Ad

Friday, 3 July 2015

Wajib sambar tempat kelima


Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
 
PEMAIN negara, Azlan Misron (kanan) cuba menghalang kemaraan pemain India pada aksi suku akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium awal pagi semalam yang berkesudahan skuad negara tewas 2-3.

MALAYSIA mensia-siakan peluang untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik pada kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Antwerp, Belgium sejurus tewas 2-3 kepada India pada aksi suku akhir di Stadium KHC Dragons awal pagi semalam.

Kekalahan itu menutup peluang The Speedy Tigers merebut satu daripada tiga slot automatik yang ditawarkan pada kempen di Brasschaart kali ini untuk beraksi pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Ketua jurulatih skuad hoki negara, Tai Beng Hai meluahkan kekecewaan terhadap ‘penyakit’ lama yang sering menghantui barisan pemain negara iaitu rentak tidak konsisten sebaik perlawanan memasuki minit-minit terakhir.

“Kita tidak bermula dengan bagus walaupun pada suatu ketika berjaya mendahului India 2-1 selepas ketinggalan 0-1 sebaik perlawanan berlangsung. Ketika mendahului lawan, kita gagal membunuh atau mengawal perlawanan ini. Secara keseluruhan, persembahan kita tidak konsisten.

“Kita berpeluang meraih kemenangan tetapi barisan serangan tidak memanfaatkan sepenuhnya peluang yang di­cipta,” katanya kepada Kosmo! semalam.

India yang menduduki ran­king kesembilan dunia, membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi jaringan padang Satbir Singh sebelum kapten Malaysia, Muhammad Razie Abd. Rahim mengikat kedudukan melalui pukulan sudut pe­nalti pada penghujung suku masa pertama.

Malaysia yang kini berada di ranking ke-12 dunia, berjaya mendahului 2-1 menerusi penyerang, Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-23 selepas menolak masuk set-piece menarik daripada Razie berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Hasrat Malaysia untuk mempertahankan kelebihan satu gol itu tidak berjaya apabila pakar flick India, Jasjit Singh Kular memanfaatkan pukulan sudut pe­nalti bagi menyamakan keduduk­an pada minit ke-49.

Jasjit menjadi pemusnah ter­hadap hasrat Malaysia apabila dia sekali lagi berjaya menewaskan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin dengan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki empat minit.

Biarpun terpaksa menelan kekecewaan, namun atas kertas, pintu buat skuad negara masih belum tertutup dan terpaksa memilih jalan sukar apabila wajib mendapat tempat kelima sekiranya mahu beraksi di Rio tahun depan.

Malaysia perlu beraksi dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan dengan bertemu Perancis hari ini sebelum berentap merebut kedudukan kelima terbaik dengan pemenang antara Pakistan dan Ireland, Ahad depan.

Jika berjaya, Malaysia akan menjadi pasukan simpanan ketiga terbaik di belakang Kanada dan Argentina untuk mengisi slot kosong yang ditinggalkan juara benua masing-masing selepas ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0703&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3epE7IYA7 Hakcipta terpelihara

JADUAL PERLAWANAN LIGA HOKI DUNIA 2015


OLEH- AHMAD BIN YAAKOB

PENENTUAN TEMPAT KELIMA HINGGA KELAPAN
HARI INI

IRELAND LAWAN PAKISTAN
7.00 MALAM

MALAYSIA LAWAN PERANCIS

9.30 MALAM

Thursday, 2 July 2015

PEMBESAR DI RUSIA ABAD KE-16-20 (1500-1999)


oleh-AHMAD YAAKOB
Membandingkan peranan pembesar dalam pemerintahan Rusia abad ke-16-20 (1500-1999)
a)Konsep pembesar
Institusi pemerintahan di China dan Rusia memperlihatkan raja atau Maharaja melaksanakan pemerintahan dengan bantuan dan sokongan institusi pembesar. Umumnya golongan pembesar ialah pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja atau Maharaja untuk menjawat jawatan tertentu dan melaksanakan semua bidang tugas yang telah diberikan atau diarahkan kepadanya
Pembesar juga berperanan penting dalam sistem pentadbiran monarki dan merupakan tulang belakang kepada maharaja. Pembesar membantu maharaja dalam pemerintahan dan pentadbiran. Pembesar dilantik secara rasmi oleh maharaja.[1]

b)Kedudukan Pembesar di Rusia
      Sistem pembesar di Rusia berbeza dengan sistem pembesar di China.. Pembesar menduduki kedudukan tertinggi selepas Tzar.Pembesar sebagai tulang belakang atau tiang kerajaan. Mobiliti sosial  berlaku di Rusia secara lantikan.
c)Peranan pembesar.
1.Peringkat pusat
Membantu pentadbiran raja dalam Majlis Tertinggi (Duma, Zemskii Sabor, Prikazi)
Peter mewujudkan Majali Senate menggantikan Duma dan Zemskii Sabor,
Pembesar memberi perkhidmatan ketenteraan.
Pembesar menganggotai institusi gereja Kristian Ortodoks untuk mengawal kuasa gereja.
Pembesar menganggotai Jawatankuasa Tidak Rasmi untuk menasihati raja dalam hal ehwal dasar negara.[2]
Golongan bangsawan menjadi ahli Dewan Perhimpunan Wilayah membantu Tzar dalam urusan pentadbiran.
Polis rahsia khas  (Okhrana) untuk kawal penyebaran propaganda yang boleh menggugat pemerintahan.

2.Peringkat daerah
Pentadbiran daerah diketuai oleh Gabenor atau Naib Gabenor yang dilantik oleh kerajaan pusat. Majlis Daerah (Zemstvo) berperanan menjaga insfrastruktur dan pendidikan.

3.Kampung.
Pentadbiran kampung diserahkan kepada Komun atau mir atau Majlis Kampung. Mereka bertanggungjawab memungut cukai yang ditetapkan untuk kerajaan pusat.Komun memastikan setiap isi rumah petani membayar pinjaman kerajaan selama 49 tahun. Baaran ini akan dikutip setiap tahun. Tugas komun juga menentukan jenis tanaman yang diusahakan oleh petani dan berkuasa mengagihkan tanah pertanian secara tahunan kepada petani yang tertentu sahaja.

      Komun melatih generasi generasi muda daripada kalangan petani sebagai persediaan khidmat tentera apabila diperlukan oleh Tsar. Komun menjadi penampan kepada kemasukan pengaruh negatif di kawasan luar bandar yang boleh menjejaskan pemerintahan kerajaan pusat. Kerajaan pusat berupaya mencengkam tuan tanah dan petani melalui komun. Komun menjadi mata dan telinga kerajaan pusat.[3]



[1] “Pembesar”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,56.  
[2] Ibid, 59.
[3] Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi 2014),120.  

Paluan beduk suntik keinsafan

Oleh HAIKAL RAMAN
 
alat ini dipercayai dicipta ketika zaman Belanda dan dikatakan sudah berusia kira-kira 300 tahun.

BUTANG baju Melayu berona perak mutiara itu dipasang teratur bagi merapikan kolar, kain pelekat diikat kemas pada bahagian pinggang agar tidak terlucut. Kopiah lusuh gabungan nuansa kelabu dan biru elektrik yang terletak elok di para rumah pantas dicapai.

Tubuh genit berkulit kuning langsat itu tadi berjalan laju merentas senja yang mula melabuhkan tirai petang menuju ke Masjid Kampung Hulu, Melaka. Walaupun masjid yang menjadi peninggalan zaman pemerintahan Belanda itu hanya terletak kira-kira 100 meter, dia tetap ingin tiba awal.

Belum sempat mengambil nafas yang tercungap akibat berjalan terlalu deras, Mansor Mohd. terus mencapai pinggan untuk meletakkan hidangan yang terbaris kemin beralas tikar mengkuang di lantai masjid. Makanan tersebut merupakan juadah iftar yang disedekahkan oleh penduduk setempat.

Mengarah ke satu sudut pekarangan masjid, dia bersama lima lagi rakannya bersedia menyaksikan satu tradisi lama yang menyemarakkan lagi semangat Ramadan pada hemat peribadinya.

Mendongak 45 darjah menghadap langit, terletak sebuah beduk lama yang menjadi panduan waktu bagi masyarakat Muslim sekitar kawasan tersebut. Saat siak mengetuk beduk bersama irama keramatnya, seakan-akan satu perasaan menerpa pada tubuh sehingga membuatkannya kekal kaku.

“Paluan itu melahirkan satu perasaan yang luar biasa dan sukar untuk digambarkan secara jelas. Malah, jika diamati dengan teliti, melodinya mampu memberi keinsafan.

“Pada saya, Ramadan tidak akan lengkap tanpa bunyi pukulan beduk bagi menandakan waktu berbuka puasa. Walaupun ia adalah cerita zaman kanak-kanak saya, bunyinya masih segar dalam ingatan,” ujar Mansor, 77, yang mula mengimbau saat beduk dijadikan media komunikasi kepada penduduk sekitar 70 tahun lalu.

Mansor menjelaskan, pada waktu itu, beduk berfungsi sebagai instrumen penghubung tradisional bagi kegiatan ritual keagamaan dan perkhabaran. Ia biasanya dibunyikan untuk memberitahu sudah masuk waktu solat selain menyampaikan berita kematian.

“Ketika itu, kami tidak mempunyai gajet pintar yang membolehkan mengetahui waktu solat dan berkomunikasi terus menggunakan panggilan telefon bagi memaklumkan sebarang kecemasan,” ujarnya sambil meraut wajah yang mula mengedut.

Bertanya tentang gaya paluan, dia memberitahu, terdapat perbezaan bunyi antara waktu solat dan kematian. Beduk akan dipukul dengan kadar singkat bagi menandakan waktu solat. Sementara ketukan yang lebih lama untuk menandakan kematian, perkara tersebut sudah menjadi maklum oleh penduduk setempat.

Apabila solat Jumaat, beduk tersebut akan dipukul sebanyak tiga kali iaitu pada pukul 11 pagi, 12 tengah hari dan waktu Zohor. Bilangan tersebut dilakukan sebagai persediaan untuk masyarakat di situ agar tidak leka untuk hadir ke masjid.

Dua misalan tersebut memberi ilustrasi tentang kegunaan beduk dalam proses komunikasi masyarakat desa, khususnya di Kampung Hulu, Melaka pada satu ketika dahulu dan masih relevan sehingga kini.

Beduk yang terletak di anjung masuk dan menjadi salah satu ikonik di masjid tersebut turut diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), Malaysia.

Pembuatan


Beduk yang terletak di anjung Masjid Kampung Hulu, merupakan satu-satunya beduk masih berfungsi di Melaka.

Sementara itu, sudah lebih separuh abad menjadi siak di Masjid Kampung Hulu, Abdullah Abd. Kadir, 65, memberitahu, beduk itu diperbuat daripada pokok balak jenis berurat yang dipotong sepanjang dua meter. Untuk mendapatkan bentuk silinder berongga dengan ketebalan kira-kira lima sentimeter (sm), ia perlu dipahat pada bahagian tengah.

Di bahagian depan mulut pula akan ditutup menggunakan kulit kambing dewasa setebal syiling 50 sen. Proses tersebut mengambil masa kurang daripada sebulan mengikut pada kehalusan dan ketelitian kerja.

“Beduk ini dibuat dengan cara tradisional seperti pemasangan kulit menggunakan kayu pasak, manakala alat pemukul diperbuat daripada kayu rotan tebal berukuran 30sm.

“Instrumen ini dipercayai dihasilkan oleh orang Melayu ketika membangunkan Masjid Kampung Hulu bersama beberapa kumpulan kapitan pada tahun 1728. Ia seusia dengan masjid ini iaitu kira-kira 300 tahun,” ujarnya yang memikul tanggungjawab sebagai tukang beduk selepas arwah datuknya meninggal dunia.

Kata Abdullah, beduk berkenaan tidak memerlukan penjagaan yang rumit kerana permukaan kayunya sudah disyelek rata supaya tahan lebih lama. Dia hanya naik ke anjung yang mempunyai lapan anak tangga itu sekali seminggu untuk menyembur beduk dengan air sebelum dilap menggunakan kain bersih.

Cuma, kulit yang dipalu itu lazimnya akan ditukar lima tahun sekali akibat terkoyak. Ia turut diselenggara kerana ingin mengekalkan bunyi yang kuat dan mengelakkan paluan menjadi sumbang ketika beduk diketuk.

Tambahnya, beduk tersebut tidak dibenarkan untuk dibawa keluar mahupun dipinjam. Ini kerana, pihaknya ingin memastikan khazanah negara itu sentiasa terpelihara dan berada dalam kondisi yang baik.

Penyelidik

Disebabkan nilai sejarah yang terkandung dalam instrumen lama itu, terdapat ramai penyelidik yang bertandang ke masjid tersebut untuk membuat kajian mengenainya.

Ia lebih menjurus pada persoalan arkeologi dalam mengetahui kesan saintifik peninggalan alat berkenaan.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa beduk lama mempunyai ‘nyawa’ dan perkara-perkara mistik di sebaliknya. Namun, jelas Abdullah, tiada perkara aneh yang pernah berlaku sepanjang dia menjaga harta tinggalan warisan itu.

Bagaimanapun, tidak sembarangan orang boleh mengetuk beduk tersebut. Jika tidak serasi pada individu, bunyi iramanya turut akan sumbang.

“Pernah seorang pemuda cuba untuk mengetuk beduk ini selepas mengakui sudah biasa dengan kaedah irama paluan. Pada ketika itu, dia ingin mengejutkan penduduk kampung untuk bangun bersahur.

“Apabila diketuk beduk ini, iramanya seperti bunyi gendang perayaan kaum Hindu dan langsung tidak kuat. Malah, tidak seorang pun mendengar paluan itu meskipun rumah yang terletak berdekatan masjid,” ujarnya penuh sinis.

Jelas lelaki berkulit cerah itu, bunyi paluan beduk berkenaan mampu kedengaran hingga ke Kampung Moten yang terletak sejauh tiga kilometer dari masjid berkenaan.

Dia turut berkongsi bahawa hanya Masjid Kampung Hulu yang masih meneruskan tradisi penggunaan beduk di kota Melaka.

“Walaupun ia dilihat tidak relevan untuk terus diaplikasikan pada masa kini, namun saya berpendapat ia amat penting sebagai peninggalan sejarah budaya dan penempatan khususnya di sini,” katanya yang kini mencari dan mahu melatih mana-mana anak muda berminat untuk mengetuk beduk.

Dalam pada itu, seorang kakitangan kerajaan, Mohd.Azwan Hamdan, 29, berkata, dia menyambut murni usaha mana-mana pihak dalam mengekalkan tinggalan sejarah yang dilihat kian pudar dek arus pemodenan ini.

“Bagi saya ia adalah sesuatu perkara yang bagus sekiranya ingin memperkasakan semula kebudayaan lama. Sebagai generasi melinia, ramai anak muda mengambil enteng dalam mengenali sejarah mahupun warisan nenek moyang termasuk beduk lama.

Kesatuan hati


Salah satu fungsi instrumen lama itu adalah memaklumkan tentang kematian yang berlaku di sesebuah kampung. – Gambar hiasan

“Penggunaan beduk lama itu mampu melahirkan kesatuan hati setiap individu lantas mengharmonikan penduduk di sesuatu kawasan. Ini kerana, paluan instrumen itu memanggil masyarakat setempat untuk berkumpul bagi menyertai majlis-majlis yang mulia seperti solat berjemaah,” katanya.

Walaupun terlepas daripada zaman paluan beduk, dia mempunyai usaha dalam menjejak peninggalan sejarah dan warisan alat tersebut ketika bekerja di kota Jelapang Padi beberapa tahun lalu.

“Namun begitu, saya tidak menolak pembangunan teknologi yang merentas dunia, sebaliknya mereka perlu mengetahui asal-usul dan setidak-tidaknya mempunyai rasa ingin ambil peduli tentang perkara tersebut,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Hulu, Melaka baru-baru ini.

Dia yang melahirkan rasa terkilan itu berkata, sikap lewa tersebut ekoran terhakisnya nilai kemelayuan dalam diri setiap remaja yang terpengaruh dengan gaya hidup Barat. Tidak dapat menjajah melalui fizikal, mereka lancarkan serangan psikologi sekali gus melunturkan semangat cintakan warisan.

“Saya menyarankan agar ‘orang lama’ yang mempunyai kemahiran mahupun kepakaran dalam apa jua nilai budaya dan tradisi bangsa itu, diwariskan kepada generasi muda. Usaha itu sedikit sebanyak dapat membantu menghidupkan legasi ini daripada terus lenyap,” ujarnya penuh kobar.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0702&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3ejMLfMcs Hakcipta terpelihara

Wednesday, 1 July 2015

Unit 2.1.2 Pembesar di China

TAJUK 2:PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN.
Oleh-AHMAD BIN YAAKOB

Membandingkan peranan pembesar dalam pemerintahan China dan Rusia abad ke-16-20 (1500-1999)
1.a)Konsep pembesar
Institus pemerintahan di China dan Rusia memperlihatkan raja atau Maharaja melaksanakan pemerintahan dengan bantuan dan sokongan institusi pembesar. Umumnya golongan pembesar ialah pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja atau Maharaja untuk menjawat jawatan tertentu dan melaksanakan semua bidang tugas yang telah diberikan atau diarahkan kepadanya. Kamus Dewan pula mentakrifkan pembesar bermakna orang yang berpangkat tinggi. Oleh yang demikian dalam sistem pemerintahan beraja dan Maharaja pembesar sangat penting dan berada pada aras kedua selepas kedudukan raja atau maharaja.[1]  
Pembesar juga berperanan penting dalam sistem pentadbiran monarki dan merupakan tulang belakang kepada maharaja. Pembesar membantu maharaja dalam pemerintahan dan pentadbiran. Pembesar dilantik secara rasmi oleh maharaja.[2]
b)Kedudukan pembesar di China
Pembesar di China berada pada aras kedua selepas maharaja.Mereka terdiri dari golongan bangsawan dan sarjana. Golongan pembesar di China  terdiri daripada individu yang menerima pendidikan Confucius dan perlantikan mereka adalah berdasarkan pencapaian dalam Peperiksaan Perkhidmatan Awam. Golongan cerdik pandai diberi keutamaan dalam menjawat jawatan pembesar di peringkat wilayah.Selain golonga cerdik pandai/mandarin pembesar juga terdiri daripada ketua-ketua tentera.Mereka mendapat kedudukan istimewa dalam sistem pemerintahan di China.Ini kerana maharaja juga terpaksa bergantung kepada mereka untuk menjalankan pentadbiran. [3]

c)Peranan pembesar di China
1.Peringkat pusat.
Terdapat tiga fasa pentadbiran iaitu pentadbiran awam, tentera dan tempatan.Pembesar memegang jawatan penting dan membantu maharaja dalam pentadbiran di peringkat pusat.Mereka berkhidmat dalam jabatan kerajaan. Mereka menganggotai Sekretariat Agung, Majlis Tertinggi (Enam Badan Menteri) dan Lembaga Penapis.[4]Mereka memengang jawatan dalam Jabatan Kerajaan seperti Jabatan Awam, Jabatan Hukuman, Jabatan Perkhidmatan,Jabatan Hasil dan Cukai dan Jabatan Upacara dan Istiadat.[5]
2.Peringkat wilayah
Gabenor dilantik untuk mentadbir wilayah. Gabenor diberi kuasa autonomi dalam pentadbiran wilayah.Gabenor berperanan memelihara keamanan dan mengtip cukai daripada penduduk. Gabenor berhubung langsung dengan pemerintah peringkat pusat.[6]
3.Ketua tentera
Ketua tentera bertangungjawab memastikan keamanan wilayah. Mereka mendapat tempat istimewa dalam kerajaan.
4.Golongan inteletual (gentry)
Mereka mendapat pendidikan Confucius dan lulus dalam Peperiksaan Perkhidmatan Awam.Mereka diberi keutamaan dalam menjawat jawatan kerajaan dan di istana.[7]





[1]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi 2015),110.  
[2] “Pembesar”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,56.  
[3] Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar,Edisi Kedua 2015),.98.  
[4]“Pembesar”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,56
[5]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar,Edisi Kedua 2015),.98.   
[6]“Pembesar”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,57.
[7]Ibid.

Argentina berpesta belasah Paraguay


02 Julai 2015 1:50 AM
 PENYERANG Argentina, Gonzalo Higuain (9) meraikan jaringannya
PENYERANG Argentina, Gonzalo Higuain (9) meraikan jaringannya
PENYERANG Argentina, Gonzalo Higuain (9) meraikan jaringannya bersama Lionel Messi ketika menentang Paraguay dalam perlawanan separuh akhir Copa America di Stadium Municipal Alcaldesa Ester Roa Rebolledo di Concepcion, Chile semalam. Argentina menang 6-1. REUTERS
CONCEPCION, Chile - Argentina mempamer persembahan terbaik mereka dalam Copa America setakat ini apabila membelasah Paraguay 6-1 semalam untuk menempah perlawanan akhir klasik menentang tuan rumah Chile pada Ahad ini.
Angel di Maria meledak dua gol, manakala Marcos Rojo, Javier Pastore, Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain turut mencipta jaringan. Lionel Messi pula menjadi watak utama dalam mencipta gerakan untul gol-gol yang diperoleh pasukannya.
Messi, 28, membuktikan kehebatannya apabila menumpaskan tiga pertahanan lawan dan menggelecek bola di bawah kaki salah seorang daripadanya sebelum melakukan larian pantas ketika membantu Di Maria menja­ringkan gol keempat perlawanan.
“Kami tahu gol itu akan hadir. Kami beraksi dengan baik, mencipta peluang dan hari ini kami berjaya menghasilkan jaringan,” kata Messi.
“Kami perlu komited untuk mengekalkan corak permainan se­perti ini. Pasukan mempamerkan ketepatan dan efisien ketika mengasak gawang lawan,” kata jurulatih Argentina, Gerardo Martino.
Gol saguhati Paraguay dihasilkan oleh penyerang, Lucas Barrios yang dilihat berusaha keras untuk melayakkan diri ke final Copa America buat kali kedua berturut-turut selepas tewas kepada Uruguay empat tahun lalu.
Tuan rumah, Chile yang memburu kejuaraan Copa America buat kali pertama kini menjadi penghalang terakhir skuad La Albiceleste yang turun dengan misi menamatkan penantian 22 tahun tanpa gelaran utama.
Berdasarkan rekod ketika ber­aksi di Chile pada 1991, Argentina dilihat memiliki rekod bersih apabila berjaya menjulang trofi kemenangan pada waktu itu selepas menumpaskan Brazil dalam perlawanan akhir.
Dalam perlawanan separuh akhir semalam, Argentina lebih mendominasi permainan, malah turut menguasai bola serta mencipta banyak peluang sejak sepak mula. Gawang La Albiceleste cemas hanya beberapa minit sebelum babak pertama tamat dan sebaik sahaja bermula separuh masa kedua mereka terus bernafsu merobek gol lawan.
“Satu jumlah jaringan yang besar, namun rakyat Paraguay berbangga dengan pasukan ini selepas mereka memperlihatkan peningkatan dalam corak permainan.
“Saya sangat bangga dengan mereka. Pemain saya rajin dan bekerja keras untuk memperbaiki kesilapan. Mereka berjaya muncul empat pasukan terakhir dalam kejohanan ini. Kami menentang pa­sukan terbaik di dunia. Mereka melebihi kami dalam segala aspek.,” kata jurulatih Paraguay, Ramon Diaz yang mengambil alih pasukan pada Disember lalu.
Paraguay kehilangan dua tonggak utama akibat cedera pada babak pertama iaitu pemain perancang, Derlis Gonzalez pada minit ke-26 dan penyerang veteran, Santa Cruz empat minit kemudian. Gonzalez menjadi watak penting ketika menumpaskan Brazil dalam aksi suku selepas menjaringkan gol penyamaan serta menyempurnakan sepakan penalti. – REUTERS

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/argentina-berpesta-belasah-paraguay-1.109652#sthash.vxzHjnqK.dpuf

India penentu nasib Malaysia


Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
 
ROSLAN (kanan) akan pastikan pintu gol skuad negara tidak dibolosi oleh penyerang India pada aksi suku akhir WHL awal pagi esok.

PERTEMUAN menentang India awal pagi esok bakal menjadi penentu sama ada impian Malaysia untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan menjadi kenyataan.

Bagi memastikan misi tersebut tercapai, Malaysia perlu menang ke atas India pada aksi suku akhir kempen Separuh Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium.

Penjaga gol skuad negara, Roslan Jamaluddin bertekad untuk memberikan prestasi terbaik bagi memastikan skuad negara meraih kemenangan ke atas juara Asia itu pada perlawanan getir tersebut nanti.


PARA pemain skuad hoki negara sudah bersedia untuk menyekat India dalam misi memburu tempat ke Sukan Olimpik 2016.

Roslan, 36, mengakui belum berpuas hati dengan persembahannya sepanjang kempen WHL kali ini gara-gara telah melepaskan sembilan gol dalam empat perlawanan awal peringkat Kumpulan B yang menyaksikan mereka menang 3-2 ke atas China, Ireland 4-2, kalah 0-2 kepada Belgium dan Great Britain 1-3.

"Secara peribadi, saya masih belum puas hati tetapi saya perlu menerima hakikat bahawa ia sebahagian daripada asam garam dalam sukan.

"Saya perlu nilai semula prestasi dalam empat perlawanan lalu, mana-mana kelemahan yang ada harus diperbaiki segera. Apa pun, saya akan beri prestasi terbaik pada aksi suku akhir nanti.

"Jadi, saya harap semua pemain dapat memberikan segala yang ada dan fokus sepenuhnya bermula dari sekarang kerana perlawanan dengan India ini sangat penting," katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Berdasarkan rekod pertemuan dengan pasukan ranking kesembilan dunia itu, Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan dramatik 3-2 sewaktu Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, April lalu.

Seandainya Malaysia berjaya menumpaskan India di Stadium Hoki KHC Dragons, Brasschaat awal pagi esok, pasukan kendalian Tai Beng Hai itu akan menjamin satu slot untuk layak ke Rio tahun depan.

Sebagai rekod, Roslan merupakan satu-satunya pemain negara di Belgium ketika ini yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik iaitu di Sydney, Australia 15 tahun lalu.

Selain Roslan, dua anggota penting The Speedy Tigers ketika ini turut membarisi Skuad Olimpik 2000 iaitu pengurus pasukan, Stephen Van Huizen (sewaktu itu ketua jurulatih) dan penolong jurulatih, Nor Saiful Zaini (pemain) dan mereka sekadar mendapat tempat ke-11.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3edMrv1YJ Hakcipta terpelihara