Ad

Tuesday, 6 June 2017

Bekas pemain negara meninggal dunia



ARKIB : 13/11/2005
Allahyarham Sulaiman Rejab.

KUALA TERENGGANU - Bekas pemain bola sepak kebangsaan era 60-an dan 70-an, Sulaiman Rejab, 56, meninggal dunia pagi ini selepas diserang angin ahmar yang dihidapi sejak enam bulan lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.15 pagi semalam di sisi isterinya, Zakiah Ali dan enam orang anak berusia 11 hingga 31 tahun.

Kematian Sulaiman akibat komplikasi jantung itu disahkan oleh seorang pembantu perubatan Hospital Kuala Terengganu yang membuat pemeriksaan ke atas Allahyarham di rumahnya di Jalan Kenangan, Batu Buruk dekat sini.

Sementara itu, Zakiah ketika dihubungi di sini berkata, dia redha dengan pemergian Allahyarham yang banyak meninggalkan jasa kepada keluarga dan negara.

Sepanjang karier, Sulaiman pernah menjadi penolong jurulatih Semi Pro Terengganu pada tahun 1992.

Allahyarham yang berasal dari Wakaf Mek Zainab, Kelantan itu pernah mewakili Majlis Sukan-Sukan Malaysia Kelantan.

Kecemerlangan dalam bidang sukan bola sepak telah melayakkan Allahyarham mewakili Kelantan untuk Piala Berney seterusnya Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Piala Emas Raja-Raja dan Piala Malaysia.

Allahyarham yang mula mewakili Terengganu pada tahun 1968 hingga 1979, pernah mewakili negara antaranya Piala Raja Thai dalam Sukan SEAP pada ketika itu (kini dikenali Sukan SEA), Piala Jakartaraya dan Piala Kemerdekaan Vietnam.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jEtfTIQl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, 5 June 2017

Ciri-Ciri Masyarakat Maritim Jepun.

OLEH-AHMAD YAAKOB
a) Kegiatan Ekonomi Berasaskan Kelautan.
Masyarakat Jepun terlibat dengan kegiatan penangkapan ikan. Harold M. Vinacke mengatakan makanan orang Jepun yang sama penting dengan nasi ialah ikan, mengutip hasillaut seperti mutiara, perdagangan, membaiki dan membuat kapal.

Perikanan merupakan pekerjaan utama penduduk Jepun kerana makanan kedua selepas nasi bagi masyarakat Jepun ialah ikan. Nelayan Jepun juga adalah penyelam mutiara yang handal.[1]
b) Lokasi Petempatan Di Pesisir Pantai.
Lebih kurang 97% wilayah daratan Jepun berada di keempat-empat pulau terbesarnya iaitu Hokkaido,Honshu (pulau terbesar), Shikoku, dan Kyushu. Sebanyak72% pulau-pulau di Jepun bergunung-gunung, dan sebahagian di antaranya merupakan gunung berapi.

Masyarakat maritim Jepun tinggal di pesisir pantai seperti di perkampungan nelayan di Yokohama dan menetap di kawasan-kawasan bandar-bandar pelabuhan seperti di Nagasaki, Nagoya, Hiroshima dan lain-lain bandar pelabuhan. Lokasi petempatan yang berhampiran laut menyebabkan penduduknya  terdedah kepada kegiatan berasaskan laut.[2]
c) Masyarakat pelbagai Budaya.
Jalinan perhubungan dengan masyarakat antarabangsa menyebabkan masyarakat Jepun menerima pelbagai pengaruh budaya luar seperti pengaruh agama Kristian yang dibawa oleh mubaligh-mubaligh Kristian Portugis,agama Buddha dan Confucius dari China serta Shinto yang merupakan kepercaya:an tempatan. Di bandar-bandar pelabuhan pula terdapat pedagang-pedagang Portugis,Sepanyol dan china. Sebelum pengalaman Dasar Tutup Pintu, mubaligh Kristian dibenarkan menjalankan aktiviti penyebaran agama Kristian dan mendirikan gereja bagi menjalankan kegiatan agamamereka.[3]

d) Menguasai Ilmu Kelautan Dan pelayaran.
Masyarakat maritim Jepun menguasai ilmu pelayaran mereka belayar hingga ke Australia, Asia Tenggara,Amerika Selatan, Korea dan China.Mereka mampu membina kapal besar meredahlautan. Kapal mohor merah (Shuinsen) adalah kapal layar bersenjata pedagangJepun yang berlayar dalam perdagangnya ke pelabuhan-pelabuhan Asia Tenggara di awal pemerintahan Keshogunan Tokugawa. Antara 1600 dan 1635, lebih dari 350 kapal Jepun melakukan pelayaran dagangke luar negeri.[4]Kemajuan dalam bidang teknologi menyebabkan masyarakat maritim di Jepun mampu untuk belayar hingga ke Korea, China dan Asia Tenggara.[5]
e) PelabuhanEntreport.
Masyarakat Jepun mengendalikan perdagangan melalui pelabuhan entreport Kyushu, Shimoda, Hokodate danNagasaki. Para pedagang Jepun pada abad ke-16, telah mengeksport perak, berlian, tembaga, pedang, dan barang-barang lainnya.Jepun juga telah mengimport sutera Cina dan produk-produk Asia Tenggara (seperti gula dan kulit rusa). Lada dan rempah-rempah jarang diimport oleh Jepun kerana masyarakatnya tidak banyak makan daging.Pelabuhan-pelabuhan Asia Tenggara menjadi tempat pertemuan antarakapal-kapal Jepun dan China.
f) Menerima Pengaruh Luar.
Sebelum dasar tutup pintu abad 7, masyarakat maritim Jepun mudah menerima pengaruh luar seperti agama Buddha, Confucius dan agama Kristian.Para pedagang dan mubaligh Jesuit dari Portugal pertama kali tiba di Jepun, lalu memulakan kegiatan pertukaran perniagaan dan kebudayaan antata Jepun dan Dunia Barat (Perdagangan dengan Nanban).
Penganut Kristian bebas menjalankan aktiviti mereka dan mubaligh juga bebas berdakwah. Malah tulisan Jepun berasal dari huruf China dan kosa kata Bahasa Jepun juga menerima pengaruh bahasa Portugis. Orang Jepun ketika itu menggelar orang asing dari Dunia Barat sebagai namban yang bererti kaum gasardari selatan.[6] Menjelang abad ke-17 pedagang Belanda, British dan Sepanyol menjalankan perdagangan dengan Jepun. Kedatangan pedagang Barat menyebabkan aktiviti perdagangan berkembang pesat.[7]




[1]“Masyarakat  Maritim”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013)25.
[2]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2013),hlm.50.
[3]“Masyarakat  Maritim”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal ,26.
[4]Ibid.
[5]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955,51. 
[6]“Masyarakat  Maritim”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013)27.
[7]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955,52.

Sukan badminton terhutang budi Sidek



ARKIB : 18/10/2005
KUALA LUMPUR - Sukan badminton tanahair terhutang budi kepada Datuk Sidek Abdullah Kamar yang telah memainkan peranan besar dalam pembangunan badminton negara sejak awal 1980 an.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhirnya lewat pagi semalam dianggap `Bapa Badminton Moden' kerana kejayaan membimbing anak-anaknya seperti Misbun, Razif, Jalani dan Rashid bergelar jaguh dunia.

Bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada badan badminton tanah air itu kerana beliau tidak lokek memberikan pandangan dan nasihat.

Malah, dua anak lelaki Allahyarham, Misbun dan Rashid kini menjadi tenaga penting dalam kejurulatihan BAM, manakala Razif pula pernah menyandang jawatan ketua jurulatih pada awal 1990an.

``Setiap kali bertemu, tidak sah kalau Datuk Sidek pulang tanpa memberi nasihat. Beliau memang tidak lokek memberi pandangan kerana beliau mahu berkongsi pengalamannya untuk pembangunan badminton,'' kata setiausaha BAM, Gangga Rao.

``Pada saya Datuk Sidek merupakan bapa badminton moden. Beliau memainkan peranan besar ketika mengembalikan kecemerlangan badminton tanahair di awal 1980 an menerusi anak-anaknya.

``Kejayaan besar buat keluarga Sidek adalah ketika Malaysia merampas Piala Thomas pada 1992 hasil sumbangan Razif, Jalani serta Rashid. Malah, ketiga-tiga beradik ini juga telah menyumbang pingat kepada negara pada Sukan Olimpik.''

Menurut Gangga, kejayaan Allahyarham membawa anak-anaknya menjadi jaguh dunia menjadikan beliau bapa contoh dan mendorong ibu bapa lain untuk menggalakkan anak mereka memilih badminton sebagai karier.

``Beliau telah membuktikan betapa seseorang yang datang dari latar belakang orang biasa juga boleh mencapai tahap dunia tetapi apa yang lebih penting, Datuk Sidek merupakan bapa contoh yang telah memberi keyakinan kepada orang ramai untuk menggalakkan anak mereka bermain badminton.''

Sementara itu, bekas setiausaha BAM, Datuk Mohd. Al Amin Majid berkata, pemergiaan Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada sukan badminton tanahair.

Kecekalan dan kegigihan beliau membesarkan anak-anaknya sehingga menjadi jaguh dunia sesuatu yang meninggalkan kesan besar kepada sukan badminton tanahair.

``Sukar untuk melihat orang segigih Allahyarham. Keazamannya amat tinggi dan beliau adalah contoh kepada pembangunan sukan badminton tanahair.

``Walaupun saya telah lama meninggalkan sukan badminton tetapi saya tetap berasa kehilangan dengan perginya Datuk Sidek. Saya dapat bayangkan bagaimana kehilangan yang dirasai oleh warga sukan tanahair lain, terutamanya badminton,'' katanya.

Kesedihan kedua-dua pemimpin dan bekas pemimpin BAM itu turut dikongsi oleh jaguh veteran, Roslin Hashim yang dianggap seperti sebahagian daripada anggota keluarga Sidek.

Roslin dan dua adiknya, Muhammad Hafiz dan Muhammad boleh dikatakan membesar dalam `keluarga Sidek', apatah lagi mendapat sentuhan bimbingan anak-anak Allahyarham seperti Misbun, Rashid dan Rahman.

Malah, Hafiz muncul juara Seluruh England 2003 di bawah bimbingan Misbun, Roslin juga pernah bergelar pemain nombor satu dunia dan kini menjalani latihan bersama Kelab Nusa Mahsuri milik Jalani tetapi dibimbing oleh Rahman.

Hasil perkahwinannya dengan Datin Rukinah Sulaiman, yang meninggal dunia 30 Januari, 2003, pada 1954, Allahyarham dikurniakan lapan orang anak Rozita, Mohd. Misbun, Mohd. Razif, Mohd. Jalani, Abdul Rahman, Abdul Rashid, Zamaliah dan Mohd. Shahrizan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j7dFyXjE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, 4 June 2017

PESAN DATUK HARUN IDRIS JADI AZIMAT



Di sebalik nama
Sahidan Jaafar
 “3D jadi azimat saya dan pemain,” akui Datuk Santokh Singh.
“3D jadi azimat saya dan pemain,” akui Datuk Santokh Singh.

04 Jun 2017 12:00 P

Panduan 3D yang digariskan oleh Datuk Harun itu bukan saja berjaya menyuntik semangat Santokh tetapi para pemain lain seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun dan R Arumugam.

Menurut Santokh, setiap kali ada perjumpaan dengan semua pemain, elemen ‘3D’ sentiasa ditekankan oleh Datuk Harun bagi memastikan semangat pemain tidak luntur dan berjuang sebagai satu pasukan yang sentiasa dahagakan kejayaan.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam dunia bola sepak, beliau menceritakan Datuk Harun juga merupakan orang yang mula-mula mengesan bakat dan memilihnya untuk mewakili Selangor buat pertama kali dalam kejohanan Burnley Youth Cup (sekarang ini dikenali sebagai Piala Razak) pada tahun 1971.

Datuk Harun ketika itu merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang dikenali ramai sebagai seorang pemimpin banyak membantu kebajikan para pemain.

Santokh Singh mengakui Datuk Harun juga merupa­kan pemimpin yang banyak berjasa dan beliaulah orang yang telah membantunya mendapatkan kerja di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai juruteknik pada tahun 1972.

“Datuk Harun bukan saja pilih saya jadi pemain Selangor tetapi beliau juga tolong saya dapatkan kerja di PKNS. Masa itu saya dibayar gaji cuma RM180 sebulan. Elaun RM3 sehari. Gaji kecil tapi cukup, sebab nilai duit besar dan harga barang-barang pun masih murah,” cerita Santokh tersenyum mengingati saat manis beliau mula bertapak dalam arena bola sepak.

Setelah dipilih mewakili Burnley Youth Cup pada tahun 1971, bakat Santokh semakin mendapat perhatian setelah dipilih bermain mewakili pasukan Selangor pada tahun 1972.

Antara kenangan manis yang masih diingatinya apabila Selangor melayakkan diri ke perlawanan akhir dan seterusnya menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1972. Berkat dedikasi yang ditunjukkan itu Santokh seterusnya dipilih mewakili pasukan Malaysia pada tahun tersebut.

Antara pencapaian Santokh paling membanggakan apabila mewakili negara adalah apabila Malaysia memenangi tiga kejohanan Pestabola Merdeka pada tahun 1973, 1974 dan 1976. Ketika mewakili pasukan Selangor, beliau membantu memenangi Piala Malaysia sebanyak sembilan kali.

Pada tahun 1973, bekas jurulatih Malaysia M Kuppan dan Abdul Ghani Minhat merupakan orang yang bertanggungjawab membentuk gandingan mantap Santokh Singh-Soh Chin Aun sehingga menggerunkan pasukan-pasukan lawan di Asia seperti Korea Selatan dan Jepun.

Apabila ditanya apakah kenangan paling manis pernah dikecapinya bersama pasukan negara Santokh memberitahu, ada dua kejayaan terhebat tercipta iaitu meraih pingat gangsa dalam Sukan Asia Tenggara 1974 di Tehran, Iran dan layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980 yang belum mampu diulangi. Untuk rekod, pasukan bola sepak Malaysia pernah layak bertanding ke Sukan Olimpik di Munich Jerman pada 1972.

Menurut Santokh, cerita kejayaan Malaysia menundukkan Korea Selatan 2-1 pada 16 April 1980 di Stadium Merdeka merupakan suatu nostalgia sukar dilupakan. Santokh menyarung jersi kebangsaan berwarna kuning dengan No. 5.

“Kami turun menentang Korea Selatan bukan mengharapkan apa-apa habuan jika menang. Tapi kami turun membawa maruah negara dan mengharapkan kemenangan. Itu saja,” beritahu Santokh yang menjadikan pemain pertahanan Jerman Franz Beckenbauer sebagai idolanya.

Kegembiraan Santokh dan rakan sepasukan ke temasya Olimpik Moscow 1980 berkecai beberapa bulan kemudian apabila kerajaan Malaysia mengumumkan pemulauan sukan itu sebagai membantah tindakan Soviet Union menceroboh Afghanistan.

“Sampai hari ini saya tak rasa Malaysia akan mengulangi sejarah 1972 dan 1980. Mereka (pemain) tiada semangat untuk mewakili Malaysia dan menang . Mereka cuma nak wang dan ganjaran. Itu saja.

“Kita tak boleh salahkan pemimpin FAM, fasal mereka sudah buat yang terbaik, membuat segala perancangan dan masa depan bola sepak Malaysia,” akuinya yang pernah diberi gelaran Ironman, bulldozer dan ‘Surging Sing’ yang bermaksud sentiasa mara ke depan.

Santokh mengakui segala kemudahan bola sepak negara yang disediakan sekarang sudah bertaraf dunia, manakala gaji dan elaun pemain pula tinggi. Jika menang pemain dapat bonus tetapi itu semua belum tentu dapat menjamin kejayaan pasukan Malaysia jika tidak memiliki 3D seperti mana yang digariskan oleh Datuk Harun 46 tahun lalu.

“Dulu tak ada mewah macam sekarang. Tapi mereka mesti ada 3D seperti Datuk Harun cakap. Kalau training pukul 7.00 pagi pukul 6.00 dah turun. Dulu kami pernah berlatih di Terendak Kem, Melaka. Latihan cara askar. Duduk satu bumbung, mandi sekali, makan sekali.

“Kami dibentuk sebagai satu team. Kami diasuh semangat bermain bersama untuk menang dan bermain untuk negara. Dan kami dibimbing bermain untuk rakyat Malaysia. Itu saat manis yang saya takkan lupakan,” katanya.

Beliau menceritakan sebagai hadiah kejayaan berjaya ke Olimpik Moscow 1980, setiap pemain hanya diberikan seutas jam tangan Rolex dan dibawa melawat ke Brazil.

“Cukuplah. Dulu kami bermain bukan nak duit tapi bermain untuk maruah negara. Bendera Malaysia (pada jersi) selalu berada di hati. Jadi mereka perlu bermain dengan bersungguh-sungguh untuk negara yang tercinta,” katanya yang mewakili negara sejak tahun 1972 hingga 1985.

Jika tiada sebarang program, rutin hariannya pagi-pagi lagi beliau pergi ke pasar di Setapak membeli barangan makanan dan selepas itu kira-kira pukul 10.00 pagi beliau akan bertemu rakan-rakannya bekas pemain bola sepak sambil menikmati teh di warung berdekatan rumahnya.

Di warung inilah sejak 15 tahun lalu menjadi destinasi mereka berkumpul dan bercerita pelbagai kisah menarik tentang dunia bola sepak yang diharungi sejak dari muda sehinggalah bersara dari dunia yang dicintainya.

“Dulu, petang-petang saya selalu bermain bola sepak dengan Mokhtar Dahari dan Redzuan Abdullah. Saya kayuh basikal pergi rumah Mokhtar Dahari di Kampung Datuk Keramat. Lepas main bola, singgah rumah Mokhtar minum teh. Lepas itu baliklah,” cerita Santokh yang ketika itu tinggal di Kampung Ayer Panas, Setapak, Kuala Lumpur

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/pesan-datuk-harun-idris-jadi-azimat-1.489099#ixzz4j1Gkqun6
© Utusan Melayu (M) Bhd