Jumaat, 19 Disember 2014 @ 3:13
PM
KUALA LUMPUR: Malaysia boleh
menjadi pasukan amat bahaya di laman sendiri!
Itulah firasat diluahkan
jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang menjelang final kedua Piala AFF Suzuki
di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Dia beranggapan Harimau Malaya
pimpinan Dollah Salleh mampu menunjukkan semangat yang berbeza bermain di hadapan
puluhan ribu penyokong mereka.
Namun, dia turut menyuarakan
betapa Malaysia bukan barisan yang dapat bersaing untuk tempoh 90 minit dalam
perlawanan kompetitif seperti ini.
Hakikat itu mungkin melihat
Kiatisuk akan mengarahkan anak didiknya menekan tuan rumah pada babak kedua
seperti mana dilakukan dalam final pertama di Stadium Rajamangala di Bangkok,
Rabu lalu.
Dia turut memuji Dollah yang
berjaya membentuk barisan hebat kali ini tapi percaya tahun ini milik Thailand.
Bekas pemain kebangsaan Thailand
yang lebih dikenali sebagai 'Zico' itu berkata pasukannya akan mengekalkan
corak permainan menyerang seperti yang dipamerkan pada perlawanan akhir pertama
yang lalu.
"Perlawanan esok sudah
tentu hebat kerana saya difahamkan tiket perlawanan sudah habis terjual. Kami
belum selamat walaupun mempunyai kelebihan dua gol," katanya.
Kiatisuk berkata beliau
membariskan ramai pemain muda pada kejohanan ini sebagai persiapan awal
menghadapi tiga kejohanan utama tahun depan.
Kejohanan berkenaan adalah
Sukan SEA 2015 di Singapura, pusingan kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016 dan
pusingan kelayakan Piala Dunia 2018.
"Sebab itu, saya memberi
mereka (pemain muda) peluang dan saya berpuas hati mereka menampilkan permainan
yang baik," katanya.
Kiatisuk turut bersifat
optimistik betapa pasukan Gajah Perang mampu meraih kejuaraan buat kali keempat
berbekal kelebihan dua gol.
KETUA Jurulatih skuad Harimau
Malaya, Dollah Salleh (kiri) berjabat tangan dengan Ketua Jurulatih Thailand,
Kiatisuk Senamuang pada sidang media perlawanan akhir Malaysia menentang
Thailand di Petaling Jaya hari ini. Final Piala AFF Suzuki 2014 akan
berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil esok. - Foto Osman Adnan
Sumber-Berita Harian online 19.12.14
No comments:
Post a Comment