Julai 2, 2021 @ 9:24am
Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo masih mendahului senarai penjaring terbanyak Euro 2020 dengan lima gol. - AFP
LONDON: Walaupun Portugal sudah tersingkir daripada saingan Euro 2020, namun Cristiano Ronaldo masih berpeluang untuk membawa pulang anugerah individu.
Ketika ini, kapten Portugal itu masih mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan apabila merekodkan lima gol sehingga tamat pusingan 16 terbaik.
Dia mempunyai kelebihan satu gol berbanding pencabar terdekatnya menjelang aksi suku akhir.
Misi Portugal bagi mempertahankan kejuaraan Eropah gagal selepas tewas di tangan Belgium di pusingan 16 terbaik.
Keputusan itu nyata lebih mengecewakan buat Ronaldo secara individu apabila gagal menjaringkan gol dalam perlawanan berkenaan sekali gus dia masih kurang satu gol bagi memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman milik legenda bola sepak Iran, Ali Daei.
Penyerang berusia 36 tahun itu menjaringkan gol ke-108 dan ke-109 buat negaranya ketika menentang Hungary dalam saingan peringkat kumpulan bagi menyamai rekod dipegang Daei selama 15 tahun.
Bagaimanapun, Ronaldo terlepas peluang bagi memecahkan rekod berkenaan pada kempen Euro kali ini selepas Portugal tewas 0-1 di tangan Belgium.
Situasi itu menyaksikan dia perlu menunggu untuk memecahkan rekod berkenaan sekurang-kurangnya sehingga September depan apabila Portugal berdepan Republik Ireland dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.
Berbekal lima gol, Ronaldo berpeluang untuk merangkul anugerah Kasut Emas Euro 2020 sekiranya mengambil kira jumlah jaringan pemenang dalam kejohanan itu sejak 1984 kecuali edisi 2016 yang menyaksikan Antoine Griezmann dari Perancis meledak enam gol.
Penyerang Perancis, Karim Benzema, Patrick Schick (Republik Czech) dan Emil Forsberg (Sweden), berkongsi kedudukan kedudukan senarai penjaring terbanyak selepas masing-masing merekodkan empat gol setakat ini.Bagaimanapun, hanya Schick yang masih berpeluang untuk memintas Ronaldo dalam senarai itu selepas Perancis dan Sweden sudah tersingkir daripada saingan.
Romelu Lukaku (Belgium), Raheem Sterling (England), Georgino Wijnaldum (Belanda) dan Robert Lewandowski (Poland) pula berkongsi kedudukan ketiga dengan tiga gol. - Agensi.1
____________________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/834523/euro-ronaldo-ada-peluang-raih-kasut-emas
No comments:
Post a Comment