Ad

Thursday, 1 July 2021

Nilai Arif Aiman kini RM600,000

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Pemain sayap JDT, Arif Aiman (kanan) ketika beraksi dalam saingan ACL di Bangkok. FOTO Ihsan JDT

Kuala Lumpur: Pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi kini muncul pemain sayap muda termahal dalam Liga Malaysia (Liga M) apabila nilainya mencecah 125,000 Euro atau bersamaan RM600,000 ketika ini.

Nilai berkenaan dianggap cukup mahal buat pemain yang baru berusia 19 tahun, malah dia turut berada pada kedudukan ketiga termahal sebagai pemain sayap tempatan di belakang Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

Menurut ejen berpengalaman, Effendi Jagan Abdullah, nilai Arif yang juga tonggak utama Johor Darul Ta'zim (JDT) sememangnya mengejutkan ketika dia baru sahaja berusia 19 tahun.

Namun kata Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd itu, peningkatan nilai terbabit banyak didorong oleh kejayaan pemain berasal dari Pahang itu menembusi kesebelasan utama JDT dan skuad Harimau Malaya.

Tiga penampilan yang diraih di peringkat antarabangsa pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bersama skuad negara selain beraksi sebagai tonggak utama di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan JDT meletakkan nilainya naik mencanak.

"Arif ada potensi untuk pergi lebih jauh dan nilainya juga boleh mencecah kepada jumlah asas buat pemain import iaitu 250,000 Euro. Sebab apa saya berkata begitu, Arif ada kebolehan dan teknik permainan yang bagus sebagai pemain sayap.

"Apa yang dia perlu lakukan ialah kekalkan prestasi dan raih lebih banyak minit permainan kerana ia akan mempengaruhi nilai dirinya. Lagi banyak dia dapat minit permainan, lagi naik nilai.

"Dengan nilai permulaan sebegitu dan usianya yang sangat muda, saya percaya nilai dia akan bertambah dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi semakan di laman web Transfermarkt.com, 'tanda harga' Safawi kekal pada 300,000 Euro (RM1.46 juta) sementara Sumareh pada nilai 150,000 Euro (RM734,000) untuk kedua-duanya mengungguli carta pemain sayap termahal Liga M.Laman Transfermarkt membuat penilaian pemain menggunakan data dari 13 perlawanan Liga M dan status panggilan ke skuad kebangsaan serta ACL untuk mengukur nilai pemain buat masa ini.

Bagaimanapun, secara keseluruhan penyerang KV Kortrijk di Liga Belgium, Luqman Hakim Shamsudin masih memegang status pemain muda termahal Malaysia dengan nilai 150,000 Euro (RM734,000) ketika ini.

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 9:37pm.1

_____________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/725223/nilai-arif-aiman-kini-rm600000

No comments:

Post a Comment