MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 26
Disember 2014 12:29 AM
Jacksen F. Tiago
KUALA LUMPUR – Biarpun hadir
dengan reputasi tinggi selaku bekas pengendali skuad kebangsaan Indonesia,
jurulatih baharu Pulau Pinang yang berasal dari Brazil, Jacksen F. Tiago tidak
merasai sebarang tekanan untuk meletakkan skuad Harimau Kumbang itu kembali
sebaris dengan gergasi-gergasi Liga Malaysia pada musim 2015.
Ditambah sasaran pihak
pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang berhajat menyaksikan
pasukan mereka berada dalam kelompok dua teratas Liga Perdana untuk layak ke
Liga Super pada 2016, jurulatih yang mesra dengan panggilan Mamu Jacksen dalam
kalangan peminat di Pulau Pinang berkata, dia sudah terbiasa bagi menghadapi
keadaan sedemikian.
“Sebenarnya diri saya cukup
bertuah kerana ke mana-mana sahaja pasukan yang saya pergi, mereka adalah
sebuah kelab yang besar dan meletakkan sasaran yang cukup tinggi.
“Saya sudah lali dengan situasi
ini apabila majikan meletakkan harapan yang agak tinggi dan saya telah buktikan
semasa di Persipura apabila membawa mereka pada musim lalu layak ke separuh
akhir Piala AFC.
“Perkara ini adalah normal
dalam bola sepak dan saya langsung tidak berasa sebarang tekanan di Pulau
Pinang serta memenuhi harapan yang disandarkan asalkan mereka menyokong saya
setiap masa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam tiga perlawanan
persahabatan dilalui Pulau Pinang di bawah kendalian Jacksen, dua kemenangan
serta satu seri dicatat dan yang terbaharu mereka menewaskan pasukan dari Liga
Super, Sime Darby dengan keputusan 3-0 di Stadium Bandaraya, Isnin lalu.
Sebelum itu, mereka menewaskan
skuad dari Liga FAM, Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), 2-1 dan seri
2-2 menentang skuad Piala Presiden Pulau Pinang.
Pada malam ini, Harimau Kumbang
bakal melalui cabaran sebenar apabila akan menguji juara Liga Super, Johor
Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bandaraya dan dia menganggap itu sebagai satu
perlawanan yang cukup sesuai menguji karakter sebenar anak-anak buahnya.
“Dalam beberapa perlawanan
sebelum ini, saya nampak tahap keserasian mereka semakin baik dan faham corak
taktikal yang saya mahu serapkan cuma kita memerlukan beberapa perlawanan
pemanas badan bagi membentuk skuad ini agar lebih bersedia.
“Menentang JDT, saya rasa ini
perlawanan paling sukar, namun cukup bagus bagi tujuan pendedahan, saya tidak
sabar untuk melihat sejauh mana kemampuan mereka bertemu pasukan-pasukan
besar,” katanya.
Pulau Pinang bakal
mempertaruhkan ayam tambatan baharu dari Brazil, Alberto Goncalves Da Costa
yang telah menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan persahabatan serta dua lagi
pemain dari negara yang sama, Reinaldo Lobo dan Hilton Moreira, selain khidmat
pemain Korea Selatan, Lee Gil Hoon yang dikekalkan dari musim lalu.
Jacksen pernah mengendalikan
pasukan kebangsaan Indonesia pada tahun lalu bagi menghadapi kelayakan Piala
AFC 2015 dan menjadi ketua jurulatih bagi lima kelab berbeza di Liga Super
Indonesia (ISL) serta Liga Premier Indonesia (IPL).
Bersama Persipura Jayapura
semenjak 2008, dia membawa kelab itu muncul juara ISL sebanyak tiga kali dan
mencatat sejarah sebagai kelab bola sepak Indonesia mara ke separuh akhir Piala
AFC sebelum tewas kepada kelab Kuwait, A-Qadsia.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jacksen-tidak-tertekan-bimbing-harimau-kumbang-1.40880#sthash.tjj1jHul.dpuf
No comments:
Post a Comment