Ad

Thursday, 26 February 2015

Safee tutup mulut pengkritik




 
SAFEE (kiri) kembali mendapat keyakinan setelah menjaringkan gol pertama pada musim ini.
PERCATURAN ketua jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT), Bojan Hodak yang menurunkan Safee Sali pada aksi pertama Kumpulan F Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ternyata membuahkan hasil apabila penyerang negara itu membalas kepercayaannya dengan menyumbang satu gol menarik ketika membenam wakil India, East Bengal FC 4-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.

Gol menerusi aksi akrobatik Safee, 31, pada minit ke-53 jelas memberi makna yang besar buat pemain kelahiran Kajang, Selangor itu selepas kredibilitinya sebagai penyerang prolifik negara mula menjadi persoalan ramai setelah kerap kali memanaskan bangku simpanan skuad Harimau Selatan ekoran kecederaan serta kemerosotan prestasi.

Namun, pemain yang pernah menerima gaji lumayan ketika bersama pasukan Indonesia, Pelita Jaya pada 2011/12 itu berjaya menutup mulut pengkritiknya apabila kembali me­nemui sentuhan pertamanya tahun ini menerusi gol menarik tersebut selepas Nazrin Nawi, Safiq Rahim dan S. Chanturu masing-masing memberi kelebihan buat Harimau Selatan pada minit kesembilan, ke-37 dan ke-47.

“Dalam bola sepak, sesuatu keputusan dan tindakan yang dibuat dengan pantas adalah sesuatu yang penting. Ketika melihat bola tersebut menuju ke arah saya, ketika itulah saya telah buat keputusan untuk melakukannya (tendangan akrobatik) dan tidak fikir terlalu lama.

“Saya pernah melakukannya ketika beraksi pada Liga Bola Sepak Indonesia dan syukurlah malam ini (malam kelmarin) saya sekali lagi berjaya menjaringkannya,” jelas Safee ketika diminta mengulas tentang jaringannya itu selepas perlawanan berakhir.

Mengakui masih mencari-cari rentak dalam permainannya, Safee yang membantu skuad Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF pada 2010 mendedahkan bahawa dia kini berharap gol tersebut akan menjadi penyuntik kepada moral dan perjalanan kariernya bersama Johor DT musim ini.

“Memang pada awal permainan saya masih mencari-cari rentak kerana tidak beraksi dalam beberapa perlawanan tahun ini.

“Apa yang penting ialah saya mendapat kembali keyakinan selepas menjaringkan gol ini. Saya amat berterima kasih kepada rakan sepasukan yang lain kerana banyak membantu saya dalam latihan dan perlawanan. Apa pun, saya sudah bersedia jika diturunkan pada perlawanan selepas ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Hodak meluahkan kegembiraannya apabila menyaksikan percaturannya menurunkan Safee sebagai penyerang tunggal malam tersebut membuahkan hasil.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3SrFF4zjQ
Hakcipta terpelihara

Wednesday, 25 February 2015

Pengantin cipta rekod diiringi 130 pengapit semasa berkahwin




 
AGENSI - MAJLIS perkahwinan Simmons dan Ewing berjaya mencatat rekod dalam Guinness World Records apabila memiliki 130 orang pengapit bagi mengiringi majlis mereka yang berlangsung di Harrogate, Britain baru-baru ini.

HARROGATE, Britain – Majlis perkahwinan seorang penyampai radio di sini baru-baru ini berlangsung penuh meriah apabila dia dan pasangannya diiringi oleh 130 orang pengapit sekali gus mencatat rekod dalam Guinness World Records.

Penyampai radio stesen All Star FM itu, Alex Simmons, 32, dan isterinya, Amy Ewing, 26, mengadakan majlis perkahwinan mereka di Taman Rudding, Harrogate, utara Yorkshire.

Sebelum ini, rekod pengapit paling ramai dipegang oleh pasangan dari Sri Lanka yang memiliki 126 pengapit ketika melangsungkan perkahwinan.

“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk memujuk Amy supaya menerima lamaran saya walaupun kami baru sahaja berkenalan,” kata Simmons.

Berkenalan pada tahun 2014, Simmons dan Ewing juga berjaya memenangi hadiah berjumlah £110,000 (RM618,318) dalam satu pertandingan merancang majlis perkahwinan di laman sosial Facebook. - Agensi


SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3SlvagdhbHakcipta terpelihara

Lupakan kekalahan kepada PDRM’



-Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my
APEK tekad mempamerkan aksi terbaik bagi mengelakkan gawang The Red Warriors dibocori pada perlawanan menentang Sarawak pada kempen Piala FA di Kuching, Jumaat ini.

PENJAGA gawang The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat mahu rakan-rakan sepasukannya melupakan kekalahan mengaibkan 0-4 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabtu lalu, sebaliknya fokus untuk menentang Sarawak pada aksi pusingan kedua Piala FA di Kuching, Jumaat ini.

Khairul Fahmi atau Apek berkata, kekalahan kepada PDRM hujung minggu lalu wajar dijadikan sebagai pengajaran dalam usaha kembali memperkasakan pasukan untuk berdepan skuad Bujang Senang.

Menurut Apek, semangatnya dan rakan-rakan sepasukan tidak pernah luntur untuk meneruskan perjuangan dalam saingan Piala FA nanti.

“Saya dan rakan-rakan berjanji akan memberikan aksi terbaik pada pertemuan dengan Sarawak walaupun ia bukanlah satu tugas yang mudah, ditambah beraksi di tempat lawan.

“Sarawak cukup kebal di gelanggang sendiri, jadi kita perlu waspada dengan keupayaan mereka pada pertemuan itu nanti,” katanya kepada Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Apek memberitahu, Sarawak bukan sahaja memiliki pemain tempatan yang hebat, malah tonggak import mereka cukup bahaya jika diberikan banyak ruang.

“Kita perlu mengurangkan kesilapan pada perlawanan tersebut dan bermain penuh bersemangat kerana ini merupakan pertemuan hidup mati bagi saingan Piala FA 2015,” ujarnya.

Menurut Apek, Kelantan perlu menang pada pertemuan itu sekiranya mahu merebut kejuaraan Piala FA musim ini.

Katanya, dia optimis rakan-rakan sepasukan mampu bangkit berdepan dengan Sarawak dan mampu melakar keputusan positif dalam perlawanan itu nanti.

“Setiap peluang yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan kita tidak boleh mempersia-siakannya jika mahu melangkah lebih jauh,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3SlsSTxDmHakcipta terpelihara

Johor DT mula langkah bergaya



Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my
 
SAFEE (kiri) meraikan kejayaan Safiq menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti ketika membantu Johor DT menewaskan East Bengal 4-1 dalam aksi Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam tadi.

SEPAKAN akrobatik penyerang negara, Safee Sali menghiasi persembahan bergaya skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) apabila wakil negara itu memulakan kempen Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan menewaskan wakil dari India, East Bengal FC 4-1 pada aksi pertama Kumpulan F di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam tadi.

Turun pada penampilan sulung dalam kempen kelab di Asia itu, skuad kendalian Bojan Hodak memburu kemenangan pertama dalam tiga perlawanan selepas tewas 0-1 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seri 1-1 dengan Selangor dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu.

Setelah merombak hampir keseluruhan skuad yang seri dengan Selangor tempoh hari dengan merehatkan tiga pemain import, Luciano Fiugueroa, Jorge Pereyra Diaz dan Marcos Antonio, percaturan Hodak menurunkan Safee Sali buat kali pertama sebagai penyerang mereka membuahkan hasil apabila pemain itu menyumbang gol pertamanya buat Johor DT dengan sepakan akrobatiknya.

Sebelum itu, strategi 4-5-1 yang digunakan Hodak jelas berhasil apabila pasukan juara Liga Super 2014 tersebut terlebih dahulu memperoleh tiga gol menerusi Nazrin Nawi, Safiq Rahim dan S. Chanturu sebelum tendangan akrobatik Safee melengkapkan tiga mata pertama mereka di hadapan lebih 12,000 penyokong sendiri.

Pada perlawanan semalam, kedua-dua pasukan bermula agak hambar pada awal permainan dengan saling menguji benteng pertahanan lawan masing-masing dengan hantaran jauh.

Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan mula mendapat rentak yang dicari apabila melancarkan beberapa percubaan tepat ke atas pintu gol East Bengal FC menerusi percubaan Safee, Safiq dan Chanturu.

Johor DT akhirnya berjaya memperoleh gol pertama pada minit kesembilan apabila Nazrin Nawi menewaskan penjaga gol lawan, Abhijit Mondal menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti selepas Chanturu dijatuhkan.

Namun, pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35 selepas sepakan penyerang import Nigeria, Soleye Ranti Martins menerusi sepakan percuma tertampan kepada pemain Johor DT, sekali gus menewaskan penjaga gol Mohd. Izham Tarmizi.

Begitupun kedudukan 1-1 itu tidak bertahan lama apabila Johor DT kembali di depan hasil sepakan penalti Safiq dua minit kemudian selepas bola terkena tangan pemain pertahanan East Bengal FC.

Namun, babak kedua mula menyaksikan Harimau Selatan bermula dengan garang dengan meledakkan gol ketiga menerusi Chanturu yang menerima hantaran cantik Jasazrin Jamaluddin setelah pemain itu bijak melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-47.

Selepas itu tiba pula giliran penyerang negara, Safee untuk menggamatkan stadium Larkin ini apabila menambah gol keempat Harimau Selatan dengan sepakan akrobatiknya selepas menerima hantaran lambung yang cantik daripada pemain sayap, Nazrin.

Meskipun East Bengal FC cuba mengejar kedudukan dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah pintu gol tuan rumah, namun keputusan itu terus kekal sehingga tamat permainan.

Selepas ini, Johor DT akan berkunjung ke Stadium Jalan Besar pada 10 Mac depan untuk menentang wakil Singapura, Balestier Khalsa bagi aksi kedua Kumpulan F.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3SlmFTFdeHakcipta terpelihara