Oleh Rizar Mohd Noor - Julai 2, 2021 @ 11:10am
rizar@mediaprima.com.my
Natxo Insa menghalang pemain Pohang Steelers, Sin Jin-ho pada aksi pusingan kedua Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand. - Foto Ihsan Johor Southern Tigers
JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora mengakui kesilapan yang dilakukan pemainnya menjadi punca utama kekalahan 0-2 kepada Pohang Steelers pada aksi pusingan kedua sainga Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam tadi.
Malah beliau juga tidak menafikan anak didiknya terpaksa berdepan corak permainan keras yang dipamerkan skuad kendalian Kim Gi-dong yang kerap memberi tekanan terhadap barisan pemain JDT dalam perlawanan itu menyebabkan rentak permainan JDT terganggu.
Katanya, pemain JDT bermain dengan baik sepanjang 30 minit perlawanan apabila memberi tekanan di benteng lawan dengan mengawal permainan malah melakukan umpanan bola yang tersusun selain bola sepakan percuma Safawi Rasid yang terkena tiang gol.
"Namun apabila lawan menjaringkan gol, segalanya berubah terutama emosi dan mental pemain seolah-olah hilang untuk bersaing dalam perlawanan itu apabila mereka bagaikan hilang semangat dan corak permainan juga tidak tersusun.
"Kami cuba beri tentangan dan berusaha untuk bangkit namun tidak berhasil tatkala menentang Pohang yang juga pasukan hebat dan mereka beraksi dengan menyusun dan mengatur taktikal dengan baik.
"Apapun kami sudah beri yang terbaik dalam perlawanan itu dan jika dapat meraih mata sudah tentu akan melonjakan lagi semangat pemain seperti kami lakukan ke atas Ratchaburi FC tapi agak sukar untuk tewaskan Pohang Steelers," katanya.
Mora juga menegaskan corak permainan Pohang Steelers yang gemar memperlahankan permainan sebelum bertindak melancarkan serangan turut menjadi punca rentak permainan JDT terjejas malah JDT juga bertindak mengubah taktikal apabila pemain sayap kiri dan kanan diarah lebih agresif menyerang ke kubu lawan.
Katanya, perubahan taktikal itu tampak berkesan apabila mampu beri ancaman terhadap benteng lawan namun menerusi tiga peluang terbaik gagal melakukan penyudah terakhir dan apa yang berlaku Pohang Steelers lebih baik dalam aksi itu.
Ditanya mengenai ketiadaan Leandro Velazquez pada perlawanan itu, Mora menegaskan pemain import dari Argentina itu adalah pemain utama dalam skuad JDT dan sering mempamerkan komitmen apabila beraksi.
"Leandro kerap membentuk serangan berbahaya terhadap pasukan lawan dan saya tidak nafikan memang terasa ketiadaan dia dalam pasukan tapi kami tidak boleh terlalu bergantung kepadanya dan pemain lain harus tampil menyerlah," kata Mora.1
___________________________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/834568/kesilapan-pemain-punca-jdt-tewas-mora
No comments:
Post a Comment