Ad

Sunday 28 December 2014

2.2Pembentukan Masyarakat lslam di Madinah



Masyarakat Islam Madinah dibentuk melalui dakwah oleh golongan penghijrah dari Makkah, iaitu golongan Muhajirin dengan sokongan penduduk tempatan, iaitu orang Ansar.Nabi Muhammad SAW bukan sahaja mempunyai pertalian langsung di Madinah dari segi hubungan kekeluargaan, tetapi juga hubungan dari segi ekonomi dan keagamaan.

       Nabi Muhammad SAW menyebarkan agama Islam kepada penduduk Madinah yang mengerjakan haji selama tiga musim haji berturut-turut.Pada tahun ke-ll kerasulan baginda, rombongan daripada kaum Khazraj telah datang menunaikan fardu haji di Makkah.

       Nabi Muhammad SAW telah menemui mereka di Bukit Aqabah dan memberikan penerangan tentang Islam.Pada musim haji berikutnya, mereka sekali lagi datang untuk menemui baginda. Rombongan ini terdiri daripada 10 orang daripada kaum Khazraj dan dua orang daripada kaum Aus.Dalam pertemuan ini, terbentuklah perjanjian yang dinamakan Perjanjian Aqabah I. Dalam perjanjian ini, mereka berjanji tidak menyekutukan Allah SWT.[1]

       Selepas Perjanjian Aqabah I, Nabi Muhammad SAW telah menghantar Mus'ab bin Umayr ke Madinah untuk menyebarkan Islam dan mengajar ayat-ayat al-Quran. Misi ini telah mencapai kejayaan yang besar.

       Pada tahun ke-13 kerasulan baginda, seramai 73 orang yang terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj (termasuk dua orang wanita) telah datang menemui baginda. Pertemuan ini telah menghasilkan Perjanjian Aqabah II.Perjanjian ini juga dipanggil Perjanjian Peperangan kerana menyentuh hal-hal Peperangan.

       Selepas itu, Nabi Muhammad SAW telah melantik 12 orang naqib (ketua), sembilan orang daripada kaum Khazraj dan tiga orang daripada kaum Aus untuk menyebarkan Islam di Madinah.Pelantikan mereka merupakan bukti yang jelas bagi mencapai matlamat jangka panjang untuk kemenangan Islam.Kesetiaan yang diberikan oleh penduduk Madinah kepada Nabi Muhammad SAW merupakan satu jaminan terhadap kejayaan Islam di Madinah.[2]




[1]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),20
[2] Ibid,20.

No comments:

Post a Comment