Ad

Saturday, 3 June 2017

Masyarakat Agraria di China abad ke-16 hingga abad ke-17.

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
 Ciri-ciri masyarakat agraria di China.
SISTEM EKONOMI FEUDAL
Sistem ekonomi yang diamalkan di China pada abad ke-16 dan 17 bersifat saradiri. Sebahagian besar penduduk China terlibat dengan aktiviti bercucuk tanam.Kebanyakkan petani menyewa tanah daripada tuan-tuan tanah yang kaya.

      Tanaan utama masyarakat agraria di China ialah penanaman padi sawah. Kawasan penanaman padi sawah ialah di lembah sungai Yangtze dan Sungai Kuning.

PEMILIKAN TANAH PERTANIAN
Tanah adalah milik kerabat Diraja atau golongan bangsawan. Pada zaman kerajaan Ming, tanah yang dimiliki kerabat Diraja seluas 1.28 juta mu. Keluasan tanah milik keluarga Diraja telah meningkat kepada 20 jota mu pada tahun 1522.

      Ejelag zaman Cging, tanah pertanian diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Hal ehwal  Kerabat Diraja.Pada masa pemerintahan Jiaqing jabatan ini menguruskan tanah seluas 4 juta mu.[1]

PENGKHUSUSAN PENGELUARAN PERTANIAN
Masyarakat agraria China mengamlkan pengkhususan dalam pengeluaran barangan mengikut daerah atau kawasan   seperti tebu dikeluarkan di daerah Kwangtung, Fukien dan Szechan. Teh dan daun mulberry untuk makanan ulat sutera di Chekiang dan Selatan Kingsu. Kapas di Kiangsu dan daerah Utara. Kegiatan perlombongan di Yunnan, perusahaan kain kapas, kain sutera dan pakaian diusahakan oleh petani di Kiangnan dan hasil hutan iaitu kayu balak di Manchuria.

Petempatan
Masyarakat agraria dalam tamadun China mendirikan petempatan di kawasan lembah sungai Kuning dan Sungai Yang Tze. Kawasan ini mempunyai mendapan tanah loes yang subur dan sesuai untuk menjalankan aktiviti pertanian. Kesuburan tanah menyebabkan petani mendirikan petempatan di lembah sungai tersebut.

       Petani yang menetap di kawasan lembah sungai terlibat dalam penanaman padi secara meluas.Petempatan masyarakat agraria terdapat di kawasan tanah pamah yang terletak di bahagian Selatan China. Di samping itu masyarakat agraria mendirikan petempatan di kawasan dataran tinggi yang terletak di Utara China. Antara kawasan yang menjadi tumpuan masyarakat agraria di bahagian Utara China ialah wilayah Anhui, Hupeh, Shansi dan Shensi.[2]

SISTEM CUKAI
Petani yang tidak memiliki tanah dengan tuan-tuan iaitu golongan bangsawan dengan kadar yang ditetapkan oleh tuan-tuan tanah. Menjelang zaman Ming-Qing petani-petani  membayar sewa tanah dengan dalam bentuk hasil pertanian.

      Petani dikehendaki menyerahkan antara 50%-60% daripada hasil pertanian yang diperolehi sebagai cukai. Petani juga dikehendaki berkhidmat sebagai buruh paksa kepada tuan tanah. Pada tahun 1581 sistem cukai baru diperkenalkan dan dikenali sebagai ‘cukai tunggal’ melalui cukai baru ini petani hanya dikehendaki membayar satu jenis sahaja iaitu dalam bentuk wang perak.

SSTEM PENGAIRAN
Petani di China berkemahiran dalam pembinaan terusan dan mengawal aliran air sungai. Terusan juga dibina untuk menyalurkan air ke kawasan pertanian dan mengelak banjir. Terusan juga digunakan untuk mengangkut  hasil pertanian ke bandar-bandar. Petani di China juga mahir membina teres di lereng-lereng bukit bagi penanaman padi.[3]

      Bekalan air disalurkan ke kawasan pertanian dari terusan dan kolam takungan air. Pam yang menggunakan tenaga binatang ataupun manusia digunakan untuk mengepam air ke kawasan pertanian. Empangan dibina untuk membekalkan bekalan air yang mencukupi bagi mengairi kawasan pertanian.

      Selain itu, tambak juga dibina untuk mengelak banjir memusnahkan kawasan pertanian. Projek pengairan juga dijalankan oleh pemerintah untuk mengairi kawasan pertanian. Projek pengairan di Sichuanmengairi kawasan tanah pertanian seluas 2 000 000 hektar.[4]   

PENGKHUSUSAN PEGELUARAN BARAGAN
Masyarakat agraria China mengamal pengkhususan barangan mengikut daerah atau kawasan seperti tebu dikeluarkan di daerah Kwangtung. . Fukien dan Szechwan. Teh dan mulberry untuk makanan ulat sutera di Chekiang dan Selatan Kiangsu. Kapas ditanam di Kiangsu dan daerah Utara. Kegiatan perlombongan di Yunnan, perusahaan kain kapas, kain sutera dan pakaian dusahakan oleh petani di Kiangnan dan hasil hutan iaitu kayu balak di Manchuria.[5]

PENINGKATAN TEKNOLOGI
Masyrakat agraria di China mempunyai kemahiran dalam teknologi pertanian.  Pelbagai jenis peralatan baharu telah dicipta untuk menigkatkan pengeluaran hasil pertanian. Tenggala penabur benih digunakan untuk menabur benih dalam barisan yang lurus.

      Selain tenggala kayu, mereka juga mencipta peralatan lain seperti penyisir anah, penggiling dan kolar kuda. Kereta sorong beroda dua telah dicipta untuk memudahkan barang-barang diangkut. Mereka memperkenalkan kaedah baharu dalam pertanian seperti sistem penanaman bergilir, tanaman dua pusingan dan pengkhususan dalam pertanian. Pengenalan kaedah baru telah meningkatkan pengeluaran hasil pertanian.[6]  




[1]“Masyarakat Agraria”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013)16.
[2] Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955  Edisi Keriga,36
[3] “Masyarakat Agraria”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,17.
[4] Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955  Edisi Keriga (Shah Alam: Oxford Fajar 2016),.22.
[5]“Masyarakat Agraria”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,  ,18.
[6]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955  Edisi Keriga,37

Penduduk gempar anak lembu miliki kepala seakan manusia



 ANAK lembu yang dilahirkan dengan muka mirip manusia ini menggemparkan penduduk di Muzaffarnagar, Uttar Pradesh, utara India.

MUZAFFARNAGAR, India – Seekor anak lembu di sebuah kampung di sini dipuja sebagai tuhan selepas dilahirkan dengan muka seakan-akan manusia baru-baru ini.

Haiwan itu dilahirkan di sebuah pusat perlindungan haiwan dengan mata, hidung dan telinga mirip seorang manusia, namun mati dalam masa sejam selepas dilahirkan.

Berita keadaan fizikal lembu itu menggemparkan penduduk sekitar menyebabkan mereka berpusu-pusu ke kampung berkenaan yang terletak di negeri Uttar Pradesh, utara India kerana percaya haiwan itu adalah jelmaan dewa Vishnu.

Video yang dikongsikan di internet menunjukkan orang ramai memberi kalungan bunga dan menyembah anak lembu yang disimpan di dalam sebuah kotak kaca selepas mati.

Seorang doktor haiwan, Dr. Ajay Deshmukh bagaimanapun berkata, keadaan itu disebabkan gen lembu berkenaan tidak berkembang dengan sempurna sehingga menyebabkan berlaku kecacatan pada fizikal haiwan berkenaan. – AGENSI

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz4iz05cmcP
Hakcipta terpelihara

Kepayahan lawan Inggeris



ARKIB : 31/08/2005

Oleh ROSNI HASSAN (Wartawan Utusan)


Melaka mencatat banyak peristiwa penting dalam sejarah kemerdekaan negara. Paling penting tarikh 20 Februari 1956 yang menyaksikan rakyat bersama-sama pejuang kemerdekaan meraikan kejayaan negara bebas daripada kuasa penjajah Inggeris.

Pada tarikh itu di tempat yang paling bermakna yang kini dikenali sebagai Padang Pahlawan rakyat berkumpul menyambut kepulangan Tunku Abdul Rahman dari London untuk berunding dengan Inggeris mengenai kemerdekaan negara.

Kepulangan bekas Perdana Menteri pertama Malaysia yang membawa bersama dokumen kemerdekaan tanah Melayu dari London ditunggu-tunggu oleh rakyat yang tidak sabar untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.

Lebih 100,000 orang dikatakan berkumpul di Padang Pahlawan dan melaungkan merdeka berulang-ulang kali sebaik sahaja Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara dan mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Kebangkitan semangat rakyat ketika itu menjadikan Padang Pahlawan dibanjiri lautan manusia yang ingin menyaksikan peristiwa terpenting yang kini menjadi catatan penting dalam lipatan sejarah kemerdekaan negara.

Pelbagai reaksi dapat dilihat ketika itu, ada yang menangis dan bersorak kegembiraan sambil melaungkan merdeka. Kini Padang Pahlawan yang terletak di Bandar Hilir, dianggap sebagai monumen penting dalam sejarah kebangkitan bangsa yang merdeka kerana di sinilah perisytiharan kemerdekaan negara diumumkan.

``Ribuan manusia dari seluruh negara berhimpun di Padang Pahlawan menunggu ketibaan Tunku Abdul Rahman dengan penuh semangat umpama kata pepatah `yang patah datang bertongkat, yang buta datang berpimpin,'' kata budayawan negara yang juga veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, 77, kepada Utusan Malaysia.

Suasana pada masa itu, jelas beliau, sukar digambarkan dengan perkataan, terutama apabila Tunku mengumumkan tarikh kemerdekaan negara.

Ada yang menitiskan air mata kerana terlalu gembira, kerana kemerdekaan bermakna kita tidak lagi menjadi bangsa yang dijajah.

Aziz memberitahu, kemerdekaan negara tidak diperoleh dengan mudah walaupun ia tidak melalui pertumpahan darah, justeru ulang tahun kemerdekaan bukan sekadar mesti disambut setiap tahun oleh semua pihak.

Sebaliknya generasi hari ini juga perlu dididik supaya menghayati semangat kemerdekaan agar mereka menghargai nikmat yang diperoleh sekarang adalah hasil perjuangan dan susah payah generasi terdahulu yang `melawan' Inggeris dengan cara mereka sendiri - tanpa menghunus senjata.

Menurutnya, sesetengah negara memperoleh kemerdekaan menerusi peperangan tetapi negara bernasib baik kerana kemerdekaan diperoleh tanpa pertumpahan darah sebaliknya menerusi kebijaksanaan pemimpin kita yang berjaya meyakinkan Inggeris.

``Ramai yang bertanya macam mana Tunku Abdul Rahman meyakinkan Inggeris supaya memberi kemerdekaan kepada kita, ini sesuatu yang perlu dikaji secara mendalam. Yang saya tahu Tunku memang bijak, sebelum menemui Inggeris beliau dapatkan pandangan pelbagai pihak dan membawa kaum-kaum lain menyertai perjumpaan yang diadakan di London itu.

``Ini kerana Almarhum mahu pihak Inggeris melihat bahawa semua kaum di negara ini bersatu dan mahukan kemerdekaan,'' katanya sambil mengakui kepayahan yang dialami oleh Tunku dan rombongannya sebelum ke London adalah sesuatu yang perlu dihayati dan dihargai oleh generasi sekarang.

Menurut Aziz, generasi sekarang ada yang menghargai kemerdekaan tetapi masih ramai yang tidak tahu menjaga dan memelihara nikmat yang diperoleh apabila dengan mudah terpengaruh dengan nilai-nilai negatif.

``Dulu mana ada orang buang anak dalam plastik, tidak amanah dan rasuah, semua ini nilai-nilai yang tidak baik. Jika amalan seperti ini tidak ditangani negara pun boleh jual,'' katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, adalah penting anak-anak sekarang bermula di peringkat sekolah rendah lagi hingga ke peringkat pengajian tinggi dididik supaya menghayati sejarah kemerdekaan negara.

Mereka perlu mengetahui betapa peritnya perjuangan generasi terdahulu dalam mempertahankan kemerdekaan negara, dalam serba kekurangan terutama dari segi kewangan.

Selain itu mereka juga perlu merenung kembali bagaimana pemimpin terdahulu mengangkat kedudukan orang Melayu menerusi UMNO. Yang mana perjuangan mereka adalah berlandaskan kesedaran untuk membela nasib orang Melayu bukannya kepentingan peribadi atau mengharapkan sesuatu habuan. ``Saya masih ingat sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO, kami sewa bilik hotel di ibu negara, RM4 satu malam, kami kongsi lapan orang iaitu seorang 50 sen, tak termasuk belanja makan dan minum. Berbeza dengan sekarang semuanya disediakan, hotel bagus dan mewah.

``Tak apalah sebab sekarang kita sudah maju, tetapi pada masa yang sama jangan lupa perjuangan pemimpin terdahulu.

Kita perlu mengisi kemerdekaan yang diperoleh dengan perkara yang berfaedah dan boleh dibanggakan, jangan jadi orang yang menyusahkan negara,'' katanya yang pernah menjadi Bendahari UMNO Melaka selama 18 tahun.

Pengalaman beliau itu turut dipersetujui oleh seorang lagi veteran UMNO, Datuk Wira Borhan Md. Yaman, 76, yang melahirkan rasa syukur berikutan kejayaan negara mengisi kemerdekaan dengan membina kemajuan untuk faedah rakyat.

Begitupun yang menjadi kebimbangan beliau ialah jika generasi sekarang alpa dengan nikmat kemerdekaan yang diperoleh kerana mudah terpengaruh dengan budaya luar.

``Kewajipan generasi sekarang ialah memelihara kemerdekaan dengan membina kemajuan dan mewujudkan lebih ramai Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang,'' katanya yang mula menyertai UMNO dalam tahun 1951, ketika berusia 22 tahun sebelum diberi kepercayaan memegang jawatan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO negeri pada tahun 1954.

Mengimbas semula detik tarikh kemerdekaan diisytiharkan, beliau berkata, laungan kemerdekaan di Padang Pahlawan dan kesediaan rakyat melucutkan barang kemas di badan serta menyerahkan wang ringgit mereka bagi menampung perbelanjaan Tunku Abdul Rahman ke London dalam misi mendapatkan kemerdekaan negara masih segar dalam ingatannya.

Kata, peristiwa kaum ibu melucutkan barang kemas yang mereka pakai dan ramai lagi yang meletakkan wang di atas hamparan bendera UMNO di Dewan Meng Seng di bandar Melaka pada tahun 1954 begitu menyayatkan hati beliau.

Semua itu jelas beliau, dilakukan dengan rela hati kerana rakyat mahukan kemerdekaan dan memberi sepenuh kepercayaan kepada Tunku Abdul Rahman untuk menyampaikan mesej tersebut kepada Inggeris di London.

Usaha mengumpulkan dana bagi membantu misi kemerdekaan menurutnya, dilakukan melalui `Derma Merdeka' yang dilakukan di seluruh pelosok negeri yang mana beliau bersama rakan-rakan menjalankan kutipan derma dan menjual barang-barang apabila berlangsungnya majlis keramaian termasuk pertunjukan bangsawan.

Derma Merdeka jelas beliau, mendapat sokongan rakyat apabila orang kampung dan yang miskin sanggup menderma dengan memberi padi, buah-buahan, pakaian malah penoreh getah yang memberi sekeping daripada empat keping getah mereka pada setiap hari untuk dijual bagi mengisi tabung itu.

``Semangat mahukan kemerdekaan pada masa itu begitu terasa sekali bagaimanapun perjalanannya amat sukar kerana mereka hidup dalam serba kekurangan selain menerima tekanan daripada penjajah,'' ujarnya.

Beliau berkata, sebagai generasi selepas merdeka, orang Melayu mesti menjadi bangsa yang berprinsip dan jangan sesekali membenarkan jiwa serta minda mereka dijajah walau dalam apa bentuk sekalipun. Kerana kemerdekaan yang diperoleh tidak memberi apa-apa makna jika orang Melayu membenarkan pihak luar mempengaruhi pemikiran mereka.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4ivj5xqa1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Friday, 2 June 2017

Malaysia teruskan kemaraan



ARKIB : 19/08/2005

Daripada NORZIE MOHD. KASBI


PEMAIN Malaysia, Lin Wun Fui (belakang) mengembalikan bulu tangkis kepada pasangan Thailand, Sudket Prapakamol dan Patapol Ngernsrisuk sambil diperhatikan oleh Mohd. Fairuzizuan Tazari pada Kejohanan Badminton Dunia di Anaheim, semalam. Beregu negara menang 15-9, 15-2. - AP.


ANAHEIM, California - Pasukan badminton Malaysia mencatat keputusan cemerlang pada hari ketiga Kejohanan Dunia semalam apabila kesemua tiga pemain perseorangan dan empat beregu lelakinya berjaya melayakkan diri ke pusingan ketiga.

Pasangan Ong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul beregu wanita kedua negara dalam sejarah mara ke suku akhir di kejohanan yang berlangsung dalam arena tertutup Arrowhead Pond, semalam.

Juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim tidak perlu turun ke gelanggang untuk menyertai Lee Chong Wei dan naib juara dunia, Wong Chong Hann beraksi di pusingan ketiga selepas pencabar mereka menarik diri akibat kecederaan.

Beregu senior, Choong Tan Fook-Chew Choon Eng pula mempamerkan permainan mantap ketika menumpaskan pasangan China, Sang Yang-Zheng Bo 15-8, 15-9 untuk mengetuai kemaraan tiga lagi beregu muda, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui.

Pei Tty-Eei Hui pula menepati sasaran awalnya untuk layak ke suku akhir beregu wanita dengan menyingkirkan pilihan kelapan, Tracey Hallam-Natalie Munt dari England 15-9, 15-4, manakala pasangan Kien Keat-Pei Tty menyerlah dalam saingan beregu campuran apabila menewaskan Hiroshi Shimizu-Miyuki Tai dari Jepun 15-3, 15-6 untuk bertemu pilihan kedua, Zhang Jun-Gao Lin dari China.

Hafiz tidak perlu bertemu jaguh Singapura, Ronald Susilo yang cedera buku lali di hari pertama.

Sementara itu, pemain nombor satu negara dan pilihan kelima, Lee Chong Wei menepati ramalan awal apabila menang mudah 15-1, 15-4 ke atas pemain Wales, Martyn Lewis untuk bertemu pilihan ke-16, Bjoern Joppien dari Jerman.

Choong Hann, 28, pula seperti dijangka menempah pertemuan sukar dengan pemain nombor empat dunia, Bao Chunlai dari China selepas menyingkirkan pemain Taiwan, Sheng-Shiun Lio 15-4, 15-0.

Dalam saingan beregu lelaki pula, kemenangan straight set yang dicatat ke atas pasangan China, Sang Yang-Zheng Bo bakal menemukan Tan Fook-Choon Eng dengan beregu tuan rumah, Tony Gunawan-Howard Bach.

Chong Ming-Kien Keat, pilihan kesembilan kejohanan akan berdepan juara Seluruh England dan pilihan keempat, Fu Haifeng-Cai Yun dari China selepas mudah menumpaskan Geoffrey Bellingham-Craig Cooper dari New Zealand 15-5, 15-10. (KEPUTUSAN PENUH DI MUKA 31) - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4irgDUcXQ
© Utusan Melayu (M) Bhd