Ad

Monday, 19 May 2014

Sathia: Perjuangan kami masih belum selesai

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my
 
NOEL (kanan) menjaringkan kedua-dua gol ATM pada aksi menentang T-Team di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

"PEPERANGAN kami masih belum berakhir."
Demikian laungan ketua jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan terhadap tiga mata penting yang diraih hasil kemenangan 2-1 ke atas T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Kemenangan berharga itu menyaksikan The Gladiators berjaya keluar daripada zon penyingkiran liga dengan kelebihan satu mata di hadapan Selangor PKNS dan dua mata ke atas pasukan tercorot, Perak.

Sathianatan jelas gembira dengan kemenangan tersebut, namun menegaskan perjalanan mereka untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan masih lagi jauh.

"Memang kami menang semalam (kelmarin) tetapi ia masih lagi belum selamat daripada zon penyingkiran.

"Saya gembira kerana kami berjaya mendapat tiga mata yang diidamkan bagi melonjakkan kami ke tangga ke-10 liga.

"Kemenangan ini memberikan keyakinan kepada kami untuk meneruskan momentum cemerlang, tetapi saya tetap berpendapat perjuangan kami untuk kekal dalam Liga Super musim depan belum berakhir," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pengendali berusia 56 tahun itu turut memuji kesungguhan yang dipamerkan barisan pemainnya biarpun mengakui The Gladiators tidak bermain pada tahap terbaik.

Bagaimanapun, Sathianathan menyedari masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki sekiranya mahu melihat ATM kembali memperagakan persembahan cemerlang seperti yang pernah mereka buktikan dua musim lalu.

"Saya memuji semangat para pemain kerana ini bukan kesebelasan terbaik yang diturunkan. Cuma satu sahaja saya kurang berpuas hati iaitu cara permainan kami semalam (kelmarin).

"Selepas mendahului 2-1, kami asyik kehilangan bola kepada pihak lawan dengan begitu mudah. Jadi, ia perlu diperbetulkan sebelum menghadapi Lions XII (aksi Liga Super) pada Sabtu depan.

"Saya anggap perlawanan dengan Lions XII nanti adalah aksi 'hidup mati' kerana jika kami tidak dapat pungut mata di sana (Stadium Jalan Besar, Singapura), kami perlu menang kesemua baki perlawanan liga," jelasnya.

Pada aksi kelmarin, tonggak import ATM, Fabrice Noel muncul wira pasukan apabila meledak dua gol pada minit ke-21 dan 34 selepas T-Team terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol daripada Patrich Wanggai seawal minit ke-13.

rujukanArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo online 19.5.14

No comments:

Post a Comment