Ad

Wednesday, 17 December 2014

Malaysia bukan tandingan Iran

ARKIB : 04/03/2004

Malaysia bukan tandingan Iran
Oleh Johari Shawal dan A. Jailani Abdullah
 
PEMAIN Malaysia, Indra Putra Mahayuddin (kiri) dibentes oleh pemain Iran, Kabei Hossein dalam perlawanan bola sepak kelayakan Kumpulan A Sukan Olimpik, di Kelana Jaya, semalam. Iran menang 4-1.
MALAYSIA jelas bukan tandingan Iran dalam aksi bola sepak kelayakan Kumpulan A Sukan Olimpik apabila tunduk mudah 4-1 dalam perlawanan di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya, semalam.
Biarpun menggamatkan kira-kira 10,000 penyokong sendiri apabila Mohd. Fadzli Saari membuka jaringan pada minit ke-34, skuad juara Sukan Asia mudah membalas dengan empat gol dengan dua gol dihasilkan pada baki lima minit babak pertama dan dua lagi menyusul pada separuh masa kedua.
Arash Borhani menyamakan kedudukan pada minit ke-41 dan Mehrzad meletakkan Iran di depan sebelum waktu rehat dua minit kemudian. Pemain tengah berbahaya Iran, Iman Mobali menambah dua gol pasukannya pada minit ke-58 dan sepakan penalti minit ke-70. Begitupun, skuad negara bimbingan Allan Harris agak garang pada awal permainan.
Fadzli hampir memberikan gol pendahuluan pada minit kesembilan apabila menerima umpanan Indra Putra Mahayuddin tetapi percubaan pemain itu tersasar walaupun penjaga gol Iran, Seyed Mahdi Rahmati tidak berada pada posisi yang betul.
Bagaimanapun, Fadzli akhirnya menemui sentuhan yang dicari-cari pada minit ke-34 menerusi satu lagi sepakan percuma. Sepakan Indra ke gawang ditanduk rendah oleh Akmal ke sebelah kiri gawang Iran tetapi Seyed sempat melayangkan badan menguis bola yang mengenai tiang gol. Namun, bola yang melantun kembali ke tengah disambar oleh Fadzli yang mudah menolak masuk untuk menggamatkan stadium dengan sorakan penyokong tuan rumah.
Iran yang membariskan sekurang-kurangnya enam pemain yang menjuarai Sukan Asia dua tahun lalu tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan yang diperoleh pada minitke-41. Mehrzad mengambil peluang daripada keadaan kelam kabut dalam kubu Malaysia dengan merembat kencang yang ditampan Syamsuri tetapi benteng negara gagal mengekang sepakan susulan Arash yang terus menyepak masuk bola muntah.
Gol kedua Iran menyusul dua minit kemudian menerusi tandukan mudah Mehrzad yang langsung tidak dikawal hasil sepakan sudut yang diambil ketua pasukan, Javad Kazemeyan.
Barisan serangan Iran mula mempamerkan mutu aksi sebenar pasukan dari negara Arab itu pada babak kedua yang menambah dua lagi gol. Sepakan terus dari luar kotak penalti dari jarak 30 meter oleh Iman terkena badan Aziz Ismail yang gagal diselamatkan Syamsuri untuk gol ketiga Iran pada minit ke-58.
Iman menambah derita skuad negara dengan gol keempat pada minit ke-70 menerusi sepakan penalti selepas Arash dikasari.
Skuad negara berusaha merapatkan jaringan tetapi Akmal dan Safee Sali yang masuk menggantikan Surendran gagal melepasi benteng kebal Iran.
MALAYSIA Mohd. Syamsuri Mustafa, Abd. Aziz Ismail, Irwan Fadzli Idrus, Ronny Harun, M. Ravinthiran, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Fadzli Saari, Horhisham Hassan (Fauzi Saari), K. Rajan, R. Surendran (Mohd. Safee Sali), Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
IRAN Seyed Mahdi Rahmati, Jalal Kameli (Morteza Ebrahimi), Morteza Kashi, Mohamad Nosrati, Ali Badavi, Mehrzad Madanchi, Hossein Kobei, Morteza Iazadi, Iman Mobali (Moharram Navidkia), Arash Borhani, Javad Kazemeyan (Seyed Rasool).
sumber
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3M8qeUVwk© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment