Ad

Tuesday, 16 December 2014

Struktur Masyarakat Jahiliah



[Hasil pembelajaran:menjelaskan struktur masyarakat jahiliah.]
Masyarakat jahiliah mengamalkan sistem berkabilah, iaitu satu unit sosial yang mengawal sistem pentadbiran masyarakat. Sistem masyarakat berkabilah ini adalah berlandaskan kepada pertalian darah dan keturunan yang diistilahkan sebagai semangat asabiyah.
Semangat asabiyah ialah perasaan taksub kepada kabilah dan bermegah dengan kabilahnya. Mereka memandang hina terhadap kabilah yang lain. Unit paling asas dalam sistem kabilah ialah seseorang individu yang terikat dengan kabilah masing-masing. Seterusnya, diikuti dengan unit keluarga (a'ilah) yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak yang tinggal dalam satu khemah.

       Manakala beberapa buah khemah akan membentuk satu kumpulan (hayy), dan beberapa hayy terbentuklah satu kaum. Setiap kaum akan membentuk satu kabilah.Wakil daripada kaum-kaum yang membentuk kabilah ini akan melantik seorang ketua (syeikh) untuk mengetuai kabilah mereka. Syeikh ini bertanggungjawab mempengerusikan Majlis Kabilah.[4]

       Syeikh sangat dihormati dan ditaati dalam kabilahnya. Seseorang individu atau anggota kabilah hendaklah patuh kepada syeikh dan bertanggungjawab terhadap kepentingan kabilahnya. Manakala syeikh bertanggungjawab menyelesaikan masalah dalam kabilahnya, membuat perjanjian dengan kabilah-kabilah lain, melayan tetamu dan memberi perlindungan.

       Seseorang individu dalam kabilah mestilah sanggup menolong, menuntut bela dan berkorban untuk anggota dalam kabilahnya walaupun dengan jalan berperang. Ini kerana mereka beranggapan bahawa setiap individu dalam kabilah mempunyai pertalian darah dan mempertahankan kabilah merupakan kewajipan bersama.Jika terdapat anggota kabilah mereka dibunuh oleh anggota kabilah lain, individu dalam kabilah itu mesti segera bertindak dengan menuntut bela tanpa mengira salah atau benarnya anggota kabilah yang dibunuh itu.
Kehidupan masyarakat jahiliah yang berasaskan semangat asabiyah menjadi punca perbalahan  dan peperangan berlaku sesama mereka sehingga membawa kepada perpecahan dan kemunduran.

       Dalam struktur masyarakat jahiliah, wujud susun lapis masyarakat yang jelas, iaitu kelas atasan dan kelas bawahan. Kelas ini dibezakan dari sudut kekuasaan, kekayaan, kemahiran
dan sebagainya.Wanita, golongan miskin dan hamba dikategorikan sebagai kelas bawahan.


[4] Ibid,7.

No comments:

Post a Comment