BANDAR RAYA Mekah al-Mukarammah kini bukan lagi seperti yang pernah saya kunjungi hampir 20 tahun lalu. Pada masa itu saya berkunjung untuk berumrah setelah selesai melanjutkan pelajaran di sebuah negara.
Pada masa itu tiada apa yang menarik mengenai Mekah, selain Masjidil Haram dan Tanah Haram ini. Bangunan-bangunannya biasa-biasa sahaja.
Pada masa itu suasananya tenang.
Gerai-gerai memenuhi sekeliling masjid haram itu. Hari ini, di saat ini saya kembali menziarahi ke kota raya ini. Kali ini untuk menunaikan Rukun Islam Kelima, iaitu ibadah haji.
Tetapi kunjungan ini cukup bermakna. Bermakna kerana bandar raya ini telah dan sedang mengalami transformasi dari segi fizikal.
Jika sekitar dua dekad dulu, pembangunannya tiada apa-apa, kini di hadapan mata saya, saya dapat menyaksikan Menara Zam-Zam yang menempatkan menara jam besar. Dari kejauhan semasa memasuki bandar ini dengan bas dari Madinah - ia menjadi mercu tanda mengagumkan.
Semasa memasuki kota ini sekitar jam 1 pagi Sabtu lalu, saya melihat pancaran cahaya menyuluh jam itu di puncak menara. Kalimah shahadah, bersilih ganti dengan ayat-ayat lain, menggamit mata jemaah. Sayu sungguh hati ini, kerana saya tahu di bawahnya terletak Masjidil Haram - kiblat dan arah solat bagi lebih 1.4 bilion umat Islam seluruh pelosok cerok dunia.
Terlintas juga riak di hati, menara jam itu direka oleh arkitek Melayu anak Malaysia.
Selain bangunan di sekelilingnya, yang gagah, saya amat bertuah dapat menyaksikan proses transformasi Masjidil Haram yang kini giat dilakukan.
Memang benar, walaupun ia sedikit merimaskan jemaah haji yang hendak berumrah haji, namun ternyata perancangan pergerakan mobilisasi jemaah berjalan lancar.
Kami berumrah di tengah-tengah pergerakan kren, para jurutera sedang serius berbincang, debu pembinaan berterbangan dan melekat di lantai, bunyi jentera-jentera berat, para pekerja binaan yang terdiri daripada muka-muka Indonesia (seperti buruh kontrak di Malaysia) dan daripada pelbagai nasionaliti negara Islam lain. Kerana ini tanah haram, maka tiada penganut agama lain dibenarkan berada atau bekerja di sini.
Mungkin kerana kerancakan pembinaan itu, warga-warga berusia dan berpenyakit disaran menangguhkan dulu pemergian mereka ke sini.
Saya tidak pasti apakah rakyat Malaysia, budak-budak vokasional, GiatMara atau institut latihan kemahiran lain turut menjadi buruh atau pekerja binaan di sini?
Jika tiada, maka amat malang sekali. Ia adalah peluang sekali dalam seumur hidup. Malah saya berfikir, alangkah bertuahnya buruh-buruh Indonesia, yang saya lihat bekerja sebagai tukang mob lantai, vakum karpet dalam Masjidil al-Nabawi, juga di Masjidil Haram ini.
Jika ditakdirkan itulah pusingan hidup saya, saya juga mahu bertugas di dalam Masjid al-Nabawi atau Masjidil Haram sebagai tukang cuci, atau juga sebagai pegawai seranta untuk jemaah dari rantau Asia Tenggara.
Saya berkata kepada salah seorang daripada mereka; tahukah kamu dalam 250 juta rakyat Indonesia, kamu paling bertuah dapat bekerja dalam masjid paling suci ini, walaupun sebagai tukang cuci sekali pun". Dia angguk dan tersenyum - bersetuju dengan pendapat saya.
Namun malang sekali lagi, bukan semua anak-anak Melayu kita yang ada kerja dan senang di tanah air. Tapi mengapa tidak mengambil peluang ini?
Apakah hina bekerja mob lantai di Masjidil al-Nabawi atau di Masjidil Haram? Apakah hina menjadi buruh kontrak binaan di Masjidil Haram ini?
Anak-anak Melayu kita mulai sekarang sudah kena keluar merantau. Pergilah bekerja di luar negara - walaupun sebagai buruh sekali pun.
Saya dapat melihat buruh-buruh Indonesia sudah boleh bercakap Arab, sama seperti peniaga di sini yang boleh bercakap Melayu, atau pekerja Nepal atau Pakistan atau Myanmar dan Vietnam yang boleh bertutur dalam bahasa Malaysia semasa bekerja di tanah air.
Ayuh, anak-anak muda Melayu keluarlah dari kepompong kekampungan. Keluar, kumpul duit banyak-banyak dan pulang.
Memang ada berbelas jurutera kita bekerja dalam projek pembesaran Masjidil Haram ini, tetapi yang saya maksudkan ialah pekerja buruh kontrak, yang membancuh simen atau sebagai aprentis penggilap marmar atau penyusun jubin dengan tukang-tukang mahir Arab, Turki, Uzbek atau dari Asia Tengah?
Sesungguhnya bandar Haram ini kini sedang padat. Walaupun kuota haji seluruh dunia dikurangkan 20 peratus, tiada ruang walau seinci untuk yang datang lewat ke masjid.
Difahamkan ada 100,000 lagi jemaah haji dari Indonesia belum tiba di sini. Bayangkan jika gerombolan itu tiba nanti. Jumlah keseluruhan jemaah dari Indonesia ialah kira-kira 170,000.
Sebahagian masjid itu kini mengalami perubahan yang dijangka memberi keselesaan maksimum kepada jemaah serta mampu meningkatkan kapasiti kuota jemaah setiap puncak umrah Ramadan mahu pun musim haji.
Sepanjang berada di Madinah selama lapan hari (atau 40 waktu solat berjemaah di Masjid Nabi) dan di Mekah baru empat hari - dalam proses ibadah keseluruhan 47 hari ini - saya melihat orang Indonesia cukup enterprising dari segi keusahawanan.
Di Madinah, kita melihat beberapa buah kedai makan Indonesia menyediakan pelbagai jenis juadah - yang turut membuka selera jemaah kita.
Begitu juga di Mekah ini, selepas solat Subuh kelmarin, saya mengikut sekelompok warga Indonesia memasuki ke Menara Zam-Zam, bangunan setaraf KLCC dan akhirnya tiba di restoran milik rakyat mereka.
Namun, saya tercari-cari kedai makan milik rakyat Malaysia - tiada. Saya kemudian teringin hendak makan di restoran yang dikatakan terkenal milik sebuah perbadanan ladang besar Malaysia - DSaji. Sesat beberapa kali kerana tidak tahu arah.
Akhirnya setelah bertanya dengan orang, tiba saya di restoran itu terletak di Menara Safwah, di sebelah Menara Zam-Zam.
Saya hairan, sepanjang saya tinggal di Madinah atau di hotel penginapan di Mekah, tiada promosi yang saya terima mengenai tempat-tempat makanan rakyat Malaysia, termasuk milik Felda itu.
Bukan semua orang tahu wujudnya restoran seumpama itu. Walaupun harga nasi lemak lauk daging goreng dan nasi goreng campur mee goreng berharga kira-kira 41 riyal (kira-kira RM40), promosi perlu dihebahkan.
Saya juga hairan mengapa tiada rakyat Malaysia yang terbabit dalam perniagaan makanan di Madinah atau Mekah. Ditakdirkan Tanah Haram ini boleh dimasuki oleh bukan Islam, saya pasti Cina Malaysia akan awal-awal lagi mengambil peluang berniaga di sini.
Saya juga hairan mengapa tiada pelajar-pelajar Malaysia atau keluarga-keluarga mereka mengambil peluang menambah pendapatan di musim haji ini menyediakan nasi bungkus atau mendobi pakaian?
Berbalik di kota Mekah ini, sebagai jemaah haji Muasasah Tabung Haji, saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Semuanya sempurna setakat ini. Pelbagai perkhidmatan kesihatan, kaunseling, kewangan serta aktiviti ziarah disediakan.
Hotel yang disediakan amat berdekatan dengan Masjidil Haram. Jika di Madinah, Hotel Al-Haram hanya 60 meter dari Masjid Nabi, di sini, hotel yang saya huni ini, sekitar 250 meter sahaja.
Tidaklah jauh, jika dibandingkan dengan kos bayaran yang disediakan oleh para jemaah kepada Tabung Haji.
Kita tidak bolehlah bandingkan dengan hotel bertaraf lima dan enam bintang di menara-menara yang disebut tadi, yang hanya berada di kaki Masjidil Haram. Ramai juga rakyat Malaysia yang tinggal di situ.
Hotel dan maktab yang disediakan oleh Tabung Haji sudah cukup memadai, walaupun ada yang lapan orang sebilik.
Tahun ini, Tabung Haji menyambut jubli emasnya ke-50. Makan malam semalam semua jemaah muasasah mendapat pek makanan istimewa - nasi beriyani ayam serta bersarapan nasi lemak.
Semoga institusi yang diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan kemudian dibentuk oleh Prof. Diraja Ungku Aziz akan terus maju dan hebat.
Kita jumpa lagi minggu depan sempena ketibaan hari Wuquf - hari besar bagi jemaah haji untuk menyempurnakan ibadah itu.
Sebelum ketibaan saat itu, semua jemaah kini sibuk mempersiapkan diri beribadah, bertawaf, berselawat dan berdoa, serta menjaga kesihatan supaya segala urusan mereka berjalan lancar dan mendapat haji mabrur insya-Allah.
rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131002/re_06/Transformasi-Masjidil-Haram-Di-mana-anak-anak-Melayu-kita#ixzz2gZUIDkuS
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment