Ad

Sunday, 17 November 2013

‘Usah pandai kritik saja’

 Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
SAFEE akui sedih ekoran ramai pihak mula hilang kepercayaan terhadap Harimau Malaya.
PENYERANG Harimau Malaya, Safee Sali menegaskan, sudah tiba masanya pasukan kebangsaan memerlukan sokongan padu dari semua pihak, bukannya kritikan yang tidak berkesudahan.

Safee yang baru pulang daripada Manama, kelmarin selepas menyaksikan skuad negara tewas 0-1 kepada Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia 2015, mengakui tidak mampu lagi menahan sabar dengan setiap kritikan yang tidak berasas.

Bintang Johor Darul Takzim yang dikaitkan bakal kembali ke Selangor pada musim depan itu menambah, Harimau Malaya kini terdesak untuk mempamerkan prestasi lebih memberangsangkan.

Justeru, Safee menganggap ia seperti satu perbuatan tidak adil bagi pasukan kebangsaan yang sering kali tidak mendapat sokongan moral daripada semua pihak.

“Bagi saya, tak payah nak kritik skuad kebangsaan. Sepatutnya mereka berikan sokongan moral.

“Pasukan ini tengah kalah dan moral skuad kebangsaan tidak begitu baik. Kami turun bermain bermati-matian untuk negara.

“Tiada siapa hendak kalah dan kami amat bencikan kekalahan. Beginilah nasib Harimau Malaya, bila menang semua nak dekat tetapi bila kalah, semua nak menjauh," katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengakui memang tidak meletakkan harapan tinggi terhadap Harimau Malaya yang mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Ini kerana Zolkples menganggap, peluang Harimau Malaya untuk merebut slot automatik Piala Asia semakin samar berdasarkan prestasi hambar skuad kendalian Datuk K. Rajagobal.

Tambah Safee, dia berharap peminat-peminat Harimau Malaya akan terus memberikan sokongan padu ketika skuad negara dalam misi memburu kemenangan pada aksi menentang Qatar di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

“Kami amat menagih sokongan padu daripada seluruh penyokong-penyokong. Pasukan ini mahu memberikan sesuatu kepada peminat-peminat pada aksi bertemu Qatar nanti.

“Saya berharap dengan sokongan ini dapat memberikan kami lebih semangat untuk tampil aksi lebih baik,” katanya.
Rujukan:http://www.kosmo.com.my/kosmo.18.11.2013


Wednesday, 13 November 2013

Fokus kutip tiga mata


Oleh Azlan Muhammad Zain
Kuala Lumpur: Tiada laluan mudah buat jentera serangan Bahrain walaupun lawan turun dengan misi mengutip tiga mata dan dilihat mempunyai pelbagai kelebihan.
Itu jaminan pertahanan Harimau Malaya, Mohd Razman Roslan menjelang aksi getir skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal yang turun dalam kelayakan Piala Asia 2015 Kumpulan D menentang Bahrain di Stadium Nasional Manama, Jumaat ini.
Skuad negara kini berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul empat mata di belakang Qatar (enam) dan Bahrain (tujuh) dengan Yaman tanpa sebarang mata. Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan dan satu pasukan ketiga terbaik layak ke pusingan akhir di Australia pada 2015.

Razman yang segar menikmati kejayaan menjulang Piala Malaysia bersama Pahang baru-baru ini berkata, tiada tekanan buat skuad negara turun beraksi walaupun ia dilihat aksi penentu nasib skuad negara yang mahu menepati sasaran layak ke pusingan akhir.
Foto
RAJAGOBAL (tengah) perlu fikir strategi terbaik jinak Bahrain.

“Kami kini fokus untuk mencatatkan keputusan yang baik di Bahrain kerana selepas ini bakal bertemu Qatar di tempat sendiri.

“Setakat ini latihan berjalan lancar dengan tumpuan banyak diberikan kepada perancangan taktikal.

“Kami perlu memantapkan bahagian pertahanan dan pada masa sama cuba menjaringkan gol,” kata pertahanan tengah berusia 29 itu yang bakal bersaing sengit dengan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Amiridzwan Taj Tajudin untuk berada dalam kesebelasan utama. 

Tambahnya, barisan pertahanan perlu lebih waspada kali ini dan aspek komunikasi perlu dipertingkatkan supaya lebih bersedia dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang boleh mengundang padah.

“Kelebihan pastinya memihak mereka kali ini kerana bermain di tempat sendiri. Malah mereka juga mempunyai kelebihan fizikal dan teknik namun ia bukanlah penghalang kerana kita turut mempunyai kepantasan yang boleh dijadikan senjata untuk mengejutkan mereka,” katanya.

Skuad negara yang mengikat lawan yang sama 1-1 pada pusingan pertama di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober lalu perlu mengelak daripada tewas andai mahu membuka peluang sekurang-kurangnya layak sebagai pasukan ketiga terbaik daripada lima kumpulan yang bersaing.

Anak buah Rajagobal bagaimanapun kecundang 0-3 dalam aksi persahabatan menentang Kuwait beberapa hari lalu dengan Bahrain mendapat suntikan positif apabila menewaskan Lubnan 1-0.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/13

Friday, 8 November 2013

Annuar: Pemain Kelantan jangan cipta alasan

  • NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
    8 November 2013
  • Annuar MusaAnnuar MusA
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mahu pemain Kelantan yang membuat keputusan untuk berubah angin ke pasukan lain musim depan bersikap jujur tanpa berselindung dengan pelbagai alasan yang mengarut.

Menulis di laman Facebooknya hari ini, Annuar yang masih dalam penggantungan berkata, pemain terbabit haruslah menceritakan hal sebenar atas alasan apa untuk berubah angin dan janganlah malu untuk memberitahu hal yang sebenar kepada peminat.

"Ada yang berpura-pura menulis di dalam facebook kononnya sayang untuk meninggalkan The Red Warriors (TRW). Kalau boleh nak saya ceritakan sepenuhnya bagaimana saya memujuk rayu sesetengah dari mereka, tapi tak perlu rasanya kerana bagi saya mereka tahu perkara sebenar.

"Jadi, saya rasa mereka perlu menceritakan hal yang sebenar, apa nak malu. Cerita sahaja apa demand yang tak dapat Kafa tunaikan itu. Kami sendiri sudah redha dengan kehendak pemain.

"Bagi kami yang nak pergi pergilah, tapi tak perlu mereka nak reka alasan," katanya.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan pemain sayap Kelantan, Norfarhan Muhammad yang terkilan dengan bapa pembangunan bola sepak Kelantan itu apabila menyenaraikan nama pemain yang akan berpindah termasuk nama beliau dalam Facebooknya meskipun pada waktu itu beliau belum membuat keputusan.

Norfarhan atau lebih dikenali sebagai ‘Ben 10’ berkata, hasrat untuk kekal bersama TRW hampir menjadi kenyataan kerana pada awalnya Annuar bersetuju dengan permintaannya namun terkilan apabila Ahli Parlimen Ketereh itu menarik balik apa yang dipersetujui kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan.

"Saya akui pernah berunding dengan Johor Darull Takzim (JDT), namun pada masa sama saya masih menyimpan hasrat untuk bersama TRW kerana mahu menebus kekecewaan gagal mempertahankan Piala Malaysia tahun depan.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila beliau (Annuar Musa) menyenaraikan nama pemain yang akan berpindah termasuk nama saya dalam Facebooknya meskipun pada waktu itu saya belum membuat keputusan. Tiada apa yang dapat saya lakukan sekarang selain akan fokus dengan JDT bermula musim depan,” katanya.

Tambah Annuar, pintu Kafa tetap terbuka sampai sekarang untuk mana-mana pemain yang ingin kembali bersama Kelantan memandangkan tarikh tutup pendaftaran untuk pemain tempatan pada 17 Disember depan.

"Siapa pun datang dan pergi, TRW tetap teruskan perjuangan dan tidak bergantung kepada individu. Kita sepasukan, rebah bangun bersama yang setia kepada TRW.

"Apa pun, yang sudah berkhidmat kita ucapkan terima kasih, meskipun Kafa tak kaya dengan wang tapi kita tidak miskin semangat dan hati budi. Itulah Kelantan," ujar Annuar.

Selain Norfarhan, Azizi, S. Subramaniam, Mohd. Shakir dan Mohd. Daudsu juga dikhabarkan menyertai Harimau Selatan manakala Mohd. Rizal dikatakan bakal berhijrah ke Selangor.

Indra Putra pula berhijrah ke Felda United dan Mohd. Izuan masih merahsiakan pasukan yang akan disertainya musim depan.

Saturday, 2 November 2013

Keratan akhbar Perlawanan akhir Piala Malaysia 2013

Ramalan: Kelantan 3-1 Pahang.

Sumber: Utusan malaysia online.

Pemerhati bola sepak pilih Kelantan juara Piala Malaysia.

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Kejohanan bola sepak berprestij tanah air, Piala Malaysia semakin menghampiri kemuncaknya dengan aksi final yang menemukan dua pasukan Pantai Timur, Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam, malam esok.
Ramai pemerhati bola sepak tempatan melihat Kelantan yang kini memburu kejuaraan ketiga selepas 2010 dan 2012 merupakan calon juara edisi ke-87 kejohanan berdasarkan kekuatan yang dimiliki mereka di setiap posisi.
Mereka bagaimanapun menyifatkan Pahang turut berpeluang untuk meraih kejuaraan buat kali ketiga selepas 1983 dan 1992 seandainya berjaya memanfaatkan ketiadaan pertahanan kental Kelantan, Obinna Nwaneri yang digantung perlawanan.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia menyaksikan keputusan seri 1-1 pada aksi Kuantan, 20 Ogos sebelum Kelantan menang besar 4-0 pada aksi timbal balik, 21 September di Kota Baharu.
Bekas pemain kebangsaan awal tahun 2000, Mohd Nizam Jamil berkata Kelantan mempunyai kelebihan dengan skuad simpanan yang terbaik sekalipun skuad utama gagal memberikan persembahan terbaik.
"Dalam erti kata lain, sekiranya skuad utama gagal memberikan impak dalam separuh masa sesuatu perlawanan, barisan simpanan mereka mampu menampung kekurangan berkenaan.
"Walaupun Kelantan kehilangan khidmat Obinna, saya melihat pasukan ini masih mampu memberikan ancaman kepada kubu Pahang menerusi rangkaian tiga serangkai iaitu kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi, Norfarhan Muhammad serta Indra Putra Mahayuddin," kata Mohd Nizam.
Mohd. Nizam yang kini bertugas sebagai pengurus pasukan Liga Perdana, SPA Putrajaya FC bagaimanapun menyifatkan Pahang turut berpeluang untuk muncul juara sekiranya keputusan di suku dan separuh akhir dijadikan ukuran utama.
"Selain itu, Pahang juga harus mengeksploitasi sepenuhnya dua pemain sayap mereka iaitu R. Gopinathan dan R. Surendran dalam mengucar-kacirkan pertahanan mereka sekiranya ingin menjulang kejuaraan," katanya yang memilih kemenangan bakal berpihak kepada Kelantan dengan kemenangan 2-1.
Berkongsi pandangan adalah blogger sukan, Muhammad Aiman Aminul Abdullah yang memilih Kelantan sebagai calon juara berdasarkan kekuatan seimbang yang dimiliki pasukan bimbingan Bojan Hodak itu di setiap posisi.
"Mereka juga mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas final selain mampu beraksi (dengan selesa) di hadapan penyokong yang ramai.
"Malahan kemaraan mereka ke final juga bukanlah satu perjalanan yang mudah kerana mereka terpaksa menghadapi saingan sengit daripada Johor DT dan ATM," kata penulis blog www.suarasukan1mas.blogspot.com.
Muhammad Aiman Aminul yang merupakan pengkritik bola sepak tempatan berkata ketiadaan Obinna di barisan pertahanan tidak menjejaskan rentak permainan pasukan Kelantan yang mempunyai beberapa pemain lain yang boleh menggalas tanggungjawab berkenaan seperti Azizi Mat Rose, Mohd. Farisham Ismail dan Nik Shahrul Azim Abd Halim.
"Saya yakin Nik Shahrul Azim pasti menjadi pilihan utama Hodak untuk menggantikan tempat Obinna kerana beliau pernah beraksi dalam final Piala Malaysia musim lepas selain final Piala FA, musim ini," katanya yang menjangkakan Kelantan akan mencatatkan kemenangan 3-1.
Dalam keghairahan penyokong kedua-dua pasukan memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku pengelola perlawanan memperketatkan kawalan keselamatan paling tinggi dalam sejarah kejohanan bola sepak negara bagi memastikan ia berjalan lancar.
Sejumlah 2,155 anggota keselamatan bakal dikerahkan untuk mengawasi perjalanan perlawanan, penggunaan helikopter Polis Diraja Malaysia dan unit anjing pengesan selain tapisan tiga lapis iaitu pemeriksaan badan, tiket serta bahan terlarang termasuk suar dan mercun. - BERNAMA


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131102/su_14/Pemerhati-bola-sepak-pilih-Kelantan-juara-Piala-Malaysia#ixzz2jXD9XX2w
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tok Gajah dapat suntikan ekstra

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Dollah (kiri) memantau latihan skuad Pahang di Kelana Jaya, semalam. Pahang akan menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini. - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
KUALA LUMPUR - Sekali pun skuad Tok Gajah turun sebagai pasukan bukan pilihan pada malam ini, anak-anak buah Dollah Salleh diingatkan jangan sama sekali mengaku kalah sebelum berjuang.
Serapkan semangat perjuangan tahun 1983 yang telah membawa Pahang muncul juara buat kali pertama dalam sejarah kejohanan Piala Malaysia.
Itu pesanan orang lama Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail yang merupakan ketua pasukan pada tahun 1983 selain turut menjadi pengurus pasukan pada tahun 1992 yang menyaksikan Pahang muncul juara buat kali kedua.
Tambahnya, tiada apa yang mustahil bagi Pahang mencipta sejarah menjuarai Piala Malaysia walaupun kemungkinan Kelantan dijangka tidak berdepan sebarang masalah mempertahankan kejuaraan mereka sekali lagi pada malam ini di Stadium Shah Alam.
Berdasarkan pengalamannya yang mengetuai pasukan Pahang pada tahun 1983, tiada siapa yang memilih mereka untuk muncul juara ketika Selangor pada masa itu cukup digeruni berdasarkan reputasi gah mereka yang telah menang sebanyak dua kali berturut-turut pada tahun 1981 dan 1982.
Namun, tanpa diduga mereka mampu mengetepikan segala ramalan yang dibuat sebelum awal perlawanan dan berjaya mencipta sejarah memenangi Piala Malaysia setelah sembilan kali terkandas di saingan separuh akhir dan beliau yakin skuad bimbingan Dollah Salleh kali ini mampu mengulangi sejarah yang sama.
''Situasi yang Pahang lalui pada kali ini hampir sama seperti tahun 1983, di mana ramai tidak memperkatakan apa-apa mengenai pasukan Pahang dan lebih cenderung memilih Selangor untuk menang.
''Bayangkan Selangor pada masa itu dibarisi pemain-pemain seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh serta ramai pemain kebangsaan lain, mereka dilihat cukup kuat dan tidak mungkin Pahang mampu menang.
''Walaupun begitu, kami membuktikan yang perkara itu tidak mustahil untuk dicapai biarpun tanpa pemain berstatus bintang apabila kami menundukkan mereka 3-2 pada masa tambahan," katanya yang ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Bukan mahu memandang rendah Kelantan tetapi Jamal menganggap Pahang pasti lebih bersemangat mahu menang kerana kali terakhir mereka beraksi di pentas akhir pada tahun 1997 sedangkan Kelantan baru sahaja memenangi Piala Malaysia pada tahun lalu.
''Dalam soal ini, saya dapat rasakan Pahang lebih berkeinginan mahu menang kerana jarak 21 tahun bukanlah satu tempoh yang sekejap dan mereka sudah pasti mahu menang.
''Sedangkan buat Kelantan, saya rasa mereka mungkin tidak terlalu teruja kerana telah menang dua kali dalam tempoh terdekat ini pada tahun 2010 dan 2012," katanya.


rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131103/su_02/Tok-Gajah-dapat-suntikan-ekstra#ixzz2jX6QeP2z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kelantan atau Pahang