MELAKA 7 Mei - Pulau Nangka,
Pulau Besar dan Bukit St. Paul di Bandar Hilir dipercayai dijadikan tempat
menyimpan harta zaman Kesultanan Melayu Melaka yang berkembang maju.
Pengerusi Institut Kajian
Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Prof Datuk Dr. Mohd. Jamil Mukmin berkata,
kesultanan itu dipercayai banyak menyimpan harta bagi mengelak daripada
dirampas sekiranya Melaka jatuh ke tangan musuh.
Beliau yang juga bekas Pengurus
Besar Perbadanan Muzium Melaka berkata, harta yang disimpan itu dipercayai emas
berbentuk syiling, barang perhiasan seperti dulang serta patung yang
dihadiahkan negara asing.
``Sama seperti sekarang, adalah
penting bagi sesebuah kerajaan menyimpan emas sebagai rizab atas faktor
ekonomi. Emas juga disimpan bagi tujuan membina semula kerajaan sekiranya ia
jatuh diserang musuh seperti yang berlaku pada zaman Sultan Mahmud Shah.
``Ketika baginda berundur
selepas diserang Portugis, baginda membawa bersama khazanah seperti emas bagi
tujuan mendirikan semula kerajaan baginda di tempat lain,'' katanya dalam
sidang akhbar di sini hari ini.
Namun Mohd. Jamil berkata, pada
masa kini tiada bukti jelas menunjukkan terdapat harta di Pulau Besar dan Bukit
St. Paul kecuali penemuan artifak porselin di Bandar Hilir berdekatan Bukit St.
Paul.
Mengenai laporan penemuan harta
di Pulau Nangka, beliau berkata, ia kemungkinan ada berdasarkan faktor sejarah
perdagangan, tetapi usaha mencarinya sukar kerana banyak faktor antaranya
disebabkan geografi pulau itu.
``Saya cadangkan lebih ramai
pakar dibawa masuk dalam usaha tersebut,'' katanya.
Beliau berkata tidak mustahil
dua keping artifak berbentuk syiling yang ditemui di pulau itu berasal daripada
zaman Kesultanan Melayu Melaka.
``Ada yang kata syiling itu
bukan syiling daripada kerajaan Melaka, ia daripada kerajaan Majapahit atau
Siam. Tetapi tidak mustahil syiling daripada kerajaan lain jadi simpanan
kerajaan Melaka kerana perdagangan kerajaan Melaka ketika itu amat luas hingga
ke China dan Eropah,'' katanya. - BERNAMA
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140507/dn_30/Pulau-Nangka-Pulau-Besar-dan-Bukit-St-Paul-dipercayai-tempat-simpanan-harta#ixzz311385JKr
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment