Oleh IKHWAN IDERIS
PEMAIN Pahang yakin mampu
mengalahkan Selangor pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di
Stadium Shah Alam esok.
MESKIPUN sekadar seri sewaktu
menentang Selangor dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di
Stadium Darul Makmur, Kuantan, Rabu lalu, pengurus Pahang, Che Nasir Salleh
percaya pasukannya mampu melangkah ke final.
Menurutnya, pasukan Tok Gajah
hanya perlu bermain seperti biasa dan berusaha mencari gol awal memandangkan
Selangor tidak memperoleh sebarang gol di tempat lawan dalam pertemuan sebelum
ini yang berkesudahan seri tanpa jaringan.
“Saya yakin kami mampu menang,
cuma barisan serangan perlu berusaha lebih keras untuk mencari gol di tempat
lawan yang akan melayakkan kami ke final. Bagi saya ia bukan masalah besar
dengan barisan pemain penyerang yang kami ada.
“Sebelum ini pun kami telah
menewaskan mereka di Shah Alam dengan kemenangan selesa 3-1,” katanya sewaktu
dihubungi Kosmo! semalam.
Keyakinan Nasir turut dikongsi
pemain tengah, Mohd. Hafiz Kamal yang baru menyambut kelahiran anak sulungnya
baru-baru ini.
Menurut Hafiz, barisan pemain
Selangor yang diturunkan jurulatih mereka, Mehmet Durakovic di Darul Makmur
dalam perlawanan tiga hari lalu tidak jauh berbeza dengan pasukan yang
ditewaskan Pahang 3-1 di Shah Alam dalam saingan Liga Super sebelum ini.
“Cuma kami tidak bernasib baik
untuk menjaringkan sebarang gol tempoh hari meskipun memperoleh banyak peluang
keemasan.
“Saya masih yakin Pahang mampu
menang, bagaimanapun kami tidak boleh sama sekali merendahkan keupayaan pihak
lawan.
“Peluang bagi kedua-dua pasukan
untuk mara ke final adalah seimbang. Pasukan yang akan layak ke final ialah
pasukan yang paling kurang melakukan kesilapan dalam perlawanan nanti,”
katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1205&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3tSbzxYqH
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment