Bermula edisi pertama pada
1957, akhbar ini menggunakan kandungan yang sama dengan akhbar Straits Times.
Pada ketika itu, Berita Harian menggunakan gambar Tunku Abdul Rahman Putra
untuk menghiasi muka depannya dengan harga 15 sen.
Hanya lapan kakitangan bertugas
ketika itu sebelum pelantikan pengarang pertama, Abdul Samad Ismail pada tahun
1958. Dalam tempoh itu, Berita Harian terus berusaha untuk muncul sebagai
sebuah akhbar perdana dengan imej tersendiri termasuk melancarkan Berita Minggu
pada 10 Julai 1960 dan akhirnya pada 1966 satu konsep baru 'masthead'
diperkenalkan.
Tahun 1972 menyaksikan tampuk
kepemimpinan di Berita Harian diambil alih oleh Abdul Wahab Zain yang sepanjang
pembabitannya sebagai pengarang berjaya menambah dua muka surat tambahan menjadikan
keseluruhan 12 muka surat pada tahun 1974.
Fokus penambahan ketika itu
menumpukan kepada ekonomi, nota fotografi, tip menghadapi peperiksaan, lebih
penumpuan kepada hiburan, berita luar negara dan rencana umum.
Sebelum beliau mengundur diri
pada tahun 1975, Berita Harian berjaya menaikkan harga jualannya kepada 25 sen
sebelum akhirnya Abdul Samad Said dilantik menjadi pengarang selama dua tahun
bermula tahun 1976 hingga 1978 dan digantikan pula Salim Kajai pada tahun 1978.
Perubahan besar
Dalam era kepemimpinan Salim
Kajai, dua perubahan besar berjaya dicapai iaitu pelancaran Edisi Bandar Berita
Harian pada tahun 1979 dan sekali lagi imej baharu pada 'masthead' selain
seksyen baharu yang memberi sedikit penekanan terhadap elemen hiburan. Kali ini,
harga jualan juga meningkat kepada 35 sen senaskhah dan dinaikkan sekali lagi
kepada 45 sen sebelum Adibah Amin dilantik sebagai pengarang pada tahun 1983.
Setahun selepas itu, Ahmad Sebi
Abu Bakar dilantik menggantikan Adibah dengan jawatan Pengarang Kumpulan dan
satu kejayaan terbesar di bawah pimpinannya ialah apabila Berita Harian dan
Berita Minggu disatukan di bawah Berita Harian Sdn Bhd pada tahun 1985. Pada 20
Oktober tahun sama, Akhbar Dalam Darjah (ADD) dilancarkan.
Dua tahun memimpin Berita Harian,
Ahmad Sebi digantikan A Kadir Jasin yang berperanan besar dalam memperkenalkan
Anugerah Bintang Popular (ABP) pada Disember 1987 sebelum melepaskan
kepemimpinan itu kepada Ahmad Nazri Abdullah pada 8 April 1988. Pembabitan
Ahmad Nazri selama 10 tahun sebagai Pengarang Kumpulan mencetuskan kelahiran
akhbar tabloid sukan, Jaguh pada 8 Ogos 1989 yang mempunyai 16 muka surat.
Berita Harian juga
memperkenalkan tema terbaharu pada 2 Disember 1991 iaitu `Sumber Ilmu dan
Maklumat Mutakhir'. Pada 1 Jun tahun sama, keluaran khas harian diterbitkan
iaitu Berita Pelajar, Berita Wanita, Berita Teknologi, Jaguh, Perspektif dan
Dunia. Pada 4 Disember 1993, Minda Pelajar diterbitkan dan serentak itu harga
Berita Harian dinaikkan kepada 70 sen sebelum pengenalan kepada tabloid Didik
pada 23 Januari 1995.
Langkah Berita Harian semakin
panjang dalam memenuhi kehendak semua golongan termasuk wanita apabila secara
rasmi menerbitkan akhbar mingguan Citra dengan tema 'Bicara Wanita
Kontemporari' pada 23 Februari 1995 dan dijual dengan harga RM1.
Sisipan Joran beri impak besar
Antara kejayaan terbesar Berita
Harian dalam menarik kelompok pembaca ialah apabila melancarkan sisipan Joran
pada 4 Oktober 1996 yang nyata memberi impak besar terhadap akhbar ini
menjelang sambutan ulang tahun ke-40 setahun selepas itu yang menyaksikan Grand
Prix Joran diperkenalkan.
Selepas 10 tahun memimpin
Berita Harian sehingga Julai 1998, tempat Ahmad Nazri diambil alih Ahmad Rejal
Arbee yang sekali gus menaikkan harga Berita Harian kepada RM1.20 serta
merombak beberapa pengisian dalam akhbar ini.
Beliau mengorak langkah merubah
rupa bentuk Berita Harian pada tahun 2000 yang menggunakan `masthead' baharu
dengan grafik lebih menarik dan penambahan kepada ruang berita, rencana dan
analisis.
Tahun 2001 wajar diberi gelaran
tahun pendidikan kerana ketika itu, dua tabloid dijadikan sisipan percuma untuk
pembaca Berita Harian yang mana Didik diberi secara percuma bermula isu 6
hingga 12 Februari dan Minda Pelajar pada 5 hingga 11 Februari sebelum Skor
pula dilancarkan pada 26 April 2001 sebagai tabloid pendidikan ketiga,
memfokuskan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM).
Ubah reka letak
Menyedari kepentingan menarik
golongan muda, Berita Harian mengubah reka letaknya pada 6 Januari 2003 kepada
sesuatu yang lebih segar dan mesra pembaca dengan pengisian mendekati pembaca
muda. Tahun sama juga menyaksikan Hishamuddin Aun dilantik sebagai Pengarang
Kumpulan yang memimpin Berita Harian selama tiga tahun.
Pelantikannya mencorak satu
lagi imej baharu apabila satu sisipan baharu diperkenalkan pada 4 Oktober 2003.
Sisipan itu, Ikon nyata sekali menyasarkan golongan muda dan diselitkan bersama
akhbar ini pada setiap Sabtu. Pada tahun sama juga, satu lagi sisipan diperkenalkan
iaitu EPG (Emas, Perak, Gangsa) yang menggantikan edisi Jaguh sebagai sisipan
sukan.
Semua usaha keras warga Berita
Harian mula menampakkan hasil apabila pada Januari 2004, purata jualan akhbar
ini mencapai 238,000 naskhah sehari yang menjadi titik tolak kepada kemunculan
edisi muka depan untuk Wilayah, Tengah, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah -
Sarawak, Timur, Utara dan Selatan. Pada tahun sama, Berita Harian
memperkenalkan kolum Hello YB. Pada 23 Ogos 2004, edisi Tengah ditukar nama
kepada Sentral.
Harga Berita Harian dinaikkan
sekali lagi pada 2005 kepada RM1.50 dan sekali lagi Berita Harian merubah reka
letak dan grafiknya untuk kelihatan lebih muda serta dinamik pada 20 Jun 2005.
Penggunaan maklumat ringkas dan fakta nombor menjadi satu elemen baharu yang
diperkenalkan.
Pelantikan Hishamuddin sebagai
Ketua Pengarang Kumpulan NSTP membolehkan Datuk Manja Ismail dilantik Pengarang
Kumpulan pada 1 April 2006. Pengenalan kepada RakanBH pada 10 April 2006
membolehkan pembaca berpeluang berkongsi pandangan serta komen menggunakan
telefon bimbit.
Ramuan kejayaan
Satu perkara yang jelas, apa
pun perubahan atau pembaharuan yang dilakukan sama ada dalam aspek reka letak,
kandungan atau saiz akhbar, DNA BH tetap sama, iaitu mengambil pendekatan yang
moderat atau sederhana.
Sebab itu, daripada edisi
pertama BH pada 1 Julai 1957, akhbar ini menjelaskan berita dan laporan yang
disiarkan adalah yang disukai serta sesuai untuk seisi keluarga.
Inilah ramuan kejayaan BH
diwarisi sehingga sekarang. Hari ini BH menggunakan moto `Merentas Generasi'
serta slogan `Satu Untuk Semua' yang turut membawa maksud untuk seisi keluarga
serta masyarakat pada semua peringkat umur, jantina dan kaum.
Sikap moderat BH inilah yang
membolehkan akhbar ini terus bertahan, terutama di sekolah termasuklah di
sekolah aliran Cina dan Tamil.
Bagaimanapun, ini tidak
bermakna BH memandang ringan ancaman media baharu. Kita akui media baharu dan
internet telah banyak mengubah cara masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang
kini tidak saja terbatas menerusi akhbar, malah pelbagai medium lain, termasuk
telefon bimbit. Apa yang disiarkan akhbar hari ini juga mungkin bukan lagi
berita kerana maklumat itu sudah pun tersebar meluas dalam media sosial.
Inilah yang sedang digarap BH
dengan mengimbangkan kelebihan media baharu dan akhbar yang sudah tentu masih
mempunyai kekuatan dan keunikannya tersendiri.
BEKAS PENGARANG KUMPULAN BERITA
HARIAN
Tan Sri A Samad Ismail
(1958-1972)
Abdul Wahab Zain (1972-1975)
Datuk A Samad Said (1976-1977)
Salim Kajai (1978-1983)
Adibah Amin (1983-1984)
Datuk Ahmad Sebi Abu Bakar
(1984-1986)
Datuk Abdul Kadir Jasin
(1986-1988)
Datuk Ahmad Nazri Abdullah
(1988-1998)
Datuk Ahmad Rejal Arbee
(1998-2003)
Datuk Hishamuddin Aun
(2003-2006)
Datuk Manja Ismail (2006-2009)
Datuk Mior Kamarul Shahid
(2009-Oktober 2013)
Datuk Mahfar Ali (2013-kini)
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment