17 Disember 2014 10:05 PM
BANGKOK 17 Dis. - Tugas berat
menanti Malaysia dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF di Stadium Nasional,
Bukit Jalil, Sabtu ini selepas tumpas 2-0 kepada Thailand dalam final pertama
di Stadium Rajamangala di sini, sebentar tadi.
Selepas menunjukkan aksi
seimbang pada babak pertama, tuan rumah berjaya menguasai permainan dan memaksa
Harimau Malaya lebih banyak berkubu di kawasan sendiri, selain sesekali
mengatur serangan balas pada separuh masa kedua.
Percubaan demi percubaan yang
dilakukan skuad Gajah Perang itu akhirnya membuahkan hasil apabila Charyl
Chappuis meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-72 menerusi sepakan
penalti.
Thailand dihadiahkan penalti
selepas kekasaran dilakukan pertahanan Malaysia, Mohd. Fadhli Mohd. Shas.
Anak-anak buah Dollah Salleh
berusaha mendapatkan gol penyamaan, namun serangan balas yang digerakkan
‘Iniesta Thailand’, Chanathip Songkrasin disempurnakan penuh bergaya oleh
Kroekrit Thawikan pada minit ke-86.
Sekiranya percubaan Indra Putra
Mahayuddin tidak dapat diselamatkan oleh penjaga gol lawan, Kawin
Thamsatchanan, pada minit terakhir permainan, mungkin Harimau Malaya boleh
pulang ke Kuala Lumpur dengan sedikit lega kerana membawa pulang gol dari
tempat lawan.
Kini, Harimau Malaya bukan
sahaja perlu mendapatkan tiga gol untuk mengatasi Thailand tetapi perlu
mengelak lawan daripada mendapat jaringan semasa beraksi di Bukit Jalil. -
UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment