Ad

Friday, 2 July 2021

EURO: Sterling boleh tutup mulut pengkritik

Julai 2, 2021 @ 12:00pm



Penyerang England, Raheem Sterling meraikan jaringanya ketika berdepan Jerman pada Euro 2020 di Stadium Wembley dekat London. - AFP

LONDON: England perlu berterima kasih kepada Raheem Sterling kerana akan ke Rom awal pagi Ahad ini bagi saingan suku akhir Euro 2020 berdepan Ukraine dan mereka sekarang adalah pilihan untuk mara ke final Kejohanan Eropah buat kali pertama.

Bintang Manchester City itu sudah bermain dalam kejohanan utama keempat baginya, namun bakatnya tidak sepenuhnya dihargai penyokong England.

Masih bergelar pemain remaja ketika England tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2014, Sterling adalah seorang daripada pemain yang merasai kekecewaan ketika skuad kendalian Roy Hodgson tersingkir pada Euro 2016 di tangan Iceland.

Di media sosial, Sterling melabelkan dirinya sebagai "Orang Yang Dibenci" ketika kejohanan berkenaan dan berdepan cerita negatif di akhbar mengenai gaya hidup mewahnya serta isu lain.

Pada 2018, sebulan selepas membantu England mara ke separuh akhir Piala Dunia walaupun gagal menjaringkan gol, Sterling menerima cemuhan perkauman ketika bermain buat Manchester City di Chelsea.

Sterling menerusi Instagram mencabar organisasi media kerana gambaran mereka terhadap pemain muda berkulit hitam sambil mendakwa ia dipenuhi "perkauman dan perlakuan agresif."

Pada usia 26 tahun, dia kini sudah bergelar pemain senior dalam kalangan skuad muda England dengan 65 kaps yang mewakili skuad berani dan sedar mengenai aspek sosial yang menjadikan skuad Gareth Southgate dihormati dalam dan luar padang.

Ketika berdepan ejekan daripada sebahagian penyokong sendiri, pemain England terus melutut sebelum setiap perlawanan dalam kejohanan berkenaan untuk memperlihatkan peperangan mereka menentang ketidakadilan kaum.

Sterling sentiasa menggunakan kritikan sebagai motivasi bagi membuktikan ia sebenarnya salah.Sebelum Euro 2020 bermula, ada permintaan buatnya digugurkan oleh Southgate selepas musim mengecewakan buat City, ketika dia dibayangi rakan sepasukan, Phil Foden untuk tempat dalam kesebelasan utama.

"Tolong terus tanya soalan itu kerana jika kami tidak boleh memberikannya motivasi, pasti ada orang lain boleh," kata Southgate selepas kejayaan pertama England pada peringkat kalah mati berdepan Jerman dalam kejohanan utama sejak 1966.

"Dia seorang pejuang," kata Southgate. "Dia ada ketahanan yang kuat dan mahukan kejayaan. Dia sudah meningkat sejak beberapa tahun lalu untuk benar-benar menjaringkan gol.

"Dorongan buatnya sangat menakjubkan. Kami tahu apa yang pernah dilaluinya bersama England dan saya sangat gembira kerana mampu memberikan persembahan baik dimilikinya." - AFP.1

______________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/834592/euro-sterling-boleh-tutup-mulut-pengkritik

No comments:

Post a Comment