Ad

Wednesday, 17 December 2014

Nenek, cucu redah banjir



Pulang rumah selamatkan dokumen penting
TOREK SULONG  |  17 Disember 2014 1:33 AM
 ROHANI HAMZAH (tengah) melayan karenah kedua-dua cucunya Mohd.
ROHANI HAMZAH (tengah) melayan karenah kedua-dua cucunya Mohd.

ROHANI HAMZAH (tengah) melayan karenah kedua-dua cucunya Mohd. Asraf Mohd. Nawi, 4, (atas riba) dan Mohd.Aizat Zafri,5, (kanan) di Pusat Pemindahan Banjir SK Wakaf Raja, Pasir Puteh, Kelantan, semalam.
Ads by BuyNsaveAd Options

PASIR PUTEH 16 Dis. - Seorang nenek terpaksa mengambil risiko mengharungi banjir sedalam 1.5 meter bersama dua orang cucunya yang diletakkan dalam sebuah besen bagi menyelamatkan dokumen penting serta pakaian di rumahnya di Kampung Tasek, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Rohani Hamzah, 44, bersama cucunya yang berusia empat dan lima tahun mengharungi banjir sejauh kira-kira 500 meter dari jalan utama kerana tidak membuat persediaan awal untuk berpindah.

Katanya, mereka sekeluarga tiada di rumah ketika paras air meningkat yang berpunca daripada hujan lebat kerana menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Tebing Tinggi, di sini.

“Saya meminjam besen besar itu daripada penduduk yang tinggal di kawasan lebih tinggi kerana tidak mempunyai pilihan lain untuk kembali ke rumah walaupun tindakan tersebut boleh mengundang padah.

“Saya bersyukur kerana kami bertiga diselamatkan pasukan penyelamat pada kira-kira pukul 9 malam dan dibawa ke pusat pemindahan selepas paras air dalam rumah meningkat hingga melebih setengah meter,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian banjir gelombang kedua itu, sebanyak empat keluarga membabitkan 19 mangsa banjir telah berpindah ke pusat pemindahan yang baharu dibuka malam tadi.

Mengimbas kejadian petang semalam, Rohani berkata, kedua-dua cucu yang dipelihara itu terpaksa berpegang kuat pada besen berkenaan dalam keadaan ketakutan kerana menyedari air yang terlalu dalam dan deras.

“Saya tidak menyangka hujan lebat selama dua hari ini membuatkan kampung ini banjir secara tiba-tiba. Ini sudah kali kedua, saya berpindah ke pusat pemindahan," katanya yang turut terbabit dalam kejadian banjir pada pertengahan November lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Abd. Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, jalan utama ke kampung yang ditenggelami air masih boleh dilalui kenderaan dan mangsa terbabit dipindahkan secara berperingkat-peringkat bermula pukul 9 malam tadi.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/nenek-cucu-redah-banjir-1.37323#sthash.6B2EcwYW.dpuf

No comments:

Post a Comment