Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
MENYAMBUT tahun baru 2007,
artikel yang dipaparkan ini adalah merupakan keluaran pertama tentang Ulama
Nusantara dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia.
Atau merupakan artikel yang
ke-147 jika dihitung mulai siaran tahun 2004, sepanjang tahun 2005 sehingga
Disember 2006. Sekali gus pula kita menyambut pemasyhuran Sultan Mizan Zainal
Abidin Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebagai Yang Dipertuan
Agong Malaysia Yang Ke-13, pada 13 Disember 2006. Baginda berasal dari kerajaan
Terengganu.
Sepanjang saya memperkenalkan
ulama-ulama dunia Melayu dalam tahun-tahun yang tersebut, ada beberapa orang
ulama Terengganu juga telah diperkenalkan, termasuklah seorang Sultan
Terengganu yang alim dan warak. Baginda ialah Sultan Zainal Abidin III. Hingga kini
tiada siapa dapat menafikan bahawa yang mencorakkan Islam di Terengganu,
pertama ialah dari keturunan Saiyid dan yang kedua ialah ulama-ulama yang
berasal dari Patani.
Dalam keluaran ini, bagi saya
adalah merupakan sambutan tahun baru 2007, sekali gus menyambut adanya jati
diri keperkasaan dan kemahawangsaan Melayu Islam dibuktikan daulat Raja-Raja
Melayu, dilambangkan dengan Pemasyhuran Yang Dipertuan Agong pada tarikh
tersebut di atas.
Artikel ini mengkhususkan
perkara salasilah ulama Terengganu yang sangat erat dengan ulama Patani. Di
antara mereka yang pernah ditulis sebelum ini ialah Sultan Zainal Abidin III
Umara Bertaraf Dunia (28 Februari 2005), Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas (14 Mac
2005), Syeikh Nik Mat Kecik Al-Fathani Hakim Mahkamah Syarie di Mekah (25 April
2005), Syeikh Muhammad Nur Al-Fathani Pembesar Dua Pemerintah Makkah (23
Januari 2006), Tok Syeikh Duyung Syeikhul Ulama Terengganu (6 Mac 2006), Tuan
Guru Abdul Hamid Besut Anak Murid Tuan Bendang Daya (20 Mac 2006), Tok Ku
Melaka Ulama Terengganu Keturunan Nabi Muhammad (8 Mei 2006), Saiyid Muhammad
Al-Aidrus Bapak Kesusasteraan Melayu Terengganu (11 September 2006), Tok Ku
Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu (18 September 2006) dan Syeikh
Wan Daud Al-Fathani, Bahjatuddin Al-Arif Ar-Rabbani (23 Oktober 2006).
Semua ulama yang tersebut ada
hubungan yang sangat erat selain kaitan sanad ilmu sekali gus di antara mereka
ada yang erat hubungan nasab.
Pertikaian
Syeikh Wan Senik al-Karisiqi,
iaitu moyang Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang bererti juga Syeikh Wan
Senik adalah termasuk moyang atau datuk nenek kepada beberapa ulama Terengganu
yang terdekat di antara mereka seperti Syeikh Abdul Qadir (Tok Bukit Bayas),
Syeikh Abdullah bin Muhammad Amin (Tok Duyung) dan lain-lain.
Jauh sebelum penghijrahan
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan rombongan ke Pulau Duyung Kecil
Terengganu jalinan kekeluargaan Patani dan Terengganu berjalan sudah sejak
lama, sekurang- kurangnya sejak Sultan Zainal Abidin, Sultan Terengganu lagi.
Hingga sekarang hubungan tersebut tidak pernah terputus.
Walaupun ada beberapa
pertikaian pendapat di antara satu versi salasilah dengan salasilah versi yang
lainnya, namun tidak bererti memutuskan hubungan kekeluargaan. Bahkan dengan
adanya pertikaian pendapat yang termaktub dalam salasilah adalah mendorong kita
supaya melakukan penyelidikan yang lebih kemas, jika ada tenaga dan
berkemampuan berfikir tetap berusaha untuk mentahqiqkannya.
Asal usul
Dalam artikel yang lalu
disebutkan bahawa Wan Husein as-Sanawi mempunyai ramai adik-beradik. Antaranya
ialah Syeikh Wan Senik al-Karisiqi. Nama lengkap ialah Al-Allamah Syeikh Wan
Senik al-Karisiqi al-Fathani bin Ali (Sultan Qanbul/Qunbul) bin Manshur
al-Laqihi (Saiyid Ahmad atau Saiyid Ahmad Samman al-Aidrus) bin Saiyid Hakim
(Saiyid Kuning) bin Saiyid Husein (Sultan Pak Tani), salasilah ini diringkaskan
dari artikel, Wan Husein As-Sanawi Al-Fathani, 18 Disember 2006.
Huraian salasilah bahawa Syeikh
Wan Senik kahwin dengan Zainab asy-Syandani binti Abdur Rahman al-Fathani bin
Ibrahim al-Hadhrami memperoleh anak bernama Wan Husein al-Karisiqi.
Anak Syeikh Wan Senik
al-Karisiqi yang lain ialah Syeikh Wan Idris, kemungkinan dari isteri beliau
yang lain. Anak Syeikh Wan Idris bernama Syeikh Wan Abdullah. Syeikh Wan
Abdullah ini adalah ayah pada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama dunia
Melayu yang banyak mengarang kitab. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani
mempunyai beberapa orang adik-beradik, iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan
Idris, Syeikh Wan Abdur Rasyid dan Hajah Siti Khadijah.
Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fathani ibunya bernama Wan Fathimah. Ibu Wan Fathimah ialah Wan Salamah
binti Tok Bandar Wan Su. Isteri Tok Bandar Wan Su ialah Wan Nafisah. Tok Bandar
Wan Su adalah anak Tok Kaya Rakna Diraja (Wan Yusuf). Wan Yusuf adalah
adik-beradik dengan Wan Ismail (Tok Kaya Pendek atau Tok Kaya Pandak).
Ayah kedua-duanya ialah Nik Ali
atau Faqih Ali. Jika kita perhatikan dengan teliti bahawa salasilah Syeikh Wan
Senik sampai kepada Saiyid Husein (Sultan Pak Tani) adalah semuanya dari pihak
lelaki sedang salasilah yang satu lagi dicelahi dengan perempuan, bernama
Fathimah. Naik ke atas melalui dua orang perempuan, iaitu ibu dan nenek Wan
Fathimah hingga sampai kepada Nik Ali atau Faqih Ali.
Kesimpulan bahawa kedua-dua
salasilah di atas adalah tidak bertentangan atau pertikaian pendapat antara
satu dengan yang lainnya, kerana salasilah yang satu ialah membicarakan
salasilah lurus lelaki semuanya sedang salasilah yang satu lagi ialah
membicarakan beberapa orang dari pihak sebelah ibu.
Syeikh Wan Abdullah (Tok Syeikh
Duyung) bin Syeikh Wan Muhammad Amin bin Wan Abdur Rahman al-Fathani. Wan Abdur
Rahman al-Fathani kahwin dengan Wan Salamah (kahwin sepupu). Ibu Wan Abdur
Rahman bernama Wan Tih adalah adik beradik dengan ayah Wan Salamah namanya Wan
Derauk (Wan Abdur Rauf) bin Wan Damit. Ibu Wan Abdur Rauf dan Wan Tih ialah Wan
Ti binti Wan Abu Bakar bin Wan Ismail (Tok Kaya Pendek atau Tok Kaya Pandak).
Jalur yang sama
Salasilah yang tersebut di atas
sangat erat dengan Syeikh Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyung) yang pada zamannya
menjadi Syeikh Ulama Terengganu. Salasilah beliau selengkapnya ialah Syeikh Wan
Abdullah bin Syeikh Wan Muhammad Amin. Syeikh Wan Muhammad Amin kahwin dengan
Wan Aminah (ibu Tok Syeikh Duyung) adalah masih dalam lingkungan keluarga yang
dekat.
Syeikh Wan Muhammad Amin
ayahnya ialah Wan Abdur Rahman. Ibu Wan Abdur Rahman bernama Wan Tih, ibunya
bernama Wan Ti binti Wan Abu Bakar bin Wan Ismail (Tok Kaya Pendek atau Tok
Kaya Pandak).
Salasilah ini bertemu pada
jalur yang sama pada catatan salasilah pihak ibu Syeikh Wan Abdullah (Tok
Syeikh Duyung) yang tersebut di atas ialah Wan Aminah binti Wan Derahmat bin
Wan Derahman bin Wan Abu Bakar bin Wan Ismail (Tok Kaya Pendek atau Tok Kaya
Pandak).
Syeikh Wan Abdullah (Tok Syeikh
Duyung) masih ada jalur kekeluargaan yang dekat dengan Syeikh Nik Mat Kecik
atau Syeikh Muhammad Shaghir, yang pada kitab-kitab karangannya dinyatakan
namanya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudiyi al-Fathani.
Beliau bukan dilahirkan di
Patani tetapi di Pulau Duyung Kecil, Terengganu, ketika terjadi penghijrahan
besar-besaran keluarga ini dari Patani ke Terengganu akibat pencerobohan atau
serangan Siam terhadap Daulah Kerajaan Patani. Silsilah lengkap beliau ialah
Syeikh Wan Muhammad bin Wan Ismail bin Wan Ahmad ibunya bernama Wan Aisyah.
Wan Aisyah adalah adik-beradik
dengan Wan Salamah (nenek Tok Syeikh Duyung). Ayah kedua-duanya bernama Wan
Derauk (Wan Abdur Rauf) bin Wan Damit. Ibu Wan Derauk (Wan Abdur Rauf) bernama
Wan Ti binti Wan Abu Bakar bin Wan Ismail (Tok Kaya Pendek atau Tok Kaya
Pandak).
Pertalian Syeikh Nik Mat Kecik
al-Fathani / Syeikh Muhammad Shaghir al-Fathani dengan Syeikh Wan Senik
al-Karisiqi al-Fathani pula, bahawa ibu Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani bernama
Wan Zainab binti Syeikh Wan Idris al-Fathani. Adik-beradik dengan Wan Zainab
ialah Wan Fathimah, iaitulah ibu pada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman bin
Utsman al-Fathani. Syeikh Wan Idris al-Fathani yang tersebut ialah datuk kepada
Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman
al-Fathani. Beliau adalah adik-beradik dengan Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fathani.
Ini bererti Syeikh Nik Mat
Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah cucu
saudara Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Mengenai salasilah lengkapnya
hingga sampai kepada Syeikh Wan Senik al-Karisiqi al-Fathani tidak perlu
dibicarakan lagi kerana cukup jelas naik ke atas melalui jalur Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fathani.
Adik-beradik Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fathani yang bernama Syeikh Abdul Qadir bin Abdullah al-Fathani
menurunkan ulama-ulama besar ialah Syeikh Wan Muhammad Shalih al-Fathani
(anak), Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani (cucu), dan Syeikh Wan Syamsuddin
al-Fathani (cicit).
Dua orang adik beradik Syeikh
Daud bin Abdullah al-Fathani menyebarkan Islam di Aceh ialah Syeikh Wan Abdur
Rasyid bin Abdullah al-Fathani dan Syeikhah Hajah Siti Khadijah binti Abdullah
al-Fathani.
Kedua-duanya meninggalkan
keturunan di Aceh. Ada orang meriwayatkan bahawa Teungku Muhd. Daud Beureueh
ulama dan pejuang Aceh yang terkenal adalah keturunan salah seorang dari kedua
adik-beradik itu.
Masih belum jelas, tetapi yang
pasti beliau diberi nama Daud mengambil berkat nama moyang saudaranya Syeikh
Daud bin Abdullah al-Fathani.
Janggut merah dan janggut putih
Terlalu ramai ulama yang
penting dalam lingkungan keluarga ini, tidak mungkin diriwayatkan seluruhnya
dalam ruangan yang sangat terbatas ini, tetapi perlu juga saya sentuh dengan
agak ringkas bahawa ada yang digelar dengan Syeikh Janggut Merah dan Syeikh
Janggut Putih.
Syeikh Janggut Merah dan
Syeikh Janggut Putih mempunyai tujuh adik-beradik tetapi saya riwayatkan di
sini dua orang saja.
Yang dimaksudkan dengan Syeikh
Janggut Merah ialah Syeikh Wan Ismail bin Ahmad al-Fathani dan Syeikh Janggut
Putih ialah Syeikh Wan Yusuf bin Ahmad al-Fathani.
Syeikh Wan Ismail Janggut Merah
ialah ayah Syeikh Nik Mat Kecik. Adik-beradik Syeikh Nik Mat Kecik ada lima
orang iaitu Wan Hitam atau Wan Siti, Wan Aisyah, Hajah Wan Maryam dan Syeikh
Wan Isa, meninggal dunia di Pulau Bunguran (Natuna), Kepulauan Riau.
Wan Aisyah kahwin dengan Haji
Wan Idris, anaknya Wan Daud. Wan Daud kahwin dengan sepupunya Wan Fathimah
binti Syeikh Nik Mat Kecik.
Anak keduanya ialah Haji Nik
Abdur Rahman al-Makki (Terengganu) dan Haji Nik Ishaq Tingkat, salah satu versi
salasilah penyusunan artikel ini susunan beliau juga dirujuk.
Hajah Wan Maryam binti Syeikh
Janggut Merah kahwin dengan Wan Abdullah bin Syeikh Yusuf Janggut Putih.
Di antara anaknya yang menjadi
ulama ialah Hajah Wan Siti Saudah dan Haji Wan Ismail. Hajah Wan Siti Saudah
kahwin dengan Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, memperoleh anak Hajah Wan Zainab
(ibu saya, Wan Mohd. Shaghir Abdullah, penulis artikel ini).
Hajah Wan Maryam dan anaknya
Haji Wan Ismail al-Fathani meninggal dunia di Skudai, Johor. Hajah Wan Siti
Saudah pula meninggal dunia di Pulau Penyengat Riau.
* Untuk maklumat lanjut
mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_kha
zanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.
SUMBER- UTUSAN MALAYSIA ONLINE
1.1.2007
No comments:
Post a Comment