Ad

Saturday, 27 December 2014

Felda timba pengalaman di Dubai



27 Disember 2014 1:28 AM
 Irfan Bakti
Irfan Bakti

KUALA LUMPUR – Sebagai pendatang baharu Liga Super Malaysia (MSL), Felda United cukup serius merencanakan masa depan agar kehadiran mereka tidak dipandang sebelah mata oleh pencabar-pencabar lain.

Tidak mahu dianggap sebagai sebuah kelab kerdil, The Fighters sanggup berkelana di Dubai selama beberapa hari bagi mendapatkan ilham untuk menyusun strategi terbaik menjelang saingan musim baharu dengan mengadakan tiga perlawanan persahabatan di bumi Arab itu.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, pengendali Felda United, Irfan Bakti berkata, berdasarkan penelitiannya dalam tiga perlawanan yang diadakan di Dubai pada tempoh hari dia mendapati keserasian dalam kalangan anak-anak buahnya semakin sebati.

“Semasa berada di Dubai kami telah mengadakan tiga perlawanan persahabatan. Kami seri 0-0 ketika bertemu skuad kebangsaan Palestin, bertemu Al-Jazeera dari Oman juga kami mencatat keputusan seri 1-1. Bagaimanapun kami tewas 0-1 ketika beraksi menentang pasukan divisyen dua Liga Dubai.

“Berdasarkan tiga perlawanan tersebut saya mendapati keserasian jelas kelihatan dalam kalangan pemain meskipun terdapat tujuh kemasukan pemain baharu. Enam daripadanya adalah pemain tempatan, mereka semuanya dapat beraksi dengan baik.

“Situasi ini sudah pasti memberi petunjuk baik kepada saya kerana menjelang musim baharu kelak, ia akan memudahkan saya membuat pemilihan pemain yang perlu diturunkan untuk dijadikan kesebelasan utama.

“Meskipun ketiadaan dua tonggak utama kami, Indra Putra (Mahayuddin) dan Shukor (Adan) kerana terlibat dengan kempen Piala Suzuki AFF tempoh hari, namun ia tidak merencatkan persiapan kami,” katanya di sini, semalam.

Bagi menghadapi musim baharu, skuad The Fighters itu mendapatkan pemain import dari Serbia, Bojan Miladinovic yang pernah beraksi bersama kelab Uzbekistan, Pakhtakor.

Enam pemain tempatan yang menyertai Felda untuk musim hadapan adalah Mohd. Fauzan Dzulkifli dari Selangor PKNS FC, Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi (Sime Darby FC), Mohamad Rashid Mohamed Aya (Sarawak), dua pemain Harimau Muda A, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir dan Shahrul Mohd Saad serta seorang pemain skuad Bawah-23 tahun Felda, Mohamad Zamri Ramli.

Irfan turut menggesa pasukannya agar tidak gentar untuk memulakan kempen Piala FA pada musim depan, meskipun terpaksa bertemu Selangor seawal perlawanan pertama mereka.

“Saya menganggap semua perlawanan dalam saingan Piala FA adalah penting tanpa mengira pasukan mana yang akan kami hadapi. Kami juga mensasarkan untuk beraksi di pentas final seperti musim lalu dan merampas kembali gelaran daripada Pahang.

“Musim hadapan sememangnya tampak masih samar kerana kita tidak mengetahui kehebatan pasukan lain, bagaimanapun saya mensasarkan untuk berada di kelompok tiga terbaik Liga Super. JDT (Johor Darul Takzim), Pahang dan Terengganu merupakan ancaman terbesar kami,” kata pengendali berusia 63 tahun itu.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/felda-timba-pengalaman-di-dubai-1.41388#sthash.fZlHX3cX.dpuf

No comments:

Post a Comment