Ad

Saturday, 5 October 2019

MALAYSIA 3-0 SRI LANKA

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
PEMAIN MALAYSIA
01 FARIZAL MARLIAS
02 MATTHEW DAVIES                                              
03 SHAHRUL SAAD 
08 AIDIL ZAFUAN RAZAK   
06 LAVERE CORBIN-ONG   
15 BRANDEN GAN    
12 AKRAM MAHINAN
11 SAFAWI RASID
09 NORSHARUL IDLAN TALAHA  
19 AKHYAR RASHID           

20 SYAFIQ AHMAD




Tuesday, 1 October 2019

'Azam Cheng Hoe'


MyMetroArena
 
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahukan ‘Azam’ baharu dalam kesebelasan utamanya jika pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih gagal pulih menjelang pertemuan menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, di tempat lawan, pada Khamis depan.

Cheng Hoe berkata, beliau bersama barisan jurulatih sentiasa memantau perkembangan pemain terbabit dan perlu segera mencari pengganti Azam dengan melihat keupayaan anak buahnya yang lain untuk menggalas cabaran mengawal bahagian tengah.

Beliau berkata, Azam dilihat berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik terutama mengawal bahagian tengah pasukan negara pada perlawanan sebelum ini sekali gus ciri berkenaan perlu ada kepada pemain yang bakal menggantikan posisi tonggak Pahang itu kelak.

“Sudah tentu kita akan lihat pengganti lain yang ada jika Azam tidak dapat beraksi menentang Vietnam. Azam kemungkinan besar tidak akan beraksi menentang Sri Lanka Sabtu ini dan kami juga tidak mahu memaksanya beraksi jika tidak pulih sepenuhnya.

“Kami masih lagi memantau keadaan lima pemain yang cedera dan melihat perkembangan mereka termasuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Cheras, di sini, semalam.

Arena Metro semalam melaporkan skuad Harimau Malaya boleh dikatakan tempang apabila lima tonggaknya mengalami kecederaan sekali gus kemungkinan terpaksa melupakan perlawanan akan datang.

Malah, perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka pada Sabtu ini mungkin tidak akan dibarisi Azam dan Daniel Amir yang mengalami kecederaan ketika beraksi bersama pasukan masing-masing pada perlawanan Piala Malaysia baru-baru.

Pemain lain yang turut kemungkinan terpaksa melupakan aksi itu adalah J Partiban, Abdul Halim Saari dan pertahanan kental negara, Shahrul Saad.

Sementara itu, penyerang, Shahrel Fikri mahu mempamerkan persembahan terbaik jika diturunkan pada aksi menentang Vietnam kelak.

Walaupun terpaksa bersaing dengan dua lagi pemain iaitu penyerang veteran Norshahrul Idlan Talaha dan Syafiq Ahmad, dia tetap yakin berpeluang merebut tempat dalam kesebelasan utama.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 6:10 AM

Pintu Harimau Malaya sentiasa terbuka - Cheng Hoe

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd.
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (dua kiri) bersama Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sewaktu sesi latihan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di sini, hari ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
01 Oktober 2019 9:10 PM
KUALA LUMPUR, 1 Okt. - Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan bahawa pintu ke pasukan kebangsaan itu sentiasa terbuka untuk semua pemain yang mempamerkan aksi yang baik.

Bagaimanapun, beliau berkata pemain-pemain harus menepati beberapa kriteria yang ditetapkan seperti faktor umur, mampu menyerapkan cara permainan skuad itu, mempunyai bakat individu dan teknik perlawanan yang baik.

Selepas beberapa tonggak seperti Nor Azam Abdul Azih, J. Partiban dan Brendan Gan dan Shahrul Mohd Saad mengalami kecederaan, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pemain lain sekiranya perlu.

“Buat masa ini, kita nak melihat perkembangan positif daripada Nor Azam, kerana beliau telah mempamerkan aksi yang baik pada dua perlawanan sebelum ini (Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu).

“Tetapi harus di ingat bahawa kita tidak boleh bergantung kepada satu-satu pemain sahaja. Yang penting, sesiapa yang diturunkan pada perlawanan nanti, harus menunjukkan prestasi yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari kedua sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata sebagai jurulatih, beliau turut mempunyai tanggungjawab untuk melahirkan bakat-bakat muda selain membimbing pemain yang sedia demi masa depan pasukan kebangsaan.

Walaupun mengejar keputusan positif dalam kempen pusingan kedua, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tetapi beliau mempunyai falsafah untuk memberikan peluang kepada pemain muda dalam pasukan itu.



“Ianya penting kerana mereka (pemain muda) merupakan masa depan. Mereka mempunyai tenaga untuk bermain, manakala pemain senior mempunyai pengalaman bermain, jadi ia satu cabaran untuk saya sebagai jurulatih membuat pilihan pemain.

“Memang betul pemain skuad Bawah 19 tahun, Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal menonjol, tapi kita masih memantau dan mereka mempunyai kejohanan penting (kelayakan Kejohanan B-19 AFC 2020) pada Nov ini. Mungkin pada tahun depan baru kita akan beri peluang kepada mereka, “ katanya.

Namun, beliau meminta pemain-pemain muda untuk terus bekerja keras kerana masa depan mereka tidak terjamin dengan bakat sahaja.

Skuad Harimau Malaya akan bertemu Sri Lanka dalam aksi persahabatan pada Sabtu malam di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum bertemu Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi dalam aksi Kumpulan G, kempen Kelayakan tersebut.



Sementara itu, pemain bahagian serangan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik pada kedua-dua aksi berkenaan, jika diberi peluang.

“Saya tidak dapat menjaringkan gol ketika diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi peringkat kumpulan Kejohanan AFF kerana agak gugup, tapi kali ini berlainan. Walaupun kualiti permainan Vietnam dah meningkat, tak mustahil bagi kita untuk mengatasi mereka,” katanya. – BERNAMA

Harimau Selatan ke separuh akhir

 PEMAIN SAYAP JDT, Safawi Rasid melakukan rembatan ketika aksi
PEMAIN SAYAP JDT, Safawi Rasid melakukan rembatan ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FCI di Larkin. -Facebook JST
Mohamad Faizal Hashim

28 September 2019 10:50 PM

JOHOR BAHRU 28 Sept. - Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul pasukan pertama melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas membaham Terengganu FC (TFC) 4-1 dalam aksi suku akhir kedua di sini, sebentar tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera masing-masing meledak dua gol pada babak pertama bagi membantu pasukan tuan rumah menempah tiket ke peringkat empat terbaik menerusi agregat 5-1.


Cabrera membuka tirai jaringan JDT pada minit ke-16 dengan menyempurnakan sepakan penalti setelah pemain pertahanan mereka, La Vere Corbin Ong dikasari oleh Sanjar Shaakhmedov.



Enam minit berselang, Safawi menggandakan kedudukan Harimau Selatan dengan membuat jaringan menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gawang, Muhamad Ilham Amirullah Razali pada minit ke-22.

Safawi menambah derita kelab lamanya apabila menjaringkan gol kedua peribadi apabila memanfaatkan umpanan cantik dari Diogo Luis Santo dengan melakukan sepakan gunting pada minit ke-36.

Pengendali Terengganu, Mohd. Nafuzi Mahammad Zain seakan tidak mempunyai jawapan kepada serangan JDT apabila benteng pertahanan skuad Penyu sekali lagi dibolosi menerusi jaringan Cabrera yang mudah menolak masuk hantaran Corbin Ong pada minit ke-39.

Terengganu akhirnya memperoleh gol pembukaan pada penghujung babak pertama menerusi jaringan kapten pasukan, Andrew Lee Tuck hasil rembatan dari luar kotak penalti.



Skuad Penyu cuba bangkit pada babak kedua perlawanan dengan mempertingkatkan rentak permainan namun gagal menambah jaringan hingga tamat perlawanan.- SUMBER-UTUSAN ONLINE 28 September 2019 10:50 PM

Tiket Harimau Malaya berdepan Sri Lanka mula dijual


PEMAIN Harimau Malaya ketika menjalani sesi latihan di Kuala Lumpur. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
29 September 2019 8:17 PM Tiket Harimau Malaya berdepan Sri Lanka mula dijual
 PEMAIN Harimau Malaya ketika menjalani sesi latihan di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Penyokong skuad Harimau Malaya sudah boleh mula membeli tiket bagi aksi persahabatan antarabangsa pasukan negara menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 5 Oktober depan.

Menerusi satu kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Facebook memberitahu tiket sudah boleh dibeli secara online di www.tickethotline.com.my sehingga Jumaat, 4 Oktober 2019 (11.59 malam) atau di kaunter tiket stadium pada hari perlawanan, seperti harga tertera.

Tiket bagi pembelian secara dalam talian berharga RM24.72 bagi kategori terbuka dan grandstand RM45.32 manakala bagi peminat yang membeli di kaunter adalah berharga RM30 (terbuka) dan RM50 (grandstand).

“Bagi pembelian secara online di www.tickethotline.com.my, sila ‘Delete Browsing Data’ terlebih dahulu dan kemudian klik ‘Register’ dengan melengkapkan butiran peribadi Nama Penuh, Nombor MyKad, Kata Laluan, Nombor Telefon & E-mel sebelum boleh memulakan proses pembelian tiket,” menurut kenyataan itu.

Penyokong Harimau Malaya yang lain boleh memilih tempat duduk di Gate C. – SUMBER-UTUSAN ONLINE 29 September 2019 8:17 PM

Dollah buat persiapan rapi temu Lang Merah


SUKAN»Bola
Selasa, 1 Oktober 2019 | 1:16pm
 
Pengendali Pahang, Dollah Salleh. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Dollah buat persiapan rapi temu Lang Merah
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh memberi amaran skuadnya bakal berdepan saingan getir apabila bertemu Kedah pada aksi separuh akhir Piala Malaysia pada 19 dan 26 Oktober ini. 

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, ini kerana skuad dengan julukan Lang Merah itu kini berada pada prestasi terbaik untuk mengucup piala kedua musim ini.

Justeru, Dollah yang pernah mengendalikan Harimau Malaya mahu memanfaatkan tempoh rehat kira-kira tiga minggu untuk memperkasakan skuad kendaliannya bagi merealisasikan sasaran pasukan.

"Mereka (Kedah) sudah memenangi satu piala iaitu Piala FA dan sudah pasti Pahang yang terlepas Piala FA dan Piala Liga Super mahu menutup saingan Liga Malaysia dengan mengucup kejuaraan.

"Sebab itu saya katakan bahawa Kedah adalah pasukan yang mantap dan sering berada pada kedudukan terbaik dan selalu ke pentas final. Saya jangkakan perlawanan Pahang dan Kedah akan menyaksikan pertembungan sengit kerana masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. 

"Berbanding Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sudah meraih piala, kini hanya tinggal Pahang dan Selangor saja untuk mencapai misi," katanya. 

Dollah berkata, ketiadaan enam pemain, termasuk dua import bersama skuad negara diharap tidak menjejaskan persediaan untuk misi menjulang Piala Malaysia.

"Saya harapkan Pahang kembali menjulang Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 2014," kata Dollah yang pernah membimbing Pahang menjulang Piala Malaysia pada musim 2013.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 1 Oktober 2019 | 1:16pm


Azizan dipanggil ganti Nor Azam

SKUAD kebangsaan menjalani latihan pada hari pertama sesi latihan
SKUAD kebangsaan menjalani latihan pada hari pertama sesi latihan sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, hari ini. - BERNAMA
30 September 2019 10:56 PM

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Pemain Sabah, Mohd Azizan Nordin akan menyertai latihan skuad Harimau Malaya selewat-lewatnya, esok setelah pemain tengah Pahang, Nor Azam Abdul Azih masih bergelut dengan kecederaan buku lali yang dialaminya pada saingan suku akhir pertama Malaysia berdepan Melaka, baru-baru ini.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memaklumkan Mohd Azizan dipilih untuk menyertai sesi latihan pusat skuad kebangsaan memandangkan pemain berusia 25 tahun itu pernah diberi peluang beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa bersama Malaysia pada tahun lepas.

Pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan, Nor Azam akan dikekalkan dalam skuad kebangsaan untuk beberapa aksi penting selepas ini sekiranya kembali pulih daripada kecederaan buku lali yang dialaminya.




"Kita masih harapkan Nor Azam untuk terus berada dalam pasukan kebangsaan kerana dia beraksi dengan baik (dalam beberapa perlawanan) pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini, dan kita masih menunggu keputusan daripada doktor pasukan berhubung tahap kecederaannya," katanya.

Cheng Hoe berkata demikian ketika ditemui pemberita pada hari pertama sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Selain Nor Azam, Cheng Hoe mendedahkan empat pemain lain turut mengalami kecederaan ringan iaitu pemain Selangor Abdul Halim Saari, selain tiga pemain Perak iaitu, J. Partiban, Brendan Gan dan Shahrul Mohd Saad.

Dalam pada itu, Cheng Hoe melihat aksi pemanas badan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 5 Oktober ini merupakan medan terbaik untuk menguji beberapa pemain yang baharu dipanggil seperti pertahanan pasukan Johor Darul Ta'zim, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.



Sementara itu, Shahrul Mohd Saad menyifatkan kepulangan semula Aidil Zafuan ke dalam skuad kebangsaan menjadi tonik terbaik kepada barisan pertahanan negara sebelum berdepan Vietnam pada aksi keempat Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 15 Oktober ini.

Kapten Perak itu pada masa sama turut berharap skuad kebangsaan dapat meraih kemenangan berdepan Vietnam bagi menghidupkan peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya layak beraksi ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China.

"Dengan kehadiran Aidil, ia akan dapat membantu memperkuatkan barisan pertahanan negara pada kali ini memandangkan pengalaman luasnya serta prestasi cemerlang yang ditunjukkan bersama skuad kebangsaan sebelum ini," jelas pemain berusia 26 tahun itu.

Malaysia kini menduduki tangga ketiga di belakang Thailand dan Emiriah Arab Bersatu dalam Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menerusi kutipan tiga mata setelah beraksi dua perlawanan setakat ini. – BERNAMA
UTUSAN ONLINE