MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
30 Disember 2014
Keadaan Kampung Manek Urai, Kuala Krai yang
kembali pulih setelah dilanda banjir besar baru-baru ini,
SETELAH mengetahui keadaan
Kuala Krai kembali pulih, saya bersama wartawan Rosalwani Che Soh dan jurufoto
Khirul Shaleh merancang untuk sedaya upaya untuk memasuki kawasan yang paling
teruk dilanda banjir di Kelantan iaitu Manek Urai Lama.
Lokasi inilah dikatakan pasukan
bantuan tidak dapat disalurkan sama ada melalui darat mahupun udara ketika
kemuncak banjir yang melanda daerah ini Rabu lalu.
Setelah mengharungi jalan dari
Kota Bharu, kami tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai di sini, akibat
laluan yang masih digenangi air kami terpaksa terpaksa meredah banjir sehingga
500 meter sebelum tiba di bandar Kuala Krai.
Di kawasan bandar, kesan-kesan
kemusnahan akibat banjir mula kelihatan, beberapa anggota polis kelihatan
mengawal beberapa pasaraya yang
dikatakan diceroboh oleh orang ramai kerana kelaparan.
Satu-satunya stesen minyak di
Kuala Krai yang masih beroperasi dikerumuni orang ramai sepanjang satu
kilometer meter.
Rasanya di Malaysia, saya tidak
pernah melihat sebegitu ramai orang yang ingin mendapatkan sesuatu barangan.
Untuk bergerak ke Manek Urai
Lama, lebih kurang lima kilometer dari bandar Kuala Krai, kami mendapat bantuan
seorang pemimpin tempatan untuk ke lokasi.
Hentian pertama kami adalah di
Guchil 4, kami saksikan rumah di atas rumah. Bayangkan begitu kuat arus deras
air sehingga boleh mengubah kedudukan sebuah rumah.
Lebih mengharukan rumah milik
Rahim Ismail, 58, berada di atas rumah anaknya sendiri.
Tiba di Manek Urai Lama jam 12
tengah hari, beberapa anggota tentera membenarkan kami agar memasuki kawasan tragedi
tetapi dengan berjalan kaki kerana suasana masih kelam kabut selain kesan runtuhan rumah yang masih belum
dibersihkan.
Ia sekaligus menutup
cakap-cakap yang di viral media sosial mengatakan tentera tidak membenarkan
kawasan ini dimasuki ini dengan alasan mahu menyembunyikan sesuatu.
Sejurus melepasi jambatan Manek
Urai, saya tergamam seketika menyaksikan kemusnahan yang amat dahsyat sekali.
Bagaikan tsunami!, kawasan yang
pernah saya lawati ketika PRK Manek Urai pada 2009 alu bagaikan padang jarak
pandang tekukur.
Ada sebahagian kediaman hancur
berkecai hanya meninggalkan tiang untuk kenangan pemiliknya.
Dicelah runtuhan itu, terdapat
pemilik-pemilik rumah yang termenung kebingungan melihat kediaman lesap sekelip
mata. Air mata ada di mana-mana.
Tiada lagi rumah yang sempurna,
kesan runtuhan di mana-mana, menceritakan kisah kejadian di sana.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 30.12.14
No comments:
Post a Comment