Ad

Tuesday, 16 December 2014

Zaqhwan juara termuda ARRC



Wartawan Sinar Harian
15 Disember 2014
 Mohd Zaqhwan Zaidi
    Mohd Zaqhwan Zaidi Mohd Zaqhwan Zaidi
  
MOHD Zaqhwan Zaidi menamatkan musim 2014 dengan penuh gemilang apabila dinobatkan selaku juara keseluruhan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) sekaligus meletakkan namanya sebagai juara termuda kategori tersebut dalam aksi yang penuh mendebarkan di Litar Antarabangsa Losail, Doha,Qatar, semalam.

Tanpa meletak harapan tinggi, pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu hadir ke pusingan terakhir musim 2014 dengan 22 mata ketinggalan kepada pendahulu, Katsuaki Fujiwara (BEET Kawasaki Racing) namun segalanya berubah apabila Zaqhwan muncul naib juara pada Perlumbaan 1 manakala Fujiwara sekadar di tangga ke-11 untuk merapatkan jurang hanya kepada tujuh mata.

Aksi Perlumbaan 2 lebih mendebarkan di mana Yuki Ito (Petronas Hong Leong Yamaha) hadir sebagai pencabar utama untuk merebut gelaran juara bersama Zaqhwan namun dengan strategi berpasukan, Zaqhwan berjaya memenangi perlumbaan menewaskan Ito hasil bantuan Mohd Zamri Baba yang akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga manakala Ito di tempat kedua.

Gelaran juara membantu Zaqhwan mengumpul 170 mata keseluruhan, hanya satu mata mengatasi Ito di tangga kedua dengan 169 mata manakala juara musim 2011, Fujiwara yang telah mengumumkan persaraannya daripada aksi ARRC di tangga ketiga dengan 155 mata setelah aksi mengecewakan gagal menempatkan diri di kedudukan 10 terbaik dalam kedua-dua perlumbaan akhir setelah mengalami masalah teknikal jentera manakala Zamri di kedudukan keempat.

Kemenangan dramatik ini turut meletakkan pasukan Musashi Boon Siew Honda meraih gelaran buat kali ketiga berturut-turut kategori SuperSports 600cc selepas kemenangan Ryuichi Kiyonari (2012) dan Azlan Shah Kamaruzaman (2013) selain turut mencipta hatrik meraih gelaran pasukan terbaik.

"Kemenangan ini amat istimewa bagi saya. Saya telah mendedikasikan hidup saya untuk mengejar impian sebagai juara selama ini dan apabila ia berjaya, sudah tentu ia merupakan sesuatu yang sangat istimewa. Saya juga sangat gembira kerana berjaya mengharumkan nama negara," jelas Zaqhwan penuh emosi selepas menamatkan perlumbaan.

Tambahnya, "Kemenangan ini memang tidak dijangka memandangkan baru tiga musim saya beraksi dalam kelas perdana ini. Namun keyakinan semakin tinggi setelah pendahulu, Fujiwara dan Ito gagal menempatkan diri di kelompok depan pada Perlumbaan 1. Kami sepasukan terutama diantara saya dan Zamri sedar kami perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin."

"Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Zamri kerana membantu saya dan menghalang Yuki di belakang memandangkan mungkin agak sukar untuk saya melakukannya bersendirian dan secara peribadi, saya fikir dia merupakan pelumba terbaik dalam perlumbaan terakhir ini. Saya juga berterima kasih kepada seluruh pasukan, keluarga, rakan-rakan dan peminat yang meletakkan kepercayaan kepada saya selama ini."

Dalam aksi penentuan gelaran juara keseluruhan, Zaqhwan berjaya menjuarai Perlumbaan 2 dengan masa 31'24.717s, juga kemenangan kedua pada musim ini manakala Yuki muncul naib juara dengan masa 31'25.097s manakala Zamri ketiga, 31'25.119s.

Sementara itu, aksi sebelum itu menyaksikan saingan Perlumbaan 1 dimenangi oleh Zamri dengan masa 31’37.305s manakala Zaqhwan kedua, 31'37.371s manakala H A Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki) ketiga, 31’37.529s.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 15.12.14

No comments:

Post a Comment