Ad

Tuesday 30 December 2014

Pemahaman sejarah semakin malap – Pak Siri



  Oleh MOHAMMAD HAFIZ AHMAD
rencana@kosmo.com.my
 
TERASA getar pada alunan suaranya apabila membangkitkan soal jati diri dan ketamadunan sejarah dalam kalangan generasi muda yang dirasakannya semakin hari semakin menipis seperti lahiriah kulit bawang.

Bagi lelaki berusia 61 tahun itu, wujud kelompok berfahaman liberal yang tipis ilmunya tentang perlembagaan negara sehingga mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian masyarakat hari ini.

“Kita ramai melahirkan masyarakat yang berpendidikan tinggi dan cemerlang dalam akademik. Sayangnya, apabila bercakap tentang identiti bangsa, kita masih gagal melahirkan individu berpegang kuat pada kenegaraan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Siri Neng Buah merupakan penerima Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup atas dedikasi dan kerja kerasnya mengangkat budaya dan sejarah Malaysia agar tidak lupus dibawa arus kemodenan.

Mesra dipanggil Pak Siri, situasi kemalapan kefahaman sejarah adalah bertunjang daripada ketiadaan struktur yang mampan dalam pembelajaran subjek tersebut bermula di peringkat persekolahan lagi.

Dalam ramainya ahli akademik cabang saintifik mahupun teknikal, wujud lompang yang akhirnya dimasuki pelbagai anasir negatif.

“Cuba tanya anak-anak, adakah mereka memahami dan mengetahui tentang isi-isi terkandung dalam kontrak sosial? Sedangkan, ia merupakan prasyarat kepada hidup bersatu dalam masyarakat majmuk di negara kita.

“Akibatnya, ia menjadi masalah apabila mereka sudah dewasa, ada yang mempersoalkan tentang perlembagaan yang sudah termaktub sejak puluhan tahun dahulu,” jelas Pak Siri.

Warisan Kebangsaan Orang Hidup, Tumpat Siri Neng Buah- Penggiat dan Pakar Rujuk Adat Budaya.

Perlu difahami

Subjek Sejarah, menurut anak kelahiran Besut, Terengganu itu, perlu difahami secara keseluruhan bukan sekadar dibaca dan dihafal semata-mata.

“Masalah juga hadir apabila bahan rujukan pula hanya mengambil fakta sikit sini, sikit sana seperti sehelai langsir tampal yang digunakan orang-orang dahulu,” katanya.

Tambah beliau, perkara itu tidak harus disalahkan sepenuhnya kepada generasi muda kerana pasaran pekerjaan yang tidak memihak kepada graduan kesusasteraan mahupun sejarah.

“Tidak banyak peluang pekerjaan yang dapat diberikan kepada mereka yang berkelulusan cabang subjek itu sehingga orang seperti Pak Siri ini semakin hari semakin pupus,” selorohnya.

Beliau turut memandang positif perubahan yang dilakukan dalam pembelajaran subjek Sejarah apabila ia tidak lagi terhad pada soalan-soalan objektif semata-mata.

“Apabila pelajar diberi pilihan jawapan yang subjektif, secara tidak langsung mentaliti mereka jauh ke hadapan malah lebih praktikal dan analitis,” kongsi Pak Siri.

Banyak yang ingin diperkatakan Pak Siri apabila menyentuh tentang sejarah dan budaya tempatan. Bara semangat dan buah fikirannya itu membawa Pak Siri merantau sehingga ke luar negara menyampaikan keindahan dan ketinggian sejarah Malaysia kepada dunia.

Ketika bertugas di Jabatan Warisan Negara, Pak Siri turut membantu jabatannya mengangkat Batu Bersurat Terengganu sehingga diiktiraf Memory Of The World International Register oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2009.

“Ia merupakan pengiktirafan tertinggi kepada sejarah Malaysia sehingga membuka mata dunia.

“Perjalanan kita masih panjang kerana banyak lagi lokasi dan artifak sejarah yang boleh diangkat sebagai salah satu warisan dunia,” terang bapa kepada tiga orang anak itu.

SENI wayang kulit yang menjadi kebanggaan Kelantan.

Sosiobudaya

Dengan ketinggian 86 sentimeter dan berat 214.8 kilogram, artifak bersejarah itu ditemui sekitar tahun 1887 dan 1899. Ia kemudiannya dikesan oleh seorang ahli perniagaan, Saiyed Husin Ghulam Al Bukhari pada tahun 1902.

Pengiktirafan Batu Bersurat Terengganu adalah berdasarkan keaslian yang merupakan satu-satunya bentuk dalam jenisnya di Asia Tenggara.

Ia dianggap mempunyai kepentingan tambahan dalam konteks pemahaman sosiobudaya di rantau ini.

Dilahirkan dalam keluarga berketurunan Siam, hidup Pak Siri sejak kecil sudah bergelumang dengan seni budaya tradisi yang banyak dipengaruhi oleh datuknya, Nai Deng Suksai.

Dibesarkan oleh Nai Deng Suksai yang merupakan Kapitan Siam di Besut, Terengganu, zaman kecil Pak Siri banyak diisi dengan mengikuti datuknya mengadakan persembahan kebudayaan Siam.

“Beliau juga banyak bercerita kepada saya cerita sejarah dan legenda tempatan. Paling saya ingat ialah sejarah Tok Gajah yang kini menjadi kepakaran saya dan banyak membentangkan kertas-kertas kajian tokoh kebanggaan orang Pahang itu,” kenang Pak Siri yang mempunyai kelulusan dalam Sarjana Muda Kesusasteraan dan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia.

Berasal daripada komuniti Siam tidak membuatkan beliau janggal dan kekok berbicara mengenai sejarah Tanah Melayu malah menjadi keistimewaan kepadanya kerana menjadi pakar rujuk budaya kebangsaan.

Ketelusannya dalam memperjuangkan budaya dan sejarah adalah kerana beliau enggan ia hilang sebagai satu bangsa.

Kepada Pak Siri, hilangnya bangsa bukan kerana ia tidak wujud lagi dalam peta dunia tetapi disebabkan sejarah yang telah terhapus dalam masyarakat sekelilingnya.

“Apabila ia terhapus, maka lenyaplah jati diri bangsa tersebut. Lihat sahaja situasi yang berlaku hari ini apabila berlakunya banyak perpecahan.

“Jika dahulu, perpecahan berlaku akibat masalah peribadi antara Raja-Raja Melayu tetapi kini disebabkan percanggahan fahaman politik,” katanya.

Kerukunan masyarakat majmuk menjadi fokus kepada Pak Siri ketika bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sehingga mencetus penganjuran Program Citrawarna Malaysia pada tahun 1999.

Berikutan kejayaan itu, beliau telah dianugerahkan Anugerah Khidmat Cemerlang atas sumbangan idea dan pendapat dalam menjayakan pesta jalanan seperti yang diadakan di Sao Paulo, Brazil dan Madrid, Sepanyol.

PAK SIRI (tengah) menerima sijil penghargaan daripada Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Nor Aida Ismail ketika program sahabat media di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Penceramah

“Program itu perlu diadakan secara tahunan kerana ia mampu dijadikan sebagai produk pelancongan yang menarik kedatangan pengunjung luar dan dalam negara.

“Lokasi juga patut diadakan di satu lokasi tetap bagi menjadikan ia sebagai satu acara ikonik yang kekal dalam kalendar pelancongan dunia,” ujarnya.

Selepas bersara daripada jawatan terakhir sebagai Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara di Jabatan Warisan Negara dua tahun lalu, beliau kini banyak mengisi masa terluang dengan menjadi penceramah simposium atau persidangan budaya dan sejarah tempatan.

Tulisan artikel beliau yang bertajuk Sejarah Asal Usul Masyarakat Siam Malaysia antara yang terkenal dan menjadi rujukan para pengkaji sejarah. Ia merupakan penyelidikan mengenai kewujudan masyarakat Siam di Malaysia dan pertama kali dibentangkan pada Seminar Kebudayaan Masyarakat Siam Kelantan pada September 1998.

Inisiatif itu diteruskan dengan perancangan menghasilkan buku Sejarah Orang Siam yang sedang dalam proses mencari bahan. Buku setebal 200 muka surat itu akan diterbitkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan dijangka siap pada September 2015.

“Sekarang saya sedang dalam usaha mengumpul maklumat dan bahan-bahan rujukan bagi menghasilkan buku tersebut. Diharap ia dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dan menjadi rujukan pada masa depan,” akhiri Pak Siri.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3NOCoX1PAHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment