Ad

Thursday, 6 February 2020

Nak pergi jauh

MyMetroArena
 
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PENYERANG Harimau Malaya, Safawi Rasid bersedia pada bila-bila masa berhijrah sekiranya ada tawaran rasmi yang dikemukakan oleh mana-mana kelab untuk beraksi di luar negara.

Jelas Safawi, tawaran berkenaan perlu melalui kelabnya Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mendapatkan lampu hijau dan persetujuan bersama sebelum memikirkan langkah seterusnya.

Katanya, memang menjadi idaman bagi setiap pemain profesional untuk berkelana ke luar negara terutama Eropah bagi mengembangkan lagi bakat ke tahap tertinggi.

“Bagi saya memang kalau boleh saya nak tawaran yang rasmi dari luar negara yang akan berurusan terus dengan JDT. Secara peribadi, memang saya nak kembangkan bakat saya dalam bola sepak sebab ini adalah kehidupan saya.

“Lagipun saya mencari rezeki dengan bola sepak, jadi saya nak raih pengalaman lagi. Kalau boleh saya nak pergi lebih jauh dan insya-Allah kalau ada rezeki saya akan buat lagi baik musim ini bersama JDT.

“Jika saya dapat peluang ke luar negara ia secara tak langsung juga akan membuka mata orang luar. Malah, bukan saya sorang, ramai lagi pemain Malaysia mampu bermain di luar negara,” katanya mengulas saranan legenda Liverpool, Jamie Redknapp yang menyarankan Safawi mencuba nasib beraksi di liga Eropah.

Arena Metro semalam melaporkan, Redknapp yang juga bekas kapten The Reds mengakui terpegun dengan aksi hebat Safawi terutama menerusi tendangan kaki kiri yang amat berbisa.

Beliau yang mencatat 237 penampilan bersama Liverpool dari 1991-2002 menegaskan, Safawi memiliki potensi untuk diketengahkan di Eropah dan menyarankan supaya mengorak langkah dengan mencontohi pemain muda Jepun, Takumi Minamino apabila berani mencabar diri beraksi bersama Red Bull Salzburg di Austria sebelum dilamar Liverpool, Disember lalu.

Malah, Redknapp turut mengandaikan gaya permainan Safawi mirip penyerang Liverpool dari Mesir, Mohamed Salah yang memiliki keberanian menggelecek dan ledakan kaki kiri yang padu.

“Saya nak ucap terima kasih sebab beliau (Redknapp) cakap macam itu (gaya permainan seperti Salah). Saya macam terharu dia samakan saya macam Salah, tapi sejujurnya saya tidaklah sehebat Salah.

“Saya cuma jadi diri saya sendiri dan saya tak boleh ‘melayang’ dengan pujian itu. Tapi, apa yang beliau katakan akan buat saya lagi bersemangat untuk buat lagi...buat lagi...buat lagi,” katanya.

“Saya tak akan puas dalam bola sepak dan akan cuba sebaik mungkin demi pasukan negara dan kelab yang saya wakili,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 6:20 AM


Safiq tak patut terlepas: Zakaria

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) digesa mengambil tindakan ke atas Safiq Rahim susulan mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong yang jelas melanggari etika seorang pemain bola sepak profesional.

Bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim berkata, perbuatan kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mencarut di hadapan pihak media yang kemudiannya menjadi bahan tatapan seluruh peminat tidak sepatutnya terlepas daripada tindakan disiplin dengan FAM wajar menghukum pemain tengah berkenaan.


ZAKARIA RAHIM
Zakaria yang pernah mengendalikan beberapa kelab amatur di Manchester, England selama enam tahun menegaskan, setiap bidang kerjaya memiliki etika yang mesti dipatuhi termasuklah pemain bola sepak yang terikat dengan etika Fairplay atau Respeck.

Katanya, walaupun ketua pasukan kebangsaan itu mungkin sekadar melepaskan tekanan selepas membantu JDT menjuarai Piala Malaysia, dia ketika itu masih lagi memakai jersi kelabnya yang membawa imej Liga Malaysia dan sukan bola sepak secara amnya.

"FAM dan FMLLP tak boleh berdiam diri. Ini contoh tak baik yang jauh sekali menyimpang dengan etika Fairplay atau Respeck yang ditekankan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) selama ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, isu berkenaan pernah berlaku kepada bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney pada 2011 ketika kelabnya berdepan West Ham United di mana Rooney mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong dan pengkritiknya yang sempat dirakam pihak media.

Kelakuan Rooney itu akhirnya mendapat perhatian serius Persatuan Bola Sepak Englang (FA England) yang kemudian menggantungnya dua perlawanan kerana didapati bersalah menghina penyokong.

"Kes Rooney antara contoh yang harus FAM dan FMLLP ambil kira. Dia yang kini bermain untuk Everton dihukum dan kemudiannya tampil memohon maaf atas kesilapannya serta mengakui dirinya melanggar etika pemain profesional.

"Jadi, takkan badan pentadbir bola sepak kita nak berdiam diri atau mahu memenangkan Safiq yang terang-terang dalam rakaman video mencarut dan menghina penyokong. Sebagai pemain profesional, dia kena terima hakikat bahawa kritikan adalah sebahagian daripada hidupnya.

"Tetapi dia tidak boleh bertindak balas kerana dia ada etika selain menjadi ikon kepada masyarakat dan kanak-kanak. Kalau tak tahan dicemuh, berhenti jadi pemain bola dan pergi jadi askar, mekanik atau polis," katanya.

Menerusi rakaman video berdurasi seminit yang viral ketika ini, Safiq dilihat seperti melepaskan geram kepada pengkritik yang dianggap membenci JDT apabila secara tiba-tiba menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat.

Dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu lalu itu, Harimau Selatan berjaya menewaskan Kedah 2-0 menerusi tandukan Mohd Aidil Zafuan Radzak dan Gonzalo Cabrera.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 7:47 PM

Safiq kini 'tauke' produk sukan

MyMetroArena
 
Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my

BEKAS kapten bola sepak Harimau Malaya, Safiq Rahim secara rasmi memperkenalkan produk sukan untuk dipasarkan di pusat beli belah Malakat Mall Cyberjaya tadi.

Pemain tengah Melaka United (MU) itu memperkenalkan jenama Sportsrevo yang akan mula diedarkan di pusat beli belah itu Mac hadapan.

Beliau yang juga bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) berkata, produk sukan jenama Sportsrevo itu menjadi pencetus bagi dirinya mengenengahkan produk sukan tempatan dan bumiputera.

"Di negara kita sebenarnya belum ada produk sukan keluaran jenama tempatan ‘dari atas sampai bawah’. Jadi

saya mahu ia menjadi pelopor kepada usaha itu.

"Kualiti pakaian sukan jenama Sportsrevo amat baik dan setanding dengan jenama terkemuka di samping

harganya juga amat berpatutan dan mampu milik," katanya pada sidang media di Malakat Mall tadi.

Terdahulu, Safiq menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pengurus Tahan Sport, Mohd Fuad Rahim sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall Sdn Bhd, Mohd. Fadzil Hashim.

Safiq memaklumkan, peluangnya bekerjasama dengan Tahan Sport adalah platform terbaik bagi memasarkan produk sukan yang diasaskannya sejak tahun 2019.

"Sportsrevo memasarkan semua jenis barangan sukan dan pada masa ini memfokuskan kepada keperluan barangan sukan bola sepak dan larian.

" Pada masa depan saya bercadang mempelbagaikan lagi produk ini membabitkan aktiviti sukan lain".

"Saya juga merancang untuk menubuhkan akademi bola sepak dengan kerjasama Kumpulan Brainy Bunch bagi melahirkan bakat bolasepak muda serta membantu bekas-bekas pemain profesional untuk mencurahkan pengalaman yang ada bagi perkembangan bolasepak negara," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:36 PM

Wednesday, 5 February 2020

'Melaka United lebih positif tanpa isu tunggakan gaji'

BERNAMA | | 5 Februari 2020


SAFIQ. Foto: Melaka United Soccer Association - MUSA
PERANCANG tengah Melaka United, Safiq Rahim optimis skuad Hang Tuah akan menikmati permulaan musim Liga Super 2020 yang positif susulan kejayaan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menyelesaikan masalah kewangan pasukan itu baru-baru ini.


Bekas ketua pasukan skuad Harimau Malaya itu berkata, perkembangan tersebut ternyata menyuntik semangat serta memberi motivasi kepada keseluruhan pasukan bagi memperbaiki pencapaian diraih musim lepas.

“Sebelum bermulanya saingan liga, kita (pasukan) mahukan elemen positif itu dirasai semua pihak, dari pemain hingga ke barisan pengurusan. Dengan adanya pengurusan pasukan baharu dan usaha telah dibuat, kita akan cuba lakukan sesuatu tahun ini dan berikan yang terbaik.

“Saya harap semua pemain, pengurusan dan keluarga besar Melaka, dapat bekerjasama menaikkan nama Melaka musim ini dan seterusnya di masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Melaka antara tiga pasukan yang diberi amaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya melangsaikan hutang atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan sebelum Jumaat lepas, atau dikenakan hukuman pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun, Melaka terlepas daripada hukuman itu selepas FAM mengesahkan MUSA telah menyelesaikan tunggakan tersebut, bersama pihak terlibat.

Dalam pada itu, Safiq berkata, Melaka United kini berada di landasan yang tepat selepas menjalani sesi latihan pra musim di Bandung, Indonesia selama lapan hari.

“Ia (pra musim) sedikit sebanyak memberi kesan yang baik dalam usaha pasukan mencari keserasian antara barisan pemain, dan kita juga dapat kenal pasti ruang yang boleh diperbaiki,” jelasnya.

Melaka United yang mengalami prestasi tidak seimbang musim lepas, menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keenam, kandas seawal pusingan kedua di saingan Piala FA, selain mara sehingga ke pusingan suku akhir Piala Malaysia. – Bernama.[1]




[1] https://www.sinarharian.com.my/article/68887/BERITA/Sukan/Melaka-United-lebih-positif-tanpa-isu-tunggakan-gaji

Layak beraksi di Eropah

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
TEMPAT penyerang negara, Safawi Rasid bukan di Liga Malaysia (Liga M) sebaliknya beraksi di liga Eropah.

Demikian pandangan legenda dan bekas kapten Liverpool, Jamie Redknapp yang mengakui terpegun dengan aksi hebat Safawi terutama menerusi tendangan kaki kiri berbisa.

Redknapp, 47, yang mencatat 237 penampilan bersama The Reds dari 1991-2002 menegaskan, Safawi memiliki potensi untuk diketengahkan di Eropah dengan pemain Harimau Malaya itu hanya memerlukan individu tepat bagi membuka jalan buatnya beraksi di sana.

Malah, beliau menyarankan supaya Safawi memberanikan diri mengorak langkah dengan mencontohi pemain muda Jepun, Takumi Minamino yang berani mencabar diri untuk mencuba nasib bersama Red Bull Salzburg di liga Austria sebelum dilamar juara Eropah, Liverpool Disember lalu.

“Sebelum saya datang ke Malaysia untuk menjadi tetamu dalam pelancaran Cadbury FC ini, anak saya membuka YouTube dan aksi pemain nombor 11 (Safawi) memikat hati saya.

“Dia berani menggelecek dan mempunyai sepakan percuma kaki kiri berkualiti dan terus terang, dia seorang pemain yang memikat mata saya. Saya rasa dia perlukan sedikit tuah seperti Minamino yang ke Liverpool. Dia juga perlu berani selain berusaha keras dan agresif dengan melihat lebih banyak perlawanan liga luar seperti EPL (Liga Perdana Inggeris).

“Apapun, dia ada kelebihan unik kaki kiri seperti mana Mohamed Salah. Kuncinya berani mencabar diri ke luar negara kerana dia masih muda dan bertenaga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Cadbury FC musim ketiga dengan penampilan eksklusif Redknapp dan trofi EPL di Malaysia, di sini, semalam.

Minggu lalu, kebolehan Safawi turut diiktiraf sebuah laman sosial bola sepak antarabangsa iaitu Trekker yang menyenaraikan pemain JDT itu sebagai bintang masa depan atau ‘future wonderkid’ bersama bintang muda lain dari seluruh dunia.

Turut disenaraikan penyerang Perancis, Kylian Mbappe; pemain Barcelona, Frenkie De jong; pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold dan tonggak tengah Chelsea, Christian Pulisic.

Sementara itu, mengulas mengenai pendekatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menggunakan pemain naturalisasi bagi menguatkan skuad kebangsaan, Redknapp melihatnya secara positif yang mampu meningkatkan kualiti pasukan.

“Kita kena lihat ia dari sudut pandang yang luas. Sekiranya kehadiran pemain naturalisasi boleh meningkatkan pasukan serta menaikkan persaingan antara pemain tempatan dan luar, apa salahnya dan Safawi adalah contoh di mana dia boleh bersaing mencuri tempat dengan pemain naturalisasi,” kata bekas pemain England itu.

Kelmarin, FAM mengesahkan Liridon Krasniqi sudah menerima taraf kewarganegaraan dan semakin hampir untuk bergelar pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh yang beraksi buat Harimau Malaya sejak dua tahun lalu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:20 AM


Tuesday, 4 February 2020

Safawi layak ke Eropah


MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
TEMPAT Safawi Rasid bukan di Liga Malaysia (Liga-M) sebaliknya beraksi di liga Eropah.

Demikian pandangan legenda dan bekas ketua pasukan Liverpool, Jamie Redknapp yang mengakui terpegun dengan aksi hebat Safawi terutamanya menerusi tendangan kaki kiri yang cukup berbisa.

Redknapp, 47, yang mencatat 237 penampilan bersama The Reds dari 1991-2002 menegaskan, Safawi memiliki potensi untuk diketengahkan di Eropah dengan pemain Harimau Malaya itu hanya memerlukan individu yang tepat bagi membuka jalan buatnya beraksi di sana.

Malah, beliau menyarankan supaya Safawi untuk memberanikan diri mengorak langkah dengan mencontohi pemain muda Jepun, Takumi Minamino yang berani mencabar diri untuk mencuba nasib bersama Red Bull Salzburg Liga Austria sebelum dilamar juara kelab Eropah, Liverpool Disember lalu.

“Sebelum saya datang ke Malaysia untuk menjadi tetamu dalam pelancaran Cadbury FC ini, anak saya membuka Youtube dan aksi pemain nombor 11 (Safawi) memikat hati saya.

“Dia berani mengelecek dan mempunyai sepakan percuma kaki kiri yang berkualiti dan terus terang, dia seorang pemain yang memikat mata saya mengenai pemain dari Malaysia.

“Saya rasa dia perlukan sedikit tuah seperti Minamino yang ke Liverpool. Dia juga perlu berani selain berusaha keras dan agresif dengan melihat lebih banyak perlawanan liga luar seperti EPL (Liga Perdana Inggeris).

“Apapun, dia ada kelebihan unik kaki kiri seperti mana Mohamed Salah. Kuncinya berani mencabar diri ke luar negara kerana dia masih muda dan bertenaga," katanya ketika ditemui pada Pelancaran Cadbury FC musim ketiga dengan penampilan eksklusif Redknapp dan trofi EPL di Malaysia, hari ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 11:43 PM


Tunggakan gaji Norhafiz selesai

MyMetroArena
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my

KAPTEN Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah lega apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berjaya menyelesaikan semua isu berbangkit membabitkan tunggakan gajinya.

Bekas pemain kebangsaan yang pernah beraksi bersama The Red Warriors selama tiga musim iaitu dari 2015 hingga 2017 itu berkata, KAFA membayar semua tunggakan gajinya, bulan lalu.

"Alhamdulillah, KAFA sudah menyelesaikan semua tunggakan gaji saya dengan pengurusan pasukan itu sebelum ini. Memang saya amat lega dengan tindakan KAFA yang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kepentingan bekas pemain.

"Saya ucapkan terima kasih di atas usaha pengurusan KAFA yang mengambil inisiatif dalam menyelesaikan masalah ini dan kini semua urusan mengenai tunggakan gaji itu tidak lagi berbangkit," katanya hari ini.

Dalam laporan sebelum ini, Norhafiz mendakwa terdapat tunggakan gajinya dengan KAFA berjumlah sekitar RM82,000.

Mengulas lanjut, pemain pertahanan berpengalaman berusia 38 tahun itu berkata, dengan penyelesaian tunggakan gaji terbabit, dia kini sudah boleh memberikan fokus kepada persiapan dan latihan bersama Negeri Sembilan.

"Kini, saya sudah boleh terus bagi tumpuan kepada latihan persiapan pasukan Negeri Sembilan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang akan bermula hujung bulan ini," katanya pemain kelahiran Melaka itu.

Dia juga berharap KAFA dan skuad Kelantan dapat berikan tumpuan kepada persiapan mereka untuk saingan musim ini dan mampu menempa kejayaan yang disasarkan.

"Kami dalam kelompok sama bersaing dalam Liga Perdana dan saya yakin semua pemain dalam setiap pasukan memiliki motivasi yang tinggi untuk menjulang nama pasukan masing-masing, musim ini," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 1:13 PM