Ad

Thursday, 1 July 2021

Kekecewaan England kini terubat

2021-07-01T01:00:01+08:00



Sterling (tengah) menjaringkan gol melepasi penjaga gol Jerman Manuel Neuer (kiri) pada perlawanan Euro 2020 di antara England dan Jerman di Stadium Wembley di London, kelmarin. — Gambar AFP

BOLOS: Sterling (tengah) menjaringkan gol melepasi penjaga gol Jerman Manuel Neuer (kiri) pada perlawanan Euro 2020 di antara England dan Jerman di Stadium Wembley di London, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Raheem Sterling dan Harry Kane memastikan England melangkah ke peringkat suku akhir Euro 2020 selepas menewaskan Jerman 2-0, sekali gus menamatkan berdekad-dekad kekecewaan tewas kepada musuh lama mereka pada perlawanan pusingan kedua di sini pada Selasa.

Sterling membuka jaringan ketika berbaki 15 minit permainan di Stadium Wembley sebelum Kane menjaringkan gol kedua untuk kemenangan pertama England di pusingan kalah singkir kejohanan sejak 1966.

Sepanjang 55 tahun sejak England menewaskan Jerman di final Piala Dunia, mereka mengharungi beberapa kekalahan mengecewakan ketika menentang Jerman pada kejohanan besar.

England tersingkir di Piala Dunia 1970, 1990 dan 2010 oleh Jerman, yang turut menewaskan mereka di peringkat separuh akhir Euro 1996 di Wembley, ketika England menjadi tuan rumah.

Tetapi skuad kendalian Gareth Southgate itu akhirnya memadam badi tangisan Paul Gascoigne dan kegagalan Southgate menyempurnakan penalti 25 tahun yang lalu.

England mempamerkan aksi memberangsangkan dengan penyudah kemas dari Sterling, yang kini sudah menjaringkan tiga gol, dan gol sulung Kane pada Euro 2020.

England, yang masih belum bolos gol pada kejohanan ini, akan bertandang ke Rom untuk perlawanan suku akhir menentang Ukraine Sabtu ini (awal pagi Ahad waktu Malaysia).

Ukraine menewaskan Sweden 2-1 selepas masa tambahan, juga pada Selasa.

Memburu kejuaraan antarabangsa yang pertama sejak Piala Dunia 1966, peluang England kelihatan cerah untuk melangkah ke separuh akhir kerana kemungkinan lawan sama ada Denmark atau Republik Czech, tidak terlalu merisaukan mereka.Ia adalah kemenangan kedua England di pusingan kalah singkir dalam sejarah Euro dan kemenangan pertama ke atas Jerman di Wembley sejak 1975.

Kita bercakap tentang membawa kegembiraan kepada negara dan petang seperti ini adalah apa yang kita mahukan,” kata Southgate.

Kami selayaknya menang. Pemain memberikan sepenuh fokus dan bermain bersungguh-sungguh.

Tetapi saya harus berkata kepada mereka; saya suka berterus-terang kerana jika kami tidak mengambil peluang dari kemenangan ini menjelang perlawanan Sabtu ini, maka kemenangan ini tidak memberi sebarang makna.”

Bagi jurulatih Jerman, Joachim Loew, ia adalah penamat mengecewakan untuk kerjaya beliau kerana akan melepaskan jawatan sebaik sahaja berakhir kempen pasukannya di Euro 2020.

Loew, yang membimbing Jerman muncul juara Piala Dunia 2014, berkata: “Kami tidak mengambil kesempatan dari dua peluang terbaik oleh (Thomas) Mueller dan (Timo) Werner.

Pasukan memberikan segala-galanya tetapi kami tidak cukup berbisa di jentera serangan. Kami tahu setiap kesilapan memberi kesan besar. Kami kekurangan sedikit pengalaman dalam beberapa situasi.”

Sentiasa berminat untuk mengalihkan perhatian, Southgate pastinya gembira dengan saat ini, terutama sekali sejak keputusannya mengubah kepada formasi tiga pemain pertahanan, untuk menyamai permainan Jerman dan ia membuahkan hasil.

England memerlukan permulaan meyakinkan untuk mengurangkan debaran awal dan Sterling memberikan semangat itu apabila rembatannya dari luar kotak penalti ditepis penjaga gol Jerman, Manuel Neuer.

Jerman hampir membuka jaringan apabila Kai Havertz mengumpan bola kepada Werner di dalam kotak penalti tetapi rembatan penyerang Chelsea itu tepat ke arah penjaga gol England, Jordan Pickford.

Satu tolakan liar Thomas Mueller membolehkan Sterling mencemaskan pertahanan Jerman pada minit akhir sebelum rehat tetapi apabila bola diumpan kepada Kane, beliau terlalu perlahan untuk melakukan penyudah kemas sebelum Mats Hummels mengawal keadaan.

Havertz kemudian melihat cubaannya ditepis Pickford pada awal separuh masa kedua tetapi Southgate melakukan pertukaran yang menentukan perlawanan apabila memasukkan Jack Grealish untuk menggantikan Bukayo Saka.

Kehadiran Grealish memberikan lebih tenaga kepada jentera serangan England dan pada minit ke-75, mereka akhirnya memecah kebuntuan apabila umpanan Grealish disempurnakan Sterling dari jarak dekat.

Mueller seharusnya boleh mengikat kedudukan apabila menerima umpanan Havertz selepas kesilapan Sterling tetapi penyerang Bayern Munich itu melihat penyudahnya sedikit tersasar dari palang gol.

Kane menghukum kegagalan Mueller dengan gol kedua pada minit ke-86 apabila menanduk satu lagi umpanan cantik Grealish. — AFP.
_____________________________________

1https://www.utusanborneo.com.my/2021/07/01/kekecewaan-england-kini-terubat

No comments:

Post a Comment