Ad

Saturday, 17 May 2014

Lantik Kim Swee, Dollah jurulatih bersama

 Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Kiri Ong Kim Swee, Dollah Salleh
KUALA LUMPUR - Ketika tumpuan banyak diberikan kepada calon-calon jurulatih dari luar negara oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kredibiliti pengendali tempatan seolah-olah dilupakan untuk mengisi kerusi jurulatih Harimau Malaya.

Yang terbaru bekas jurulatih Iraq, Wolfgang Sidka menjadi calon yang akan ditemuduga oleh FAM selepas Gert Engels dan Luis Milla, menjadikan saingan kini semakin sengit seolah-olah memberikan petanda bahawa peluang buat jurulatih tempatan kelihatan sudah tertutup.

Sedangkan jika dinilai kembali daripada prestasi semasa, dua jurulatih tempatan iaitu jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee dan pengendali PDRM, Dollah Salleh disifatkan mempunyai ramuan untuk membimbing Harimau Malaya di pentas antarabangsa, malah tidak keterlaluan jika melantik mereka berdua selaku pengendali bersama.

Mereka berdua mempunyai rekod yang cukup cemerlang di peringkat tempatan dan antarabangsa, formula ini pernah diterapkan oleh Sweden pada sekitar tahun 2000 hingga 2004.

Menyentuh idea itu, Kim Swee yang dihubungi berkata, dia tidak menolak saranan itu dan bersedia terhadap apa jua arahan yang akan diberikan oleh FAM.

“Kalau diikutkan saya memang rapat dengan Dollah dan boleh bekerjasama jika itu yang dimahukan oleh semua pihak, malah saya cukup senang bekerjasama dengannya.

“Kerjasama adalah kunci terpenting dalam kejayaan mana-mana pasukan dan Dollah adalah jurulatih yang cukup rapat dengan saya, saya tidak nafikan idea berkenaan memang baik namun segalanya tertakluk kepada FAM," katanya.

Bagi Dollah, dia menganggap Kim Swee seperti adik-beradik dan hubungan mereka begitu mesra, jadi bukan satu masalah besar buat dirinya jika mereka berdua diberikan peranan selaku jurulatih bersama.

“Dua kepala mungkin lebih baik dari satu kepala dan saya tidak nafikan itu idea yang begitu baik, malah satu penghormatan besar dapat bergandingan dengan Kim Swee.

“Persefahaman kami begitu unik dan telah terbukti semasa saya dan Kim Swee mengambil lesen kejurulatihan kelas A di Thailand, segala karakter dia saya tahu sama ada di dalam atau di luar padang," katanya.

Sweden pernah menggunakan pendekatan tersebut pada tahun 2000-2004 dengan melantik Tommy Soderberg dan Lars Lagerback sebagai jurulatih bersama, yang menyaksikan skuad kebangsaan mereka layak ke Piala Dunia 2000 dan 2004 selain kejohanan Euro 2002.
RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140516/su_02/Lantik-Kim-Swee-Dollah-jurulatih-bersama#ixzz321SgHHL8

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment