Ad

Wednesday, 17 December 2014

Pemain boleh dihukum gantung





Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my


FAIZAL SAARI kembali disenaraikan dalam skuad hoki senior negara bagi menghadapi pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bulan depan. Dia pernah menarik dri daripada mewakili negara sebelum ini.

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) melaungkan amaran keras kepada 25 senarai awal pemain yang terpilih menyertai skuad hoki senior negara menjelang saingan pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura yang akan bermula pada 17 Januari depan.

Ini kerana badan induk sukan hoki negara itu enggan insiden Sukan Asia Incheon, September lalu yang mana Faizal Saari mengambil keputusan untuk menarik diri daripada beraksi pada temasya tersebut berulang semula pada kejohanan kali ini yang dianggap sebagai pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pemain yang mengabaikan tanggungjawab negara tanpa alasan yang kukuh.

“Kami tidak akan ambil mudah dan memberikan perhatian serius kepada perkara ini. Sekiranya pemain yang dipanggil tidak hadir tanpa jawapan yang munasabah, tindakan tegas akan dikenakan terhadapnya.

“Mungkin pemain itu akan digantung daripada bermain hoki kerana khidmatnya masih diperlukan melainkan dia mengalami kecederaan, barulah ia akan dipertimbangkan tetapi kami akan memeriksa laporan daripada doktor ISN (Institut Sukan Negara).

“Ini satu amaran kepada mereka kerana tanggungjawab untuk negara lebih penting. Kalau mereka boleh bermain dalam saingan liga domestik kerana tidak untuk negara?

“Apabila mereka bersara, kami tidak akan menyarankan skim persaraan kepada mereka. Niat kami bukan nak menghancurkan karier hoki mereka tetapi sikap profesional perlu ada untuk mewakili negara,” katanya sewaktu sidang akhbar pengumuman 25 pemain skuad negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Pada pemilihan kali ini, pengendali sementara, Tai Beng Hai kembali menyenaraikan Faizal selepas penye­rang Terengganu itu mempamerkan persembahan cemerlang apabila muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia musim ini dengan 16 gol.

Misi skuad negara yang diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Oman, Ukraine dan Fiji untuk menjadi antara dua pasukan terbaik bagi melayakkan diri secara automatik ke pusingan ketiga di Belgium atau Argentina, Jun depan dilihat cerah selepas kemasukan semula penyerang berusia 23 tahun itu.

Selain Faizal, tonggak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Azreen Rizal Nasir dan kapten Skuad Projek 2016, Muhammadd Haziq Samsul turut tersenarai dalam senarai awal 25 pemain sebelum memilih 18 terbaik menyarung jersi negara sebelum berangkat ke Si­ngapura pada 11 Januari depan.

Bagi meringankan beban Beng Hai pada kejohanan tersebut, MHC telah memutuskan Stephen van Huizen sebagai penolong jurulatih manakala Azmi akan bertindak sebagai pengurus pasukan buat sementara waktu.
SUMBER-
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3M8u90upFHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment