Ad

Friday, 19 December 2014

Penerjun wanita sapu bersih



PALEMBANG, Indonesia –Skuad terjun negara melengkapkan emas ketiga dalam acara itu menerusi Kam Ling Kar dalam kategori 1 meter papan anjal individu wanita pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2014 di Stadium Akuatik Jakabaring, Palembang semalam.

Tampil dengan aksi yang konsisten, pelajar prauniversiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil itu ternyata berada dalam kelas tersendiri untuk mendahului kelima-lima pusingan terjunan untuk meraih 237.90 mata.

Biarpun saingan itu nampak mudah namun Ling Kar tidak menafikan aksi kompetitif yang dipamerkan oleh pencabar terdekatnya iaitu wakil tuan rumah, Sari Ambarwati dengan pungutan 217.20 mata untuk berada di tangga kedua.

“Saya tidak rasa prestasi saya sangat baik hari ini (semalam) kerana saya rasa terjunan saya dengan penerjun Indonesia, Sari lebih kurang sahaja.

“Begitu pun saya cuba mengekalkan konsistensi terjunan daripada awal hingga akhir kerana ini satu-satunya acara yang saya sertai pada temasya ini dan saya mahu buat yang terbaik,” kata Ling Kar.

Pingat gangsa diraih atlet dari Filipina, Riza Jane Domenios yang meraih pungutan 157 mata.

Skuad terjun Malaysia hanya menyertai tiga acara pada temasya ke-17 itu, lebih menarik ketiga-tiga acara itu meraih pingat emas.

Emas pertama disumbangkan oleh Jasmine Lai menerusi acara 3m papan anjal individu wanita pada Rabu lalu, manakala emas kedua diraih Traisy Vivien Tukiet (platform individu wanita) kelmarin.

“Sudah tentu saya gembira kerana saya dan rakan-rakan yang lain turut menyumbangkan pingat emas pada temasya ini.

“Ia membuktikan yang kami telah berusaha untuk membantu kontinjen negara meraih emas daripada acara terjun,” kata Ling Kar.

Ling Kar pernah menyumbangkan pingat perak pada Sukan SEA 2011 menerusi acara 10m platform wanita di venue yang sama.
SUMBER
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3MPl8wCLHHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment