Ad

Thursday, 3 December 2015

Noktah babak hidup seniwati Mariani


 

Noktah babak hidup seniwati Mariani
Oleh HARYATI KARIM & MOHD. HAIKAL ISA
Foto UNIT FOTO UTUSAN
IKUT JEJAK - Arwah Mariani merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan bidang seni kepada anaknya Melissa (kiri).

Pada babak-babak terakhir episod wanita bernama Mariani, bakat sebagai seniwati negara seperti duduk dalam satu acuan, menjadi hantu atau wanita antagonis. Sampai pada satu ketika, wanita tua dengan urat pada wajah dan tubuhnya sudah nampak timbul serta jalannya juga tidak selancar dahulu, kecuali tutur dan salam perkenalan yang disambut mesra itu lelah.

Sempat beliau menyatakan sudah terlalu penat disogok terus dengan watak sedemikian. Beliau mahu berehat, tetapi bukan berhenti. Mana mungkin beliau membelakangkan satu-satu kecintaannya ini.

Sehingga pada tanggal 1 Disember seperti semilir angin lembut bulan terakhir kalender 2015, Mariani pergi menghadap Ilahi pada usia 82 tahun.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarganya pada pukul 7.32 malam di kediaman salah seorang anak perempuannya, Sharifah Haslinda di Taman Kosmo Jaya, Sentul, Kuala Lumpur selepas hampir setahun berperang dengan penyakit kanser usus yang dihidapinya.

Barangkali untuk generasi kini bakti Mariani bagai tiada erti. Entahkan mereka kenal atau tidak siapa Mariani. Sudah tidak relevan dan terkeluar daripada carta barisan popular masa kini. Beliau tidak lagi jelita atau menjadi pertaruhan pengarah seperti zaman kegemilangannya di Studio Jalan Ampas di Singapura dahulu. Namun, bagi khalayak yang pernah duduk dalam zon dan terowong masa Mariani atau nama sebenarnya Mariam Ismail, beliau adalah permata yang banyak mengusik emosi penonton dalam setiap tingkah laku seninya.

Sejak dinobatkan sebagai ratu cantik Singapura pada tahun 1951, Mariani yang juga kakak kepada Allahyarham biduanita Puan Sri Saloma dihujani tawaran lakonan.

Bukan sedikit filem yang pernah menggunakan khidmatnya.

Naskhah-naskhah yang masih malar segar seperti Nasib Labu Labi, Labu Labi, Putus Sudah Kasih Sayang, Hang Tuah dan Ahmad Albab serta Siti Muslihat misalnya, antara filem yang meletakkan Mariani sebagai bintang filem tersohor dan dipuja ramai.

Ada juga beberapa naskhah masa kini seperti Pontianak Harum Sundal Malam 2, Mantra, Khurafat dan terbaharu Cara Mengundang Hantu yang ditayangkan pada tahun lalu masih menghargai nilai dan bakat Mariani.

Fakta yang tercatat juga, wanita ini pernah mendapat tempat dalam hati seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sebagai kekasihnya, malah sempat mereka ‘beradu’ bakat dalam beberapa naskhah hebat zaman hitam putih seperti Masam-Masam Manis dan Tiga Abdul.

Terkesan

Belum mahu mengalah untuk memberi bakti terhadap dunia seni yang disayangi, Mariani sempat terbabit dengan drama Semerah Padi yang merupakan naskhah terakhir lakonannya.

Disebabkan beliau tidak pernah berhenti berlakon sehingga ke hujung hayatnya, pemergian Mariani amat dirasai oleh kebanyakan penggiat seni tempatan. Ratusan teman seperjuangan hadir memberi penghormatan terakhir pada majlis pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pagi semalam.

Anak bongsunya, Melissa Saila yang juga seorang pengarah dan aktres terkenal mendedahkan, meskipun arwah ibunya menderita penyakit kanser usus, beliau jarang mengadu sakit. Sebaliknya, lebih banyak menyimpan rapi tentang penyakit itu kerana enggan merisaukan orang sekelilingnya sehingga ibunya koma pukul 6 pagi Selasa lalu.

“Kali terakhir bertemu dengan mummy ketika dia berada di rumah saya. Mummy beritahu supaya jangan bimbang tentang dirinya dan meminta untuk pulang ke Sentul. Walaupun sakit, mummy jarang mengadu tentang penyakitnya dan dia sangat tabah,” kata Melissa.

Meskipun reda dengan ketentuan Ilahi, Melissa cukup terkesan dengan kehilangan ibu tercinta apatah lagi, beliau merupakan orang yang bertanggungjawab membentuknya menjadi insan seni yang disegani.

Seorang lagi anak Mariani, Sharifah Rozita Rohaizat bersyukur kerana sempat menghabiskan masa bersama ibunya di hari-hari terakhir hayat beliau. Baginya, Mariani seorang ibu yang sangat selamba dan tidak suka menyusahkan anak-anak sehingga beliau meninggal dunia.

Bagaimanapun, sebagai anak, dia terkilan kerana sepanjang hayat ibunya bergelar anak seni, beliau belum pernah dikurniakan sebarang anugerah.

“Pada hari mummy meninggal dunia, kami adik-beradik sempat menunaikan solat Maghrib berjemaah. Selesai sahaja solat mummy pergi (meninggal dunia). Alhamdulillah mummy pergi dengan aman bersama keluarga di sisinya. Saya ada banyak kenangan dengan mummy kerana kami selalu buat persembahan bersama.

“Kali terakhir persembahan dengan mummy adalah di Selayang Mall, Selangor pada September lalu.

“Malah, sepatutnya kami berdua ada persembahan bersama pada 1 Januari depan di Menara Kuala Lumpur, tetapi Allah lebih sayangkannya. Sepanjang hidup, mummy mencurahkan bakti sebagai anak seni dan berlakon banyak filem serta drama, namun tidak pernah dapat sebarang anugerah.

Anugerah

“Sebenarnya itu harapan saya, nampaknya tidak kesampaian,” ujar Rozita.

Sementara itu Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi menjelaskan dia baru sahaja melawat arwah di kediaman Melissa sekitar bulan lalu dan sempat bertanyakan status kesihatannya. Pihaknya turut mencadangkan namanya untuk diberi Pingat Setia Diraja yang membawa gelaran Datuk kerana sumbangan besarnya dalam bidang seni tempatan.

“Pihak Seniman berasa arwah sememangnya layak untuk menerima penghargaan tersebut kerana perjuangannya dalam persatuan, seni dan sebagainya. Arwah juga sempat berpesan supaya saya menjaga persatuan Seniman dan jangan abaikan sesiapa terutama artis veteran,” tuturnya yang pernah berlakon bersama Mariani.

Dalam pada itu, anak kepada arwah pelakon A. R Tompel, Amran memberitahu kali terakhir dia bertemu dengan Mariani ketika penggambaran drama Kampung Semerah Padi tahun lalu.

Amran yang mengenali Mariani sejak kecil ketika tinggal di Singapura menyifatkan beliau seorang yang baik dan jarang menunjukkan kemarahan.

Bagi rakan akrabnya, Sofhia Ibrahim pula, kehilangan Mariani memberi kesan mendalam terhadap hidupnya.

Kali terakhir bertemu seniwati itu dalam satu persembahan di Selayang Mall tiga bulan lepas, Sofhia menyifatkan Mariani sebagai individu paling baik yang pernah dikenalinya.

“Allahyarham merupakan orang yang paling baik pernah saya kenal. Dia tidak suka campur hal orang lain, tidak suka mengumpat. Dia merupakan senior kepada saya dan banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

“Alhamdulillah, dia pergi dengan aman dan tenang. Merdeka Studio menjadi titik perkenalan saya dan arwah suatu ketika dahulu serta rakan artis lama yang lain,” ujarnya yang mesra disapa sebagai Peah oleh arwah.

Begitulah, banyak orang mengenang kebaikan dan kenangan yang pernah ditebarkan oleh Mariani sepanjang hayatnya.

Selain ingatan yang baik-baik dan kata pujian yang mengalir seperti air sungai, gugusan doa mengiringi pemergian seniwati legenda itu pada pagi yang permai Selasa lalu. Mariam Ismail, semoga dipeluk dalam golongan orang yang beriman.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz3tGM7JEY4 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment