Ad

Thursday, 25 December 2014

Bantuan tak sampai, terpaksa masak guna air sungai



 FATHIN ATHIRAH HASLI
25 Disember 2014
Pasukan bantuan menghantar bekalan makanan untuk kegunaan mangsa dari Kampung Keroh yang terjejas akibat limpahan air Sungai Nal dekat Kuala Krai hari ini.- Foto Bernama
    Pasukan bantuan menghantar bekalan makanan untuk kegunaan mangsa dari Kampung Keroh yang terjejas akibat limpahan air Sungai Nal dekat Kuala Krai hari ini.- Foto Bernama   Pasukan bantuan menghantar bekalan makanan untuk kegunaan mangsa dari Kampung Keroh yang terjejas akibat limpahan air Sungai Nal dekat Kuala Krai hari ini.- Foto Bernama

SHAH ALAM – Paras air semakin meningkat, manakala bantuan yang dinanti pula tidak kunjung tiba berikutan cuaca buruk melanda daerah Kuala Krai, Kelantan.

Terkandas di sekolah yang dijadikan pusat pemindahan, rata-rata mangsa banjir di Sungai Durian, Kuala Krai mengakui semakin resah dan bimbang terhadap keselamatan diri masing-masing.

Seorang mangsa banjir, Sumariya Ibrahim, 35, berkata, dia terpaksa menggunakan air sungai yang keruh untuk memasak makanan yang ada untuk keluarga dan mangsa banjir yang lain.

“Pada hari pertama, kami hanya diberikan beras, air mineral sekotak untuk satu keluarga, biskut kering dan empat tin sardin. Kesemua mangsa banjir terpaksa mencatu makanan, bekalan air bersih sudah tiada! Kami terpaksa berjimat cermat kerana bekalan makanan semakin kurang.

“Saya terpaksa gunakan air sungai yang keruh mengalir untuk menyediakan makanan untuk keluarga. Kami tiada pilihan lain lagi. Keadaan di sini menghimpit kami,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Menceritakan pengalamannya menempuh tragedi ini, dia yang merupakan tenaga pengajar di Tadika Kemas Mengkebang, Kuala Krai menyifatkan fenomena banjir kali ini merupakan bencana terburuk pernah dialami.

“Sebelum ini saya pernah berhadapan dengan situasi seperti ini, namun sejak 10 tahun lalu, inilah banjir paling buruk pernah dialami oleh saya dan penduduk lain.Kami berlindung di sini (pusat pemindahan) sejak hari pertama rumah kami ditenggelami air. Kini sudah tiga hari saya bersama suami dan anak-anak berada di sini.

“Saya tinggalkan rumah dalam keadaan sehelai sepinggang, hanya anak-anak dan suami bersama saya. Kami mengharung air setinggi paras pinggang bersama enam anak-anak kami dalam keadaan gelap, hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya,” rintihnya.

Difahamkan, lebih kurang 500 mangsa banjir termasuk bayi, kanak-kanak dan warga tua mendapat perlindungan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai, Kampung Tok Bok, Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan.

“Kesihatan segelintir mangsa banjir di sini mulai terjejas. Bekalan ubat pula sudah tiada. Kami cuba hubungi talian kecemasan namun talian selalu sibuk lebih-lebih lagi dengan keadaan seperti ini.

“Hujan sudah mula berhenti, tetapi paras air terus meningkat. Setiap jam kami dapati paras air meningkat sehingga dua inci,” jelasnya lagi.

Sehingga kini, mereka masih menunggu pelbagai bantuan khususnya makanan, minuman dan bekalan ubat-ubatan daripada pihak berkuasa.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 25.12.14

No comments:

Post a Comment