Ad

Tuesday, 19 December 2017

Maryam wanita mulia dan suci



ARKIB : 13/02/2009

Sheikh Sya'rawi berkata: "Selepas itu, Allah menceritakan berkenaan dengan Maryam kerana ia merupakan subjek utama. Begitu juga masalah rezeki yang dikurniakan kepadanya tanpa sebarang kesusahan dan kepayahan daripada Allah SWT."

Ayat ke-42

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).

Iktibar dan fiqh ayat :

i. Ibn Jauzi berkata: "Maksud dengan penyucian di sini ialah:-

nPertama: Suci daripada haid seperti kata Ibnu Abbas r.a.

nKedua: Suci daripada disentuh lelaki seperti kata Ibnu Abbas r.a juga.

nKetiga: Suci daripada kekufuran seperti kata al-Hassan dan Mujahid.

nKeempat: Suci daripada kejian dan dosa seperti kata al-Muqatil.

ii. Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memilih pengabdianmu kepada Baitu al-Muqaddis dan membersihkanmu daripada kecelakaan material mahupun moral, serta memberikan keistimewaan kepadamu dengan mendapat anak tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki serta memuliakanmu daripada sekelian perempuan lain pada setiap masa."

iii. Hamka berkata: "Adalah satu kemuliaan baginya, sebab dia sebagai nazar ibunya berkhidmat di rumah suci. Adalah kemuliaan baginya kerana guru pengasuhnya adalah seorang Nabi dan Rasul yang besar.

"Adalah kemuliaan baginya bahawa dia adalah satu-satunya perempuan yang dipilih Allah SWT untuk melahirkan Isa a.s ke dunia tanpa perantaraan seorang bapa. Satu lagi riwayat menyatakan Maryam benar-benar suci dan tidak pernah dikotori dengan haid. Sebab itu dia disebut juga Maryam az-Zahra, sebagai Fatimah puteri Rasulullah SAW menurut beberapa riwayat tidak diberi haid oleh Allah SAW tetapi tidak menghalangi beliau beroleh putera Hasan dan Husain.

"Menurut sebuah hadis daripada Nabi SAW ada tiga perempuan yang amat mulia. Pertama, Maryam binti Imran. Kedua, Khadijah binti Khuwalid (isteri Rasulullah SAW yang pertama). Ketiga, Fatimah binti Muhammad.

Ayat ke-43

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Taatlah engkau kepada Tuhanmu dan tunduklah kepada-Nya serta sembahyanglah bersama-sama di tempat sembahyang sedangkan Maryam sudah biasa menetap di mihrabnya".

ii. Hamka berkata: "Selalulah engkau beribadat kepada Allah SWT sehingga kemuliaan dan pilihan atas diri engkau yang diberikan Tuhan bertambah cemerlang. Sebagaimana Imam al-Ghazali pernah mengisahkan bahawasanya Nabi Isa a.s sendiri kadang-kadang membawa bunga karang untuk menghapus air matanya yang mengalir kerana ingat akan Tuhan dan burung yang sedang terbang pun terpegun mendengarkan bunyi kecapi Nabi Daud a.s menyanyikan nama Tuhan dan Nabi Muhammad SAW sampai sesemut kakinya kerana lamanya sembahyang malam. Bertambah mulia kedudukan mereka di sisi Tuhan, tunduk merendah diri kepada Allah SWT."

Ayat ke-44

Firman Allah SWT yang bermaksud: Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan kalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (Wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Inilah antara beberapa cerita mengenai Maryam dan Nabi Zakaria a.s yang Kami ceritakan kepadamu, meskipun engkau sendiri tidak pernah menyaksikannya sama sekali. "Begitu juga orang lain daripada kaummu dan engkau pun tidak membacanya daripada mana-mana buku, bahkan tidak seorang pun mengajarkannya kepadamu. Tetapi kerana wahyu yang Kami berikan kepadamu melalui Jibril a.s, ia dapat menjadi bukti kebenaran kenabian hamba Kami dan menolak pengingkaran yang menentangmu".

ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Itulah peristiwa yang dialami oleh isteri Imran, Nabi Zakaria a.s serta Maryam a.s sebahagian dari berita-berita ghaib yang kami wahyukan kepadamu dari saat ke saat wahai Muhamad SAW.

"Kini kamu mengetahuinya, padahal engkau wahai Muhamad SAW tidak berada di sisi mereka untuk mengisyaratkan bahawa informasi tersebut tidak terbuka dan hampir tidak diketahui oleh manusia".

iii. Hamka berkata: "Allah SWT menjelaskan bahawasanya berita ini, baik berita nazar isteri Imran atau pengasuhan Nabi Zakaria a.s ke atas Maryam atau doa Nabi Zakaria a.s agar diberi anak. Semuanya adalah berita ghaib yang tidak diterima oleh orang lain tetapi diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad SAW.

"Ditekankan lagi peringatan Allah SWT akan kesucian Maryam yang diceritakan kepada Muhammad SAW".

Dalam bahasa Arab perkataan istifa' khususnya pada ayat ini merupakan sifat khusus yang dimiliki Maryam. Dia melahirkan seorang nabi tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki. Pemilihan seperti ini tidak dinyatakan dengan perbuatan, tetapi disediakan dengan sifat khusus ini.

Dalam perkara ini, terkandung kesaksian yang membebaskan dirinya daripada apa yang didakwakan oleh orang Yahudi terhadap dirinya.

Ayat-ayat yang kita bincangkan ini kemuliaan Maryam dan ia diperintah Allah supaya sentiasa taat dan patuh dengan berdoa dan solat kepada-Nya. Alangkah baiknya jika sekiranya kita menempatkan diri bersama golongan yang sentiasa taat dan patuh kepada-Nya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz51lQXhIej
© Utusan Melayu (M) Bhd

Utusan Ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman



ARKIB : 13/02/2009

PADA suatau hari, Nabi Sulaiman memerintahkan burung hud-hud menyampaikan sepucuk surat kepada Ratu Balqis. Tujuan surat itu dihantar ialah untuk menyedarkan Ratu Balqis supaya tidak meninggi diri dengan anugerah Allah SWT yang diberikan kepadanya dan menyeru menyembah Allah SWT.

Setelah membaca surat itu Ratu Balqis terus mengumpulkan para pembesar dan para penasihat kerajaan untuk membincangkan tindakan yang harus diambil berhubung dengan surat Nabi Sulaiman itu. Mereka bersepakat untuk mengirim hadiah yang paling berharga untuk Nabi Sulaiman.

Beberapa hari kemudian, pergilah utusan Ratu Balqis menghantar hadiah itu kepada Nabi Sulaiman. Ketika sampainya utusan Ratu Balqis, Nabi Sulaiman menyambut mereka dengan baik. Nabi Sulaiman tidak sedikitpun berbangga dengan hadiah yang dibawa oleh mereka itu.

Malah Nabi Sulaiman berkata kepada mereka, "Kembalilah kalian semua dan bawalah hadiah ini semula kepada ratu kalian. Allah SWT telah mengurniakan pelbagai nikmat kepada aku. Allah SWT telah memberikan aku kekayaan dan rezeki melimpah ruah yang tidak diberikannya kepada seseorang pun daripada makhluk-Nya.

"Sampaikan kepada ratu kalian, aku tidak perlu harta kekayaan atau kekuasaan, tapi aku mahu ratu kalian bersama kalian menyembah dan patuh kepada perintah Allah SWT. Janganlah kalian semua menyembah selain daripada Allah SWT dan katakan kepadanya, sekiranya dia enggan menyembah dan patuh kepada perintah Allah, kami akan segera menghantar tentera kami untuk menentangnya."

Maka kembalilah utusan Ratu Balqis dengan segera ke istananya. Tiba sahaja di istana, para utusannya menceritakan amanat yang telah disampaikan oleh Nabi Sulaiman. Ratu Balqis mendengar dengan tenang.

"Kalau begitu, tidak ada cara dan usaha lain kecuali kita hanya tunduk dan menurut ajaran Nabi Sulaiman itu," kata Ratu Balqis.

"Baiklah," jawab para utusannya.

Beberapa hari kemudian, berangkatlah Ratu Balqis bersama para pembesarnya menuju ke istana Nabi Sulaiman.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz51l6KR1jG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Safiyah membunuh musuh Islam



ARKIB : 11/02/2009

SAFIYAH binti Abdul Mutalib adalah ibu saudara Nabi Muhammad. Ayahnya, Abdul Mutalib bin Hasyim adalah pemimpin kaum Quraisy yang disegani. Dia adalah adik kandung kepada Hamzah bin Abdul Mutalib yang digelar 'Singa Allah' dan digeruni oleh pihak musuh Islam.

Safiyah melibatkan diri dalam perang mengikut batasan-batasan yang dibenarkan oleh Islam. Dalam Perang Uhud, Safiyah dan wanita Muslimah membantu tentera Islam yang berperang dengan memberikan air minuman dan merawat mereka yang luka.

Pada awalnya, tentera Islam meriah kemenangan. Namun kemudian mereka ingkar perintah Nabi lalu turun dari Bukit Uhud bagi mendapatkan harta rampasan perang. Apabila pihak musuh melihat hanya tinggal seorang dua tentera Islam yang mengawal Bukit Uhud, mereka berpatah balik menyerang tentera Islam semula.

Akibatnya, tentera Islam mengalami kekalahan mengejut sehingga ramai tentera Islam lari menyelamatkan diri daripada dibunuh pihak musuh.

"Mengapa kamu semua lari dari medan perang dan meninggalkan Rasulullah seorang diri," jerit Safiyah dengan mengangkat tombak di tangan. Beliau mengarah kepada tentera Islam yang melarikan diri.

Namun, tiada seorang tentera Islam yang mempedulikan jeritan Safiyah dan terus lari meninggalkan medan peperangan. Hanya beberapa pahlawan Islam bergadai nyawa menyelamatkan Nabi daripada kepungan tentera pihak musuh. Hamzah terbunuh dalam perang ini dan berita kematiannya sampai ke telinga Safiyah.

"Suruh ibu kamu pulang ke rumah supaya dia tidak sedih dan terkejut melihat keadaan mayat ayah saudara kamu yang diperlakukan dengan kejam," kata Nabi kepada Zubir apabila mengetahui Safiyah sedang menuju ke tempat jasad tentera-tentera Islam yang dikumpulkan untuk dikebumikan.

"Nabi meminta ibu pulang ke rumah." Zubir menyampaikan pesanan nabi apabila bertemu dengan ibunya.

"Ibu sudah mengetahui tentang keadaan mayat ayah saudara kamu. Insya-Allah, ibu dapat bersabar dan tabah melihat mayatnya sebelum dia dikebumikan," balas Safiyah dengan nada tenang.

Sifat kepahlawanan Safiyah terserlah dalam perang Khandak. Apabila Nabi dan angkatan tentera Islam keluar dari kota Madinah bagi menentang pihak musuh, kaum wanita dan kanak-kanak ditempatkan di dalam satu rumah sebagai benteng pertahanan. Hasan bin Thabit, penyair pada zaman itu ditugaskan bagi melindungi rumah itu daripada bahaya.

"Saya mahu pergi mengintip rumah yang menjadi benteng pertahanan pihak Islam. Seandainya tidak ada kaum lelaki di dalam rumah itu, kita dapat serang dan menangkap semua kaum wanita dan kanak-kanak bagi dijadikan tebusan. Sudah tentu tentera Islam yang berjuang di luar itu mengaku kalah," kata ketua kaum Yahudi keturunan Quraizah kepada pengikutnya.

"Kami akan menunggu di bawah benteng ini dan menunggu arahan tuan," balas pengikutnya yang bersetuju dengan cadangan ketua mereka.

"Saya melihat ada seorang Yahudi yang sedang mundar-mandir rumah kita. Saya bimbang sekiranya dia perisik kepada orang Yahudi berketurunan Quraizah," komen Safiyah kepada Hasan yang masih duduk mendiamkan diri.

"Saya minta kamu keluar dari rumah ini dan bunuh Yahudi itu sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada kita semua," pinta Safiyah kepada Hasan yang belum menunjukkan apa-apa reaksi.

"Kamu sahajalah keluar dan bunuh Yahudi itu," balas Hasan dengan muka bersahaja.

"Kamu lupa saya ini adalah seorang wanita." Safiyah mengingatkan statusnya kepada Hasan apabila mendengar kata-kata Hasan itu.

"Safiyah, saya hanya penyair dan bukannya pahlawan. Seandainya saya pahlawan, sudah tentu saya mengikuti Nabi ke medan peperangan," Hasan mendedahkan perkara sebenar tentang dirinya.

"Sekiranya begitu, biar saya mencari jalan lain bagi menghapuskan Yahudi itu." Safiyah kecewa dengan jawapan Hasan itu.

Dia mencari sebatang kayu yang paling keras dan keluar dari rumah itu dengan penuh berhati-hati. Safiyah berjalan perlahan-lahan mencari orang Yahudi yang mengelilingi rumah itu.

Apabila dia berjaya menemuinya, dia memukul kepala Yahudi itu dengan kuat sehingga Yahudi itu rebah menyembah bumi.

"Saya sudah bejaya membunuh Yahudi itu. Sekarang, kamu pergi ambil barang-barang yang ada pada mayat Yahudi itu," kata Safiyah kepada Hasan.

"Mengapa kamu tidak mengambil barang-barangnya selepas kamu membunuhnya tadi?" tanya Hasan dengan pantas.

"Tidak manis sekiranya saya mengambil barang-barang daripada badan seorang lelaki," balas Safiyah dengan nada sindiran.

"Saya tidak memerlukan barang-barang Yahudi itu. Kamu sahajalah ambil barang-barangnya," Hasan menolak permintaan Safiyah itu.

Safiyah yang kecewa dengan kata-kata Hssan, keluar sekali lagi dari rumah itu. Dia menghampiri mayat Yahudi itu. Dia mencampakkan Yahudi itu ke bawah benteng itu.

"Lebih baik kita beredar dari sini. Saya rasa Rasulullah sudah menempatkan beberapa pahlawan Islam bagi melindungi kaum wanita dan kanak-kanak di rumah itu," lapor salah seorang Yahudi Bani Quraizah.

"Lihat buktinya sekarang!" kata salah seorang pengikut mereka apabila melihat mayat ketua mereka di bawah benteng.

"Mungkin benar kata kamu. Lebih baik kita melarikan diri sebelum kita menjadi mangsa pahlawan Islam," ajak seorang lagi pengikut kaum Yahudi yang mula melarikan diri.

Safiyah adalah wanita Islam pertama yang berjaya membunuh musuh Islam. Dia tidak gentar walaupun tiada seorang lelaki pun yang membantunya semasa menghadapi Yahudi itu.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz51isKpWFX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, 18 December 2017

Tujuh kaedah mendidik anak-anak



ARKIB : 02/02/2009
1. Pendidikan Iman.
Iaitu kelahiran anak hendaklah dimulai dengan sebutan nama-nama Allah dan kemudian disusuli dengan mendengarkan kepada anak-anak suatu yang boleh menumbuhkan bibit-bibit iman di dadanya.

Ibu bapa tidak seharusnya mencemari sebutan nama Allah melalui azan selepas lahir dengan bunyian lagha dalam proses tumbesarannya.

2. Pendidikan Akhlak.

Anak-anak seharusnya didedahkan dengan amalan-amalan dan nilai-nilai mulia seperti tutur kata sopan, menghormati orang tua, belas kasihan kepada orang susah dan sebagainya.

Ini semua boleh diterapkan dengan berkesan melalui contoh tauladan yang dipertontonkan oleh ibu bapa dan ia bermula dari dalam kandungan lagi sehinggalah dilahirkan.

3. Pendidikan Intelektual.

Ibu bapa hendaklah menghidupkan budaya ilmu di rumah agar anak-anak terbiasa dengannya dan lahirnya rasa cintakan ilmu. Ia boleh dipupuk melalui tauladan membaca, berdiskusi dan sebagainya.

Di rumah sebaiknya diwujudkan perpustakaan mini atau rak-rak buku yang boleh mencetuskan naluri ingin membaca. Minat membaca harus dipupuk dari kecil kerana membaca adalah jambatan ilmu.

4. Pendidikan Fizikal.

Anak-anak juga perlu didedahkan dengan aktiviti fizikal iaitu melalui riadah dan bersukan. Kerana seperti kata pepatah 'akal yang cerdas dari tubuh badan yang sihat'.

Oleh itu ibu bapa wajar membiasakan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti lasak di luar rumah agar mereka menjadi cergas dan mampu melakukan kerja-kerja berat.

5. Pendidikan Psikologi.

Ibu bapa hendaklah memastikan agar anak-anak sentiasa terdidik dengan naluri dan perasaan yang positif kerana ia dapat membantu kematangan mereka. Anak-anak perlu diterapkan dengan sifat berani, kuat semangat, tabah, sabar, benar dan sebagainya.

Mereka hendaklah dihindari dari sifat-sifat negatif seperti penakut, panas baran dan sebagainya. Ini boleh diterapkan melalui teguran dan contoh dari ibu bapa.

6. Pendidikan Sosial.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling dan pandai menyesuaikan diri. Sikap ini boleh dipupuk melalui pendedahan pergaulan dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Ibu bapa boleh menerapkannya dengan membawa anak-anak ke tempat perhimpunan orang rama seperti di majlis-majlis kenduri, gotong royong ataupun solat berjemaah di masjid.

7. Pendidikan Seksual.

Anak-anak juga perlu didedahkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum hubungan lelaki dan perempuan, batasan aurat, adab pergaulan dengan bukan mahram dan nilai-nilai mulia seperti sifat malu dan sopan dalam membicarakan soal berkaitan dengan seks.

Mereka juga hendaklah didedahkan tentang hukum haram berkhalwat dan berzina. Ini dapat memelihara maruah dan nama baik keluarga dan ibu bapa.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz51flsWyMw
© Utusan Melayu (M) Bhd