Ad

Monday 29 December 2014

2014 sarat aksi, penuh kontroversi



MOHD FAHMI ISMAIL, SUBKHI SUDARJI, NURUL RIDUAN NOR ASHAHA & NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
30 Disember 2014
2014 sarat aksi, penuh kontroversi
    2014 sarat aksi, penuh kontroversi 
TAHUN 2014 membawa 1,001 kenangan suka duka kepada dunia sukan tanah air.  Antara kejayaan yang pasti dikenang adalah aksi Datuk Nicol David menjuarai  dan mengungguli persada skuasy dunia buat sekalian kalinya menerusi Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Mesir dan membantu negara muncul naib johan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia di Kanada.

Namun, di sebalik kejayaan tercetus kontroversi apabila jaguh badminton perseorangan, Datuk Lee Chong Wei digantung sementara setelah keputusan sampel B ujian dopingnya disahkan positif mengandungi dadah terlarang jenis dexamethasone.

Akibatnya, Chong Wei tidak dibenarkan bermain sehingga keputusan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) diputuskan dan kesannya cukup besar apabila takhta nombor satu dipegangnya sejak dua tahun lalu di pintas pemain China, Chen Long.

Sementara itu, kegagalan anak buah Dollah Salleh merampas Piala AFF Suzuki juga mengecewakan seluruh rakyat Malaysia apabila tewas agregat 3-4 di tangan Thailand.

Emas Cheau Xuen ditarik balik

PINGAT emas pertama negara pada kejohanan Sukan Asia ke-17 yang dimenangi atlet wushu, Tai Cheau Xuen ditarik balik selepas didapati gagal dalam ujian dadah.

Keputusan itu dibuat Majlis Olimpik Asia (OCA) selaku penganjur Sukan Asia 2014 di Korea Selatan kerana didapati menggunakan dadah perangsang jenis sibutramine.

Cheau Xuen, 24 yang bersaing dalam acara nanquan dan nandao disahkan positif dalam ujian terhadap sampel yang diambil selepas memenangi emas pada 20 September lalu.

Chong Wei positif dexamethasone

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei digantung sementara setelah keputusan sampel B ujian doping milik pemain nombor dua dunia itu disahkan positif mengandungi dadah terlarang jenis dexamethasone yang biasanya terkandung di dalam ubat tahan sakit dan tidak berfungsi sebagai bahan untuk meningkatkan prestasi seseorang atlet.

Pemain itu yang didapati positif doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu telah menyaksikan sendiri ujian sampel B dilakukan di Makmal Hospital Universiti Oslo, Norway pada 5 November lalu.

Chong Wei hilang takhta

Penggantungan sementara yang dikenakan terhadap Datuk Lee Chong Wei menyebabkan jaguh badminton negara itu menerima padah apabila disahkan hilang takhta nombor satu dunia dalam ranking dunia

Menurut laman web rasmi BWF, Chen Long mendahului ranking tersebut bermula 24 Disember, selepas memenangi gelaran pada pusingan akhir Siri Super BWF 2014 pada 21 Disember lalu.

Selepas enam tahun mengungguli kedudukan teratas, penggantungan sementara yang dikenakan BWF ke atas Chong Wei akibat positif doping menyebabkan pemain itu jatuh ke nombor dua dunia buat kali pertama selepas dua tahun.

Harimau Malaya gigit jari

HAJAT skuad kebangsaan merangkul gelaran Piala AFF Suzuki 2014 musnah apabila tewas di tangan Thailand.

Walaupun menang 3-2 di Kuala Lumpur namun, kelebihan dua gol dimiliki skuad Gajah Perang membolehkan mereka mendakap kejuaraan.

Keputusan 3-2 juga belum cukup mengatasi Thailand yang muncul juara kali keempat dengan kemenangan agregat 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 20 Disember lalu.

Begitu pun, anak didik Dollah Salleh melepasi KPI (Petunjuk Indeks Prestasi) iaitu mara ke final Piala AFF seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malaysia gagal bawa pulang Piala Thomas

HARAPAN skuad badminton negara untuk mengembalikan Piala Thomas ke pangkuan Malaysia tidak kesampaian apabila tumpas 2-3 kepada Jepun.

Kekalahan ini menyaksikan penantian 22 tahun terus berpanjangan dan impian melihat piala itu kembali ke tanah air terpaksa ditunda sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

Hajat tak sampai, kekal tercorot

Malaysia menamatkan saingan Piala Dunia Hoki yang berlangsung di Stadium Kyocera, The Hague, Belanda di tangga tercorot.

Lebih malang, Malaysia juga gagal mengutip sebarang mata apabila tumpas kesemua perlawanan dengan jumlah jaringan besar bermula dengan kekalahan 0-4 kepada Australia, 2-6 Belgium, 0-2 England, 2-3 India dan 2-5 Sepanyol.

Prestasi buruk itu menyaksikan Malaysia ‘berputih mata’ untuk menepati sasaran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) - kelompok 10 terbaik - apabila sekali lagi tewas 2-6 kepada Afrika Selatan pada aksi penentuan tempat ke-11 dan 12. Kali terakhir pasukan hoki kebangsaan menyertai Piala Dunia adalah pada 2002 di Kuala Lumpur dan menerima keputusan lebih baik, tempat ke-8 keseluruhan.

Malaysia gagal di Glasgow

Malaysia gagal mencapai sasaran pingat di Sukan Komanwel di Glasgow, tetapi lebih malang lagi, Malaysia pulang ke tanah air dengan kedudukan di belakang Singapura, pertama kali dalam sejarah sukan berprestij itu.

Sukan Komanwel menyaksikan Malaysia menduduki tangga yang ke-12 dengan hanya meraih enam emas, tujuh perak dan enam gangsa - kurang satu emas daripada sasaran ditetapkan.

Tak capai sasaran

Harapan memperbaiki kelemahan yang ada di Sukan Asia Incheon pada September juga musnah apabila pencapaian kilauan emas berkurangan berbanding edisi 2010 di Guangzhou. Malaysia membawa pulang lima emas, 14 perak, 14 gangsa - berkurangan dari Guangzhou (9 emas, 18 perak dan 14 gangsa). Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga menggesa perubahan di MSN dengan membuka tawaran iklan jawatan Ketua Pengarah - ketika itu disandang Datuk Seri Zolkples Embong.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 30.12.14

No comments:

Post a Comment