Ad

Thursday 25 December 2014

Kelantan hampir lumpuhAir Sungai Kelantan melimpah ke bandar Kota Bharu



25 Disember 2014 1:53 AM
 Sungai Kelantan yang dirakam pada pukul 6 petang semalam, melimpah
Sungai Kelantan yang dirakam pada pukul 6 petang semalam, melimpah

Sungai Kelantan yang dirakam pada pukul 6 petang semalam, melimpah ke kawasan berhampiran bandar Kota Bharu. – UTUSAN/Wahidin Salim
Ads by BuyNsaveAd Options

KOTA BHARU 24 Dis. - Negeri ini hampir lumpuh apabila air dari Sungai Kelantan melimpah masuk ke bandar ini sejak petang tadi.

Malah sehingga pukul 10 malam ini, air semakin laju menerjah masuk bandar ini dan kesemua kawasan di tebing Sungai Kelantan tenggelam.

Pihak berkuasa juga mengeluarkan siren amaran malam ini dan arahan berpindah kepada semua penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Kawasan terlibat ialah Kampung Kota, Kampung Sireh, Jalan Che Su, Jalan Post Office Lama, Jalan Tok Hakim, Bunut Payung dan Tambatan Diraja.

Dalam perkembangan sama, pesakit-pesakit di wad lama terutama bayi serta kanak-kanak di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) telah dipindahkan ke kawasan selamat manakala pesakit antenatal dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sebagai langkah awal untuk mengelak musibah yang lebih besar.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati keadaan di bandar ini agak kelam-kabut dan peniaga menutup premis mereka lebih awal.

Pada 2004, Kota Bharu dilanda banjir besar sehingga melumpuhkan keseluruhan bandar ini serta mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit.

Negeri ini juga hanya boleh dihubungi melalui udara dan satu laluan darat iaitu dari Terengganu melalui Pasir Puteh selepas 24 laluan utama ditutup kepada semua lalu lintas.

Jumlah mangsa yang berpindah pula terus meningkat kepada 30,687 orang daripada 8,701 keluarga sehingga pukul 10 malam ini berbanding 21,601 orang semalam.

Malah usaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menghantar bantuan menerusi udara ke Gua Musang dan Kuala Krai juga sekali lagi menemui kegagalan kerana cuaca buruk.

Difahamkan, MKN menggunakan lori Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghantar bantuan ke Kuala Krai dari Kota Bharu biarpun dua bandar utama, Gua Musang dan Kuala Krai terputus hubungan sepenuhnya.

Keadaan di bandar Kuala Krai dilaporkan semakin buruk manakala di Gua Musang semakin reda.

Daerah Gua Musang mencatatkan jumlah mangsa dipindahkan paling ramai iaitu 7,385 orang di 18 pusat pemindahan diikuti Pasir Mas (6,663 orang), Kuala Krai (4,864 orang), Tumpat (4,432), Jeli (1,308), Tanah Merah (1,049), Kota Bharu (464 ) dan Machang (386).

Sementara itu, Jabatan Meteo­rologi mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat merah di Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Paras air beberapa sungai di negeri ini iaitu Sungai Galas, Dabong; Sungai Kelantan, Kuala Krai; Sungai Golok, Rantau Panjang dan Jenob serta Sungai Kelantan terus meningkat melebihi paras bahaya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/kelantan-hampir-lumpuh-1.40653#sthash.7yubWrRA.dpuf

No comments:

Post a Comment