Ad

Friday 4 October 2013

Kami tidak panik'

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Perunding Ortopedik, Dr. Gan Eng Cheng memeriksa kecederaan Wan Zack di sebuah hospital pakar swasta dekat Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR - Segalanya kini sudah pasti dan pencabar-pencabar Harimau Muda di Sukan SEA Myanmar 2013 pasti melonjak kegembiraan apabila mengetahui bintang utama, Wan Zack Haikal Wan Nor tidak akan beraksi nanti.
Wan Zack terlepas peluang membantu negara mempertahankan ibu segala pingat emas yang dimenangi sejak dua temasya lalu ekoran ditimpa kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament).
Bukan enam bulan, malah dia perlu melupakan bola sepak lebih lama daripada tempoh tersebut iaitu antara sembilan bulan hingga setahun, bergantung kepada kecederaan-kecederaan lain yang masih belum dapat dipastikan serta tahap pemulihan yang perlu dilaluinya.
Ini bermakna nasib malang yang dialami oleh Wan Zack pada Sukan SEA Indonesia 2011 berulang lagi apabila pada waktu itu dia juga terpaksa disisihkan kerana mendapat kecederaan lutut.
Selepas pemeriksaan di Hospital Pakar Damansara semalam, Wan Zack berkemungkinan berdepan risiko mendapat kecederaan lain seperti MCL (Medial Collateral Ligament), meniskus dan chondral, namun semuanya bergantung kepada pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee mengakui, dia berasa begitu kecewa mendapat berita berkenaan. Namun dalam bola sepak, dia perlu bersedia menerima apa-apa sahaja kemungkinan seperti ini walaupun tahu beberapa pencabar seperti Myanmar, Indonesia dan Thailand pasti tersenyum mendengar ketiadaan Wan Zack di dalam pasukan negara.
''Kecederaan ACL yang dialami oleh Wan Zack memang ternyata serius dan dia tidak boleh bermain minimum sekurang-kurangnya selama enam bulan dan doktor di FAM perlu mengambil masa dua minggu lagi untuk melihat kecederaan yang lain.
''Kita perlu menunggu laporan mengenai kecederaan yang lain seperti MCL kerana buat masa ini kakinya masih bengkak dan mungkin semasa melakukan pembedahan lututnya nanti, kita boleh nampak sama urat lututnya putus atau tidak.
''Saya tahu ketiadaan Wan Zack satu kehilangan yang besar kerana dia merupakan antara pemain yang cukup lincah dan aset terbaik kita ada tetapi itu tidak menjejaskan perancangan serta matlamat kami untuk memenangi pingat emas," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia, semalam.
Bagi Kim Swee, perhatiannya kini adalah mahu membentuk pemain-pemain lain yang masih ada sambil menegaskan kemampuan pengganti Wan Zack seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Syahrul Azwari dan D. Saarvindran tidak boleh diperkecilkan.
''Ketiadaan Wan Zack tidak menjejaskan moral dan tumpuan saya, perlu diingat masih ada beberapa nama yang boleh kita sandarkan seperti Syahrul, Kecik (Wan Zaharulnizam) dan Saarvindran malahan Nazirul Naim juga boleh bermain di posisi sayap kanan.
''Skuad ini mempunyai ramai pemain yang boleh diketengahkan, jadi tidak timbul kebimbangan yang kita tiada pengganti yang setanding Wan Zack," katanya.
Wan Zack yang sampai di Kuala Lumpur pada Rabu semalam, memilih untuk menjalani rawatan pemulihan di tanah air selepas mendapat kecederaan di bahagian lutut kanan semasa menjalani latihan dengan FC Ryukyu.
Pemain berusia 22 tahun itu yang ditemui selepas menjalani pemeriksaan merasakan cukup terkilan tidak dapat membantu negara di Sukan SEA tetapi apakan daya, nasi telah menjadi bubur dan fokusnya kini hanya mahu sembuh serta tidak mahu memikirkan kontraknya bersama FC Ryukyu.
''Saya tidak sangka boleh dapat kecederaan ini semasa latihan dan semuanya berlaku dengan pantas apabila diterjah daripada belakang oleh seorang pemain, memang nasib saya tidak baik," katanya.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131005/su_04/Kami-tidak-panik#ixzz2gnryDJA6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment