Ad

Thursday, 1 December 2016

Karya agung dan kebanggaan kita

ARKIB : 22/04/1999
KETIKA ini antara yang menjadi kebanggaan ialah Litar Formula 1 di Sepang yang bertaraf dunia. Litar yang menelan belanja RM286 juta itu menjadi mercu tanda penting pembangunan sukan negara dan langkah awal mengindustrikan sukan untuk alaf akan datang.

Sebelum ini kita berbangga memiliki tiang bendera tertinggi di dunia yang terpacak di Dataran Merdeka. Selain itu kita berbangga menghasilkan kek terpanjang dan melahirkan juara makan sate (tentunya bertaraf dunia).

Tetapi berapa orang pula yang merasa bangga kerana dalam masa yang singkat Yayasan Karyawan berjaya menghasilkan tiga karya agung: Sulalat Al Salatin, Hikayat Hang Tuah (versi mutakhir) dan Tuhfat al-Nafis?

Sebenarnya ini adalah langkah awal mencungkil kembali sekian banyak karya agung Nusantara yang ditenggelamkan oleh sistem sosial, modenisasi dan pengaruh-pengaruh luar terhadap pemikiran rakyat.

Suatu ketika sebelum lahirnya Yayasan Karyawan, bentuk karya seperti ini sudah semacam hilang relevannya dalam jadual negara menuju modenisasi.

Kerana itu selain kita berbangga memiliki sekian banyak bangunan tercanggih, pencapaian dari aspek intelektual sekali gus mempamerkan jati diri juga wajar menjadi kebanggaan. Kalau Nusantara, khususnya Melayu, mahu bangun sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia, karya-karya agung ini antara kayu ukurnya.

Tetapi seperti biasa, sastera, kesusasteraan dan dunia kesenimanan di negara ini semacam tidak relevan dengan agenda utama. Kita masih tidak percaya karya-karya yang mengalirkan sudut pandangan intelektual bangsa boleh menjadi jambatan untuk ke persada dunia.

Siapa peduli dengan karya-karya klasik agung ini kalau tanpa Yayasan Karyawan yang menyelongkar sekian banyak khazanah yang kita sendiri timbuskan ke dalam lumpur. Pada tanggapan sesetengah daripada kita, apa yang karya agung boleh lakukan untuk memajukan negara?

Lalu tidak hairanlah kalau sebelum lahirnya Yayasan Karyawan, karya-karya klasik ini terbiar. Tetapi pada masa yang sama kita mengenali Shakespeare menerusi Hamlet, Othello atau Macbeth. Sebenarnya karya-karya agung ini bukan sahaja menjulang nama Shakespeare tetapi tamadun Inggeris.

Semua bangsa bertamadun di dunia memiliki karya agung mereka. Karya agung ini umpama wajah, pemikiran, prinsip malah maruah sesuatu bangsa. Rusia misalnya pasti berbangga dengan War and Peace karya Leo Tolstoy sementara Perancis pula dengan karya agung bangsanya, Robespiere Equality.

Karya-karya agung Ernest Hemingway pula seperti Old Man and the Sea dan Farewell to Arms menjulang tamadun Amerika. Tetapi kerana sikap dan keutamaan kita yang jarang kepada hal-hal begini, karya besar lagi klasik terbiar sehinggalah Yayasan Karyawan diwujudkan.

Misalnya kita secara jujur lebih berbangga bercakap tentang sebuah panggung yang termoden daripada memikirkan bagaimana mahu menghasilkan karya terbaik. Tambah jelas lagi negara mahu menghasilkan filem box office daripada filem yang ada sedikit cerdiknya.

Apa lagi yang tidak ada di negara ini? Bangunan tertinggi, jambatan terpanjang atau tiang bendera tertinggi di dunia? Semuanya kita miliki kecuali ada sedikit kelewatan mengemukakan karya-karya klasik dalam keghairahan yang sama seperti menunggu tegaknya bangunan tertinggi di dunia.

Mungkinkah kerana objek-objek seperti bangunan dan tiang bendera ini senang dilihat dan dibuktikan dengan mata, atau sememangnya kita tidak memberi keutamaan kepada hal-hal yang tidak berupa objek seperti ini?

Kewujudan Yayasan Karyawan dianggap menyelamatkan sekian banyak karya-karya klasik yang boleh dijadikan cermin bangsa. Malah mencungkil kembali karya-karya agung Nusantara adalah sebahagian daripada landasan gelombang kebangkitan Asia.

Yayasan Karyawan adalah projek patriotik yang bertolak daripada kesedaran mahu meletakkan diri di antara lebih 200 karya agung bertaraf dunia. Peranan Yayasan Karyawan tentunya besar. Selain menjalankan penyelidikan, yayasan yang diterajui oleh Datuk Hassan Ahmad ini juga bertanggungjawab mencari karya agung Melayu yang berada di luar negara.

Hikayat Hang Tuah misalnya, yang mengandungi 146,000 perkataan yang dilahirkan semula oleh Yayasan Karyawan menonjolkan jati diri bangsa. Lebih daripada itu watak Hang Tuah sendiri mewakili cita-cita besar bangsa terhadap zamannya selain membawa kita melihat kembali jatuh bangun Melaka.

Kita terlupa kepada Hang Tuah. Dan suatu ketika dulu banyak yang bercakap tentang watak Brutus dalam naskhah teater Julius Caesar. Malangnya kebanyakan mereka bukanlah pejuang sastera tetapi pejuang politik kerana Brutus ada relevan dengan politik.

E-mel: kuseman@pc.jaring.my

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4ReZEPRiz © Utusan Melayu (M) Bhd

2 beradik jejak darjah terakhir Kutub Utara

ARKIB : 21/04/1999
KUALA LUMPUR 20 April - Dua beradik Justin dan Gerald Read menjadi rakyat Malaysia pertama berjalan hingga ke darjah terakhir Kutub Utara selepas mengharungi keadaan cuaca yang teruk.

Menurut satu kenyataan Benson & Hedges Golden Dreams yang menganjurkan percubaan itu hari ini, kedua-dua beradik itu sampai ke darjah terakhir Kutub Utara pada pukul 7.27 pagi (waktu Malaysia) pada 19 April.

Menurutnya Justin, 19, dan Gerald, 25, dari Petaling Jaya begitu gembira dengan kejayaan mereka menjejaki kawasan kutub bumi itu dan mencipta rekod baru Malaysia.

Tambahan pula Justin mungkin mencipta satu rekod baru dunia sebagai orang yang paling muda berjalan ke darjah terakhir Kutub Utara.

''Hari terakhir merupakan cabaran paling besar apabila pasukan itu mengharungi keadaaan cuaca yang begitu teruk seperti angin kencang dan salji,'' menurut penganjur.

Menurutnya mereka telah mendirikan khemah, melaporkan lokasi mereka ke kem pangkalan di Resolute Bay dan kini menunggu untuk dipindahkan melalui udara.

''Pemindahan itu dijangka akan tertangguh kerana keadaan cuaca yang teruk. Pasukan itu mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk melepasi cuaca buruk itu,'' katanya.

Darjah terakhir itu antara lain memerlukan mereka berjalan sejauh 111km, di bawah suhu antara -10 dan -30 darjah centigrade.

Pasukan itu yang terdiri daripada dua beradik berkenaan, seorang penunjuk arah dan dua krew filem, memulakan perjalanan mereka pada 12 April. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4Re6nyGIC © Utusan Melayu (M) Bhd

75 korban pesawat terhempas

BARISAN pemain Chapecoense Real bergambar pada pertandingan separuh akhir Copa Sudamericana 2016 baru-baru ini. - AFP

GAMBAR di tempat kejadian menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa yang mungkin terselamat. - Agensi
Agensi
Bogota: Sebuah pesawat penerbangan khas membawa satu pasukan kelab bola sepak Brazil terhempas di kawasan pergunungan di Colombia awal semalam, menyebabkan 75 orang terbunuh.

Menurut pegawai, hanya lima orang terselamat dalam nahas itu.

Pesawat penerbangan khas syarikat LAMIA itu menghantar isyarat kecemasan sekitar jam 10 malam waktu tempatan (Selasa 11 pagi, waktu Malaysia), melaporkan ia menghadapi masalah elektrik dan terhempas sejurus selepas itu berhampiran bandar Medellin.


Pesawat berkenaan membawa pemain dan pegawai pasukan Chapecoense Real, kelab bola sepak Brazil yang sepatutnya bertanding dalam perlawanan akhir Copa Sudamericana hari ini, menentang Atletico Nacional dari Colombia.

Selain 72 penumpang, pesawat itu juga membawa sembilan anak kapal.

“Kami berjaya menyelamatkan enam orang tetapi seorang daripada mereka mati dalam perjalanan ke hospital,” kata ketua polis, Jose Gerardo Acevedo.

Antara yang terselamat ialah Alan Ruschel, 27, pemain pertahanan pasukan Brazil itu.

Dua lagi pemain ialah Marcos Danilo Padilla dan Jackson Follmann – yang terselamat dan dibawa ke hospital tempatan bersama seorang kakitangan pesawat dan seorang wartawan.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain, Helio Hermito Zampier Neto, juga ditemui mangsa terselamat.

Pesawat itu berlepas dari Sao Paulo, Brazil sebelum berhenti di Santa Cruz, Bolivia dan menyambung penerbangan ke Rionegro, bandar berhampiran Medellin.

Ia terhempas kira-kira 50 kilometer dari Medellin, bandar kedua terbesar Colombia.

Elkin Ospina, datuk bandar La Ceja, bandar berhampiran tempat kejadian berkata, kawasan pergunungan itu setinggi 3,300 meter dari paras laut dan sukar untuk dijejaki.

Pasukan penyelamat yang membawa pengusung terpaksa berjalan kaki selama lebih setengah jam sebelum tiba di tempat pesawat itu terhempas.

Menurut Ospina, cuaca buruk merumitkan tugas mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol) secara rasminya membatalkan perlawanan akhir sehingga diberitahu kelak.

Chapercoense yang dianggap kelab kecil bola sepak Brazil memasuki perlawanan akhir selepas mengalahkan pasukan San Lorenzo dari Argentina.

Sembilan pemain pasukan itu tidak terbang ke Colombia semalam.

Dua minggu lalu, pesawat sama digunakan untuk membawa pasukan kebangsaan Argentina, termasuk Lionel Messi, ke San Juan, Argentina, untuk satu perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 7:32 AM

ATM kekal di Liga Premier

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
PEMAIN ATM (jersi biru) pastinya lega kerana mereka masih kekal bersaing dalam Liga Premier musim depan bagi menggantikan tempat pasukan DRB-Hicom yang menarik diri.

SKUAD Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lega kerana kekal bersaing dalam Liga Premier musim depan.

Mereka seharusnya mengucapkan terima kasih kepada DRB-Hicom FC yang menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan dan ia telah membuka ruang buat ATM untuk kembali ke Liga Premier.

ATM yang menamatkan saingan di tempat ke-11 pada kempen Liga Premier 2016 telah diturunkan pangkat ke Liga FAM musim depan bersama-sama pasukan di tangga tercorot, Sime Darby.

Pada saingan musim ini ATM sekadar mengumpul 15 mata menerusi empat kemenangan, tiga seri dan 15 kekalahan.

Kedudukan ATM untuk kekal bersaing dalam Liga Premier musim depan disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam semalam.

Menurut Kevin, ATM akan menggantikan DRB-Hicom yang menarik diri daripada saingan Liga Premier musim depan.

Jelas Kevin, FMLLP telah mengusulkan pertimbangan serta kelulusan melalui resolusi kepada Ahli Lembaga Pengarah FMLLP dan mereka telah memutuskan untuk mengekalkan ATM bersaing dalam Liga Premier musim depan.

Katanya, situasi itu sama seperti tahun sebelumnya yang mana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meluluskan untuk mengekalkan Kuala Lumpur yang berada di tangga ke-11 Liga Premier 2015 bersaing dalam Liga Premier 2016.

“Pengganti kepada DRB-Hicom adalah ATM kerana mereka berada di kedudukan tangga ke-11 Liga Premier musim ini.

“Kaedah ini sama seperti FAM mengekalkan Kuala Lumpur yang turut berada di tangga ke-11 dalam saingan Liga Premier musim lalu yang mana wakil Singapura, Lions XII tidak lagi bersaing di Liga M tahun ini.

“Jadi, Ahli Lembaga Pengarah FMLLP telah memutuskan ATM menjadi pasukan pengganti kepada DRB-Hicom. Oleh yang demikian, pasukan ATM dikehendaki membuat pengesahan penyertaan secara rasmi kepada FMLLP pada atau sebelum pukul 5 petang, Jumaat depan (9 Disember),” kata Kevin ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Kosmo! semalam melaporkan FMLLP telah mengesahkan DRB-Hicom bertindak menarik diri daripada kancah Liga M musim depan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan tetapi kelab itu akan memberikan fokus kepada aspek pembangunan bola sepak.

Ketika ditanya kemungkinan aksi play-off bakal diadakan untuk mencari pengganti DRB-Hicom, Kevin menegaskan bahawa perlawanan tersebut tidak akan berlaku.

“Seperti saya katakan, kaedah untuk menentukan pengganti DRB-Hicom adalah sama seperti tahun lalu dan keputusan telah dicapai yang mana ATM akan terus kekal dalam saingan Liga Premier musim depan,” ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4RdMoxudQ Hakcipta terpelihara

Faiz mahu jumpa Ronaldo

 Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Pemain Pulau Pinang, Faiz Subri (gambar) ingin bertemu bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo andai dia berjaya berada dalam senarai tiga calon akhir bagi merebut anugerah jaringan tercantik Puskas 2016.

Faiz, 29, kini menanti penuh debar keputusan undian Jumaat ini mengenai jaringan golnya yang bersaing dengan sembilan lagi pencabar dari seluruh dunia termasuk bintang Barcelona Lionel Messi dan Neymar.


Jika berjaya berada dalam senarai tiga gol terbaik, dia akan dijemput untuk menghadiri majlis gilang-gemilang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Zurich, Switzerland bagi keputusan akhir pemenang anugerah Puskas pada 9 Januari.

Faiz yang dilihat mempunyai peluang untuk memenangi anugerah itu berdasarkan sambutan peminat bola sepak seluruh dunia boleh bertemu dengan pemain idolanya Ronaldo pada majlis itu kerana pemain kebangsaan Portugal itu tersenarai bagi anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA 2016.

“Kalau ada rezeki saya ke sana (Zurich) saya nak jumpa Ronaldo. Saya memang meminatinya sejak dia mencipta nama bersama Manchester United dan kini Real Madrid.

“Saya suka melihat cara permainannya dan saya juga banyak belajar mengenai cara sepakan percumanya. Saya tak pernah bertemu dengan Ronaldo sebelum ini memang kalau ada peluang saya tak akan lepaskan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Faiz mencipta sejarah baharu bola sepak tanah air apabila gol menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika bertemu Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu berjaya dicalonkan dalam anugerah Puskas tahun ini.

Gol pada minit ke-62 itu yang dikatakan ‘melanggar hukum fizik’ berjaya mencuri perhatian serata dunia selepas menjadi viral di laman sosial.

Faiz yakin jaringannya itu mampu sekurang-kurangnya melangkah ke pusingan akhir anugerah Puskas 2016.

“InsyaAllah jika ada rezeki boleh ke tiga jaringan terbaik. Tapi bagi saya untuk berada dalam senarai 10 terbaik sudah satu kejayaan. Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong dan mengundi,” ujarnya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 8:4



Mengingati Ahmad Ibrahim

ARKIB : 20/04/1999
PADA Sabtu lalu, saya dikejutkan oleh dua panggilan telefon. Panggilan pertama dari adik kandung saya di Muar, memaklumkan saya bahawa ibu sakit kuat dan saya perlu pulang dengan serta-merta. Dalam masa saya kelam-kabut bersiap sedia hendak berlepas dengan kereta (perjalanan dari Alor Setar ke Muar melalui lebuh raya mengambil masa kira-kira 7 hingga 8 jam), saya terima panggilan kedua dari seorang peguam di Alor Setar. Beliau (lulusan kumpulan pertama mahasiswa Kulliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Petaling Jaya) memaklumkan bahawa Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim telah meninggal dunia dan bertanya di mana agaknya jenazahnya akan dikebumikan. Saya maklumkan peguam itu, oleh kerana UIA telah pun berpindah dari kampus asalnya di Petaling Jaya ke kampus barunya di Gombak, dan Allahyarham Prof. Ahmad telah pun berpindah rumah ke kawasan yang berdekatan dengan kampus baru universiti itu, sudah pasti pengebumian jenazahnya tidak jauh dari kampus universiti tersebut.

Disebabkan urusan keluarga yang tidak dapat saya elakkan itu, saya katakan kepada peguam itu bahawa amat sukar sekali bagi saya untuk singgah di Gombak bagi maksud mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan. Dalam pada itu, saya katakan kepadanya sudah pasti sahabat-sahabat kita yang lain yang masih menetap di Kuala Lumpur dan di sekitar Lembah Klang akan menziarahi kaum keluarga beliau dan kemudian menghantar jenazahnya ke tanah perkuburan.

Pertama kali saya menemui Allahyarham Prof. Ahmad ialah di awal tahun 70-an. Pada masa itu, beliau menjadi Dekan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya sementara saya bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara.

Disebabkan pada ketika itu, salah seorang pensyarah kanan di fakulti itu (Prof. Nik Rashid, kini sudah meninggal dunia) mahu berangkat ke luar negara untuk meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana, saya telah 'dipinjamkan' oleh Jabatan Peguam Negara untuk mengajar secara sambilan di fakulti itu.

Tempoh saya mengajar di situ tidaklah lama. Ia 'terhenti' dengan tiba-tiba apabila satu rusuhan pelajar besar-besaran meletus di kampus (yang semua tahu apa sebab ia berlaku dan siapa yang terlibat dalam rusuhan itu). Ekoran rusuhan itu, saya maklumkan kepada fakulti bahawa saya tidak berminat untuk meneruskan khidmat saya di situ.

Dalam pertemuan kami yang pertama itu, saya dapati Allahyarham Prof. Ahmad seorang yang peramah, lemah lembut, suka senyum dan berhemah tinggi. Oleh sebab dia cepat mesra dengan sesiapa sahaja, saya tidak merasa kekok atau serba kekurangan bila berbual dengannya _ hingga saya terlupa buat seketika bahawa orang yang saya temui itu adalah bukan sebarang orang. Sebelum ini Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Peguam Negara Singapura dan menjadi duta negara itu di sebuah negara di Asia Barat.

Pada masa 10 tahun selepas saya meletak jawatan di Jabatan Peguam Negara (iaitu antara 1974 hingga 1984 semasa saya meneruskan kerjaya saya di bidang undang-undang dan korporat), sekali sekala saya ada menghubungi Allahyarham bila timbul keperluan. Bagi saya (dan saya pasti bagi ramai lagi di kalangan peguam yang pernah pada satu ketika menjadi 'muridnya'), Allahyarham Prof. Ahmad menjadi 'pakar rujuk' yang amat senang sekali dihubungi, kerana Allahyarham senantiasa bersedia membantu dan memberi buah fikirannya. Saya sering menggelar Allahyarham (bila kami di kalangan peguam berbincang sesama sendiri) sebagai walking encyclopaedia of Malaysian law (ensiklopedia bergerak undang-undang Malaysia).

Mulai 1984 hingga akhir 1989 (semasa saya memegang jawatan sebagai pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang UIA), hubungan saya dengan Allahyarham bertambah rapat. Kadangkala sebagai anak dengan bapa, kadangkala sebagai pelajar dengan gurunya (mentor), kadangkala sebagai sahabat dengan sahabat. Dalam masa inilah saya mempelajari satu dua rahsia kekuatannya _ kenapa dia diiktiraf oleh banyak pihak sebagai seorang tokoh undang-undang yang amat disegani.

Allahyarham adalah seorang yang suka membaca dan menulis. Bukan hanya setakat satu hobi. Malahan kadang kala saya lihat sebagai satu obsession (obsesi).

Ramai antara kita yang suka membaca, tetapi tidak semuanya rajin, tekun atau berani menulis. Ada juga di antara kita yang suka menulis, tetapi tak semua yang suka menulis ini sanggup atau mahu terus menerus membaca dan membuat kajian _ apatah lagi di bidang-bidang yang tak ada kaitan dengan bidang pengkhususannya itu. Allahyarham Prof. Ahmad tidak begitu. Kerajinan dan kesungguhan beliau, baik menulis atau membaca, melampaui semua bidang _ baik sivil mahupun syariah, baik bidang komersial, jenayah, perlembagaan, keluarga, atau apa sahaja.

Setiap kali bila saya berkunjung ke pejabatnya dan bertanya kepada setiausaha peribadinya di mana Allahyarham, jawapan yang saya terima ialah (jika Allahyarham tidak ada dalam dewan kuliah atau menghadiri mesyuarat di luar kampus) salah satu antara tiga:
* Allahyarham ada di biliknya sedang menulis
* Allahyarham ada di perpustakaan sedang membaca, atau
* Sudah pulang ke rumah kerana berehat sebentar.

Antara kita di kalangan pensyarah di UIA, kita faham benar bahawa waktu selepas zuhur, Allahyarham biasanya rehat (tidur) sebentar. Tak akan ada sesiapapun yang berani mengganggu beliau dalam jangka waktu itu.

Pada satu hari saya bertanya Allahyarham, ''Apakah rahsia di sebalik kesihatan Tan Sri?''. Allahyarham senyum sahaja, enggan menjawab. Saya tanya soalan itu kerana saya lihat Allahyarham sentiasa sihat dan ceria, jarang-jarang sakit seperti kita (batuk atau selesema dan sebagainya), dan walaupun usianya makin lanjut, saya tahu Allahyarham tidak ada pantang larang bila makan. Walhal seleranya kadang kala mengalahkan selera orang yang lebih muda.

Pada satu ketika semasa saya berada di Sri Lanka bersamanya (kerana menghadiri satu persidangan), saya mempelawanya makan malam di sebuah restoran. Makanan special yang saya pesan pada malam itu ialah kari kepala ikan. Barang siapa yang sudah biasa makan lauk kari di Sri Lanka, akan tahulah betapa pedasnya masakan orang di negara itu. Namun begitu, saya lihat Allahyarham makan dengan penuh selera, setanding dan tak kalah dengan selera saya dan kawan-kawan lain.

Juga pada satu ketika lain, Allahyarham mengajak saya makan murtabak bersamanya di sebuah restoran kegemarannya di Singapura. Tak cukup dengan apa yang dimakan di situ, Allahyarham menasihatkan supaya saya membawa bekal pulang untuk anak-anak. Kata beliau, sudah pasti isteri dan anak-anak saya akan sukakannya.

Berbalik kepada rahsia kesihatannya, setelah puas bertanya, akhirnya saya peroleh rahsia tersebut. Pertama, Allahyarham Prof. Ahmad jarang sekali putus wuduk (tidak batal air sembahyang). Kedua, setiap hari, selepas zuhur, Allahyarham mesti tidur buat seketika. Tidak perlu tidur lama, 15 minit sudah memadai. Yang penting mesti ada masa untuk benar-benar rehat. Ketiga, setiap petang antara asar dan maghrib (kecuali masa dan tugas rasmi tidak mengizinkan), Allahyarham membuat riadah secara mudah (simple walking exercise di kawasan pekarangan rumah). Dan keempat, akhir sekali, Allahyarham pastikan dirinya tidur awal (tidak pernah tidur lewat).

Yang rumitnya bila kita melawat ke luar negara dengan Allahyarham ialah disebabkan Allahyarham sudah masuk tidur awal-awal lagi, sebelum subuh Allahyarham sudah bangun untuk wirid dan membaca di biliknya. Sebaik sahaja masuk waktu subuh, Alalhyarham akan mengetuk pintu kita supaya kita ramai-ramai boleh menunaikan fardu subuh bersamanya. Dan bila kita sembahyang berjemaah, jarang sekali Allahyarham yang menjadi imam.

Pada saya, kekuatan Allahyarham Prof. Ahmad adalah pada ilmu yang ada padanya, dan kesanggupannya untuk terus mengajar dan mendidik orang lain. Allahyarham bukan seorang pemidato (public speaker) yang hebat. Malahan ramai di kalangan bekas pelajarnya yang mampu memberi pidato yang lebih baik daripadanya. Kekuatan Allahyarham bukan pada public speaking. Kekuatan beliau adalah pada penulisannya yang sentiasa mencerminkan ilmu yang ada di dadanya.

Jika kita selidiki latar belakang di sebalik penggubalan berpuluh-puluh enakmen Islam di semua negeri di negara kita ini, kita akan diberitahu peranan Allahyarham Prof. Ahmad. Jika baca makalah undang-undang Islam di mana-mana jurnal undang-undang, kita tak akan dapat lari daripada rencana dan makalah yang dihasilkan olehnya. Jika tanya semua pelajar undang-undang yang lulus dari mana-mana universiti tempatan, kita akan jumpa 'anak didiknya' (sama ada yang diajar olehnya sendiri atau setidak-tidaknya telah mempelajari buku teks yang dihasilkan olehnya).

Bagi pemimpin negara ini, kematian Allahyarham adalah satu kehilangan yang besar. Bagi Mahkamah Syariah di negara ini, pemergiannya sudah pasti susah dicari ganti. Bagi saya, jasadnya sahaja yang sudah tidak ada lagi. Tapi suara Allahyarham, buah fikiran Allahyarham, nasihat Allahyarham, tulisan Allahyarham _ semua ini akan tetap kekal bersama saya hingga ke akhir hayat. Allahyarham Prof. Ahmad tidak akan mati selagi 'anak-anak muridnya' masih hidup.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4RbUOI7LI © Utusan Melayu (M) Bhd

Azhar pelayar solo pertama negara lepasi Tanjung Horn

ARKIB : 19/04/1999
LANGKAWI 18 April - 'Segala Puji bagi Allah' dan 'Tahniah Malaysia', itulah reaksi Azhar Mansor yang hari ini mencipta sejarah sebagai pelayar solo pertama negara melepasi Tanjung Horn pada pukul 2.45 petang waktu Malaysia.

Dengan membuktikan semangat 'Malaysia Boleh', Azhar berjaya mengelilingi tanjung yang cukup digeruni itu bersama kapalnya, Jalur Gemilang (JG) yang 'sarat' dengan kerosakan sejak enam hari lalu.

''Tidak ramai pelayar yang pernah mengelilingi Tanjung Horn dengan tiang kapalnya patah, namun kita berjaya melakukannya,'' ujar Azhar dalam e-melnya ke Pangkalan Darat JG petang ini.

Selain tiang utama patah, kerosakan berlaku pada radar, kompas, alat pemanas serta antena radio VHF dan SSB.

Azhar mengemudi JG mengelilingi tanjung tersebut menerusi Laluan Drake, kira-kira 24 batu nautika dari daratan, dibantu dengan cuaca yang baik.

Biarpun angin bertiup cuma lima hingga 10 knot, JG tetap meluncur agak deras pada purata enam knot dengan sekadar bergantung pada layar sementara (jury-rig) yang diikat pada tunggul tiang utama.

''Saya terasa seperti muncul kembali ke alam nyata, selepas sebulan setengah melayari perairan selatan dunia sejak meninggalkan Tanjung Leeuwin, Australia dulu,'' katanya.

Mengimbas kembali pelbagai dugaan yang dihadapinya, Azhar berkata, Lautan Selatan adalah satu mimpi ngeri dengan ribut yang cukup dahsyat manakala permukaan laut bergelombang besar.

''Ia merosakkan kapal, memberi banyak tekanan kepada krew (beliau). Saya dan JG terselamat,'' kata pelayar berusia 41 tahun itu.

Insiden paling buruk berlaku pada hari ke-69 pelayarannya apabila tiang JG patah selepas diasak gelombang besar.

Tambah beliau, sekarang ialah masa untuk memikirkan haluan ke utara mengarahkan ke timur untuk ke Kepulauan Falklands bagi urusan membaik-pulih JG.

Menurutnya, itulah langkah yang praktikal dan wajar untuk peringkat ini.

Sementara itu, pasangan petugas pangkalan darat JG, Noel Belman dan isterinya, Sandy, dalam kenyataan bersama mereka hari ini yakin tidak ramai pelayar yang berpeluang menceritakan pengalaman yang sama seperti yang di Alami oleh Azhar.

Mereka menyanjung tinggi Azhar atas semangat tidak mudah mengaku kalah biarpun puas diasak gelombang besar, angin sehingga 65 knot (120 kilometer sejam), ribut hujan batu dan cuaca sejuk.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_05.htm#ixzz4RbL82U5Q © Utusan Melayu (M) Bhd