Bangkok: Pemain perancang Safiq
Rahim (gambar) percaya Harimau Malaya tidak mengharapkan tuah penalti untuk
mendapatkan kelebihan gol tempat lawan apabila turun menentang Thailand pada
final pertama Piala AFF di Stadium Nasional Rajamangala, esok.
Skuad kendalian Dollah Salleh
itu kini sudah mengumpul sembilan gol dengan tiga daripadanya dihasilkan
menerusi sepakan penalti Safiq manakala juara tiga kali Thailand turut
mengancam dengan 10 gol.
Bagi Safiq, 27, dia tidak kisah
dengan cara apa sekalipun untuk mereka mendapatkan bekalan gol sebelum aksi
kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
“Apa cara sekalipun kita perlu
jaringkan gol untuk mendapatkan kelebihan ke atas Thailand.
“Kita tidak bermain untuk
mendapatkan sepakan penalti dan saya percaya kita mempunyai barisan pemain yang
boleh menjaringkan gol dari pelbagai sudut,” katanya.
Safiq yang menjadi kapten
Harimau Malaya ketika muncul juara kali pertama pada 2010 pasti menjadi antara
pemain yang bakal mendapat ‘layanan istimewa’ pemain Thailand selepas beraksi
cemerlang pada pertemuan peringkat kumpulan termasuk menjaringkan gol menerusi
gerakan solo.
Dia yang bakal bergandingan
dengan kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi di bahagian tengah tidak memikirkan
mengenai peluangnya untuk menjadi penjaring terbanyak kejohanan selepas
mengumpul empat gol bersama penyerang Vietnam Le Cong Vinh.
“Saya tidak fikir untuk menjadi
penjaring terbanyak, siapa yang menghasilkan gol tak penting asalkan pasukan
menang,” kata Safiq.
Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 16 Disember 2014 @ 7:49 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/16522#sthash.g7h910gr.dpuf
No comments:
Post a Comment