Ad

Wednesday, 2 October 2013

Kekejaman komunis tidak mengira siapa


SebuaH bas dibakar oleh pengganas komunis dalam satu serangan hendap semasa darurat. - Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Selepas Rejimen Ke-10 yang dianggotai oleh orang Melayu ditubuhkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) pada 21 Mei 1949, sayap bersenjata PKM itu terus diberi tugas pertama untuk melancarkan serangan hendap ke atas pasukan keselamatan Tanah Melayu.
Rejimen Ke-10 PKM ditubuhkan pada satu pertemuan sulit di dalam hutan Kerdau, Pahang yang dihadiri Chin Peng. Turut hadir pada pertemuan sulit itu ialah beberapa pemimpin Melayu termasuk Haji Hashim, Abdullah CD, Musa Ahmad dan Wahi Annuar.
Dalam pertemuan sulit itu, Chin Peng menyatakan bahawa PKM perlu menubuhkan sebuah rejimen Melayu bagi meneruskan pemberontakannya, selain untuk menunjukkan bahawa PKM adalah sebuah parti berbilang kaum.
Chin Peng juga menyatakan bahawa rejimen itu tidak mempunyai kelengkapan senjata mencukupi dan mereka perlu mendapatkan senjata sendiri.
Maka serangan hendap itu dilancarkan bertujuan mendapatkan bekalan senjata bagi keperluan Rejimen Ke-10.
Pada 5 Ogos 1949, PKM menerusi lima platun Rejimen Ke-10 melancarkan serangan hendap itu ke atas konvoi polis di Batu 13, Jalan Chenor, Pahang.
Dalam buku Memoir Abdullah CD Bahagian Kedua, beliau pernah menceritakan tentang kejadian itu:
''Rupa bumi di situ agak baik terletak di suatu selekoh. Kereta-kereta terpaksa mengurangkan kelajuan apabila sampai di sini. Saya mengatur barisan hendapan lebih kurang sebagai berikut: Platun 1 dipimpin Mat Jelita menghendap di barisan hadapan, dilengkapi dengan selaras breengun. Platun 2 diketuai Johan menghendap di suatu jurusan sebagai penembak utama, juga dilengkapi dengan selarasbreengun. Platun 4 diketuai Hasan menghendap di tengah yang merupakan sudut lereng.
Naib Ketua Platun Rosli memimpin satu regu menghendap di jalan menghala Temerloh untuk menghadang bantuan dan satu seksyen lagi menghendap di jalan menghala Paya Pasir, juga untuk menghadang bantuan. Saya memilih kedudukan bersama dengan Platun 1, berhampiran dengan penembak breengun.
SERANG HENDAP
Kami tidak mengetahui secara tepat pasukan keselamatan akan melalui jalan itu. Tapi melalui penyiasatan kami, pasukan keselamatan sentiasa melalui jalan tersebut. Lebih-lebih lagi penjajah British sedang membina sebuah balai polis baru di Kampung Paya Pasir untuk memperhebat kawalan.
Tidak lama selepas PKM mengatur barisan serangan hendap, tiga buah trak askar dan polis berkekuatan kira-kira 1 platun yang dipimpin pegawai British melalui jalan tersebut. Sebaik-baik sahaja tiga kenderaan itu muncul, tembakan serentak segera dimuntahkan.
Kedua-dua kereta tersebut terhenti, salah sebuah terbabas ke dalam parit di tebing yang tinggi di hadapan Platun 4. Sejumlah askar dan polis luka atau mati dalam rangkaian tembakan pertama itu. Mana yang masih hidup melompat turun dari kereta melepaskan tembakan balas.
Pertempuran sengit berlaku. Saya mengeluarkan seruan supaya pasukan keselamatan menyerah diri. Selepas seruan saya itu, saya nampak seorang polis mengambil beg pegawainya (mungkin berisikan wang atau dokumen penting) dan cabut lari dengan sekuat-kuatnya. Beberapa laras senapang ditembak ke arahnya, tapi tak kena.
Walaupun ramai anggota keselamatan sudah bergelimpangan atau menyerah diri, tapi pertempuran tak dapat ditamatkan. Seorang polis berpangkat sarjan yang berlindung di sebalik kereta yang tersenget ke dalam parit melakukan perlawanan. Di belakangnya tebing yang tinggi. Kedudukannya amat menyusahkan kami menembaknya. Saya arahkan kawan-kawan buang bom tangan. Beberapa biji bom tangan dilemparkan, tetapi tidak dapat membunuhnya. Sehingga sejam lebih bertempur dan kawan-kawan menyerbu ke jalan raya barulah dia mengangkat tangan menyerah diri. Demikianlah pertempuran ditamatkan. Ketika kami merampas senjata sarjan tersebut didapati pistolnya sudah kehabisan peluru.
Beberapa kawan yang tak sabar memakinya dengan mengatakan "kamu mahu mati bersama orang putih".
Dalam pertempuran itu 11 orang anggota keselamatan ditembak mati termasuk pegawai British dan menawan 17 orang. Di antara 17 orang yang ditawan itu 14 orang di antaranya tercedera. Kami berjaya merampas 22 laras senapang, antaranya sepucuk breengun, 4 pucuk steengun, 2 pucuk pistol dan 5,000 biji berbagai jenis peluru serta sejumlah dokumen. Kereta pasukan keselamatan itu telah kami bakar. Breengun yang dirampas dalam pertempuran itu masih tersimpan di muzium kami sebagai kenangan sejarah. Ketika dirampas breengun itu diisi dalam kotak, menandakan senjata itu belum dipakai lagi.
Selain serangan hendap ke atas pasukan keselamatan, PKM turut terlibat dalam pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Gurney pada 6 Oktober 1951.
Pada hari itu, Sir Henry Gurney bersama Lady Gurney dan Setiausaha Sulit beliau, D.J Staples bertolak dari Kuala Lumpur ke Bukit Fraser pada pukul 10.45 pagi. Mereka menaiki sebuah Rolls Royce, kenderaan rasmi beliau, diiringi pasukan polis yang menaiki sebuah Range Rover.
Setibanya di selekoh di sebatang jalan antara Kuala Kubu Bharu-Pahang yang dikenali sebagai The Gap, kira-kira pukul 1 petang, mereka telah diserang hendap.
KEJAM
Sebaik-baik sahaja mereka dihujani peluru, Sir Henry Gurney bertindak keluar dari kereta, cuba mencari arah tembakan dilepaskan, beberapa saat kemudian beliau sendiri menjadi mangsa peluru yang dilepaskan oleh pengganas komunis yang bersembunyi di sebalik rimbunan hutan hijau di sekitar kawasan tersebut.
Menurut keterangan polis bantuan yang tiba di tempat kejadian, selepas keadaan tenang, pemandu Sir Henry Gurney ditemui meniarap di sisi kereta Rolls Royce dengan kecederaan di kepala dan kaki, sementara Sir Henry Gurney yang keluar dari kereta ditemui tertiarap tidak bernyawa di dalam longkang berhampiran kereta beliau.
Lady Gurney dan D.J Staples ditemui selamat dalam kereta berkenaan tanpa sebarang kecederaan, sementara tujuh orang konstabel polis dari pasukan pengiring ditemui cedera.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Hasil bedah siasat mendapati Sir Henry Gurney menemui ajal akibat kecederaan parah di kepala, sebutir peluru telah dikeluarkan dari jasad Pesuruhjaya Tinggi British itu.
Perancang Pembunuhan Henry Gurney, dikenali sebagai Siu Mah akhirnya dibunuh selepas lapan tahun diburu pihak berkuasa.
Siu Mah yang dilantik sebagai komander PKM bersama pasukannya telah bergerak dari Johor ke Pahang dengan misi menimbulkan kekacauan di negeri tersebut. Antara keganasan yang dilakukan adalah serangan ke atas kenderaan yang membawa Pegawai Daerah Bentong, A. D. Stutchbury.
Dalam kejadian tersebut, isteri pegawai daerah berkenaan bersama seorang penterjemah telah ditawan, sementara Stutchbury bersama seorang lagi pembantu dapat meloloskan diri.
Isteri Stutcbury dan penterjemah itu kemudiannya dilaporkan telah dibunuh atas arahan Siu Mah.
Kekejaman PKM bukan setakat membunuh pegawai pegawai kerajaan Tanah Melayu dan orang awam, tetapi turut melibatkan anggota PKM sendiri.
Selama ini dilaporkan seorang pemimpin wanita PKM, Shamsiah Fakeh dikatakan pernah membunuh anak kecilnya sendiri di dalam hutan bagi mengelak ditahan dan melambatkan pergerakan anggota Rejimen Ke-10 yang diburu pasukan keselamatan.
Tetapi cerita yang sebenarnya adalah bayinya yang ketika itu baru dilahirkan dibunuh oleh anggota PKM sendiri tanpa pengetahuan Shamsiah kerana bimbang tangisan bayi itu akan menyebabkan kehadiran komunis di kawasan itu diketahui oleh pasukan keselamatan.
Bekas Pengerusi PKM, Musa Ahmad semasa wawancara di RTM pada 1981 menyatakan bahawa Shamsiah telah mencampakkan sendiri anaknya ke sungai. Dan dalam Utusan Malaysia pada 1987, seorang yang mengaku sebagai bekas teman sekolahnya menyatakan bahawa Shamsiah telah menghempaskan anaknya ke batu setelah mengetahui suaminya menyerah diri kepada polis. Shamsiah menafikan kedua-dua cerita tersebut.

rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131002/re_09/Kekejaman-komunis-tidak-mengira-siapa#ixzz2gZVcBPMB 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment