Ad

Thursday, 3 December 2015

Tragedi tanah runtuh di Lentang

 
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memotong kayu balak di dalam sungai bagi membolehkan air mengalir selepas dilanda banjir lumpur.

SUASANA damai Kuaters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di Lentang, Bentong, Pahang yang kebiasaannya tenang tiba-tiba berubah baru-baru ini.

Keadaan persekitaran di kuaters itu bagai dibadai ‘tsunami’ apabila air lumpur yang membawa bersama batu-batu besar, sisa kayu dan pokok balak terdampar di kawasan perumahan tersebut.

Penghuni di kuaters itu tidak menyangka, bunyi dentuman kuat yang mengejutkan mereka merupakan bongkah batu besar dan kayu balak yang jatuh dari atas bukit.

Menurut seorang penduduk, Suhaimi Ahmad, 55, ketika kejadian, isterinya sedang menyediakan makan malam sebelum secara tiba-tiba selut lumpur menerpa masuk ke rumahnya menerusi bahagian dapur.

“Isteri saya terkejut kerana lumpur tiba-tiba memasuki rumah kami. Namun, dia sempat berpaut pada pintu kerana air bercampur lumpur menderu masuk ke dalam rumah,” jelasnya.

“Sebelum kejadian itu berlaku, dia terdengar bunyi dentuman yang kuat seakan-akan bunyi petir. Namun, sangkaan saya meleset sama sekali kerana bunyi itu adalah kesan daripada beberapa bongkah batu besar dan kayu balak jatuh dari atas bukit,” jelasnya.

Pada masa sama, kejadian itu juga telah menyebabkan berlaku tanah runtuh laluan Kilometer 52.4 di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dekat Lentang, Bentong, Pahang.

Kejadian yang berlaku pada pukul 7.18 malam itu dipercayai berpunca daripada banjir kilat akibat kegiatan pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal Lentang yang terletak berdekatan lokasi tanah runtuh tersebut.

Ekoran kejadian tanah runtuh itu, kenderaan tidak dapat bergerak sehingga mengakibatkan kesesakan teruk di laluan yang menghala ke Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Sharifa Sabrina Syed Akil berkata, tanah runtuh di kawasan itu sudah dijangka kerana pembalakan berleluasa di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal Lentang berdekatan lokasi kejadian.

Ekosistem hutan




ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memotong kayu balak di dalam sungai bagi membolehkan air mengalir selepas dilanda banjir lumpur.

Menurutnya, kerja-kerja pembalakan di sekitar kawasan hutan simpan itu wajar diharamkan kerana ia merupakan kawasan tadahan air hujan.

“Sekiranya ekosistem hutan di negeri ini menjadi kronik, ia akan memberi kesan kepada seluruh ekosistem di Malaysia kerana banjaran utama terletak di Pahang,” jelasnya.

Tegas Shariffa Sabrina, pihak berkuasa sepatutnya mengharamkan sebarang aktiviti pembangunan dan pembalakan di mana-mana kawasan tinggi walaupun tanah itu milik persendirian.

Sementara itu, pakar menegaskan bahawa aktiviti penerokaan hutan di hulu sungai antara punca mencetuskan aliran gelongsoran tanah sehingga boleh menyebabkan terjadinya tanah runtuh seperti mana yang berlaku di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak itu.

Pakar Geologi, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo pula berkata, aliran gelongsoran tanah biasanya berlaku di alur atau anak sungai di kawasan lereng bukit mahupun pergunungan apabila hujan lebat.

Jelasnya, ekoran pergerakan tanah itu, beberapa siri tanah runtuh akan berlaku, sekali gus menyebabkan batu, pokok pasir dan segala sedimen tanah dibawa arus menuruni bukit.

“Setiap satu sungai di kawasan berbukit mempunyai potensi berlaku aliran gelongsoran tanah terutamanya ketika hujan lebat yang menyebabkan air sungai melimpah selain mengakibatkan hakisan tebing,” katanya.

Tambahnya, anak sungai di kawasan bukit dan pergunungan yang diganggu aktiviti manusia lebih berisiko mengalami fenomena itu.

Justeru, Ibrahim berpendapat, adalah penting untuk mengenal pasti sungai-sungai berisiko menghadapi gelongsoran tanah supaya langkah berjaga-jaga dapat diambil bagi mengelak kesan kemusnahan yang lebih besar terhadap persekitaran.

“Jika kita dapat mengenal pasti sungai-sungai terlibat di peringkat awal, kita boleh bersedia dengan benteng penahan untuk menyekat sisa runtuhan daripada mengalir menuruni bukit sebelum ia merebak ke kawasan perumahan atau jalan raya,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_02.htm#ixzz3tGU4i100 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment