Ad

Saturday, 20 December 2014

Piala AFF: Harimau menang tapi Thailand juara



Sabtu, 20 Disember 2014 @ 10:04 PM
Oleh Khairil S Iswan dan Mohd Nasaruddin Parzi
 bhsukan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya menang 3-2 ke atas Thailand, malam ini tapi usaha terpuji itu tidak mampu menyekat Thailand untuk muncul juara Piala AFF Suzuki 2014.

Lawan yang bergelar Gajah Perang itu mengesahkan mahkota kejuaraan buat kali keempat apabila bangkit menjaringkan dua gol pada lewat babak permainan di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menang agregat 4-3 dalam final kedua pada edisi kali ini.

Malaysia memberi persembahan terpuji dengan mendahului 3-0 satu ketika dalam perlawanan yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tapi gagal mengekalkan penguasaan sehingga ke minit terakhir perlawanan.

Ia meranapkan impian Harimau Malaya untuk bergelar juara buat kali kedua selepas gemilang dilakar pada 2010.

Hadir ke Bukit Jalil dengan tugas berat, skuad bimbingan Dollah Salleh itu memberi bayangan awal keajaiban mampu diulang apabila meledakkan tiga gol sebelum semua usaha baik itu dalam tempoh lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Thailand yang terdesak memburu gol meledak menerusi pemain sensasi, Charyl Chappuis pada minit ke-82 yang merobek emosi pemain negara.

Keadaan itu dimanfaatkan sepenuhnya Thailand yang menyumbat gol kedua menerusi Chanathip Songkrasin pada minit ke-87 yang mematikan terus semangat juang negara.

Tidak cepat melatah, ketua jurulatih, Dollah tetap menurunkan kesebelasan hampir sama ketika final pertama dengan hanya pertahanan tengah, Mohd Fadhli Shas digugurkan dan digantikan dengan pemain tinggi lampai, Mohd Afif Amiruddin.

Tewas 2-0 pada perlawanan pertama di Stadium Rajamangala Bangkok, Rabu lalu, Malaysia mempamer corak permainan pantas pada awal permainan yang jelas gagal dibaca muda Thailand.

Keghairahan Malaysia untuk memburu jaringan terhasil apabila dianugerahkan sepakan penalti seawal minit keenam yang disempurnakan Safiq Rahim.

Menerusi gerakan yang dimulakan di bahagian kanan padang, bola hantaran cantik Azamuddin Akil pantas disambut Norshahrul Idlan Talaha sebelum dijatuhkan pertahanan Thailand di kawasan penalti.

Jaringan itu turut meletakkan Safiq selaku penjaring terbanyak edisi Piala AFF setakat ini dengan mengumpul lima gol.

Gol kedua negara pula disumbangkan pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin pada minit-minit terakhir babak pertama hasil satu tandukan padu untuk mengikat agregat 2-2 buat Malaysia.

Selepas rehat, Thailand yang terdesak berjaya melancarkan beberapa serangan berbahaya namun akhirnya dihukum menerusi jaringan kedua peribadi Safiq menerusi sepakan percuma yang cantik pada minit ke-58.

Begitupun tiga gol itu tetap tidak mencukupi untuk Malaysia menjulang Piala AFF buat kali kedua.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE 20.12.2014

No comments:

Post a Comment