribadi pada temasya kali ini iaitu untuk memperbaiki pencapaian lalu. Kalau boleh saya mahu masuk ke final sebab dulu (2011) saya sekadar memena­ngi pingat gangsa.

“Kalau boleh saya memang nak pingat emas, saya akan cuba yang terbaik tetapi buat masa ini saya tak merasai tekanan lagi. Malah sebenarnya, saya tak mahu fikir lagi. Saya mahu beraksi seperti biasa sahaja,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada temasya di Palembang, empat tahun lalu, atlet kelahiran Johor itu terpaksa berpuas hati berkongsi pingat gangsa dengan Nunta Chantasuvannasin dari Thailand.

Kali ini, Natasha Ezzra menjadi harapan skuad lawan pedang negara apabila dia di­letakkan sasaran untuk me­nyumbang emas kepada kontinjen negara selain Yu Peng Kean dalam acara sabre perseorangan lelaki.

Tiga pingat emas ditawarkan pada hari pertama acara lawan pedang esok iaitu dalam ka­tegori epee dan sabre perseorangan lelaki serta foil perseorangan wanita.

Sebagai rekod, skuad lawan pedang negara berjaya me­raih dua pingat emas dan lima gangsa pada Sukan SEA 2011 sebelum ia tidak dipertandingkan pada temasya di Myanmar dua tahun lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0602&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3bsEqFh5E Hakcipta terpelihara