Ad

Thursday, 25 December 2014

'Tolong kami, air makin tinggi'



Wartawan Sinar Harian
25 Disember 2014
Keadaan air di Sungai Kelantan bagaikan lautan, semalam
    Keadaan air di Sungai Kelantan bagaikan lautan, semalam           KOTA BHARU - “Tolonglah kami, kami terperangkap dan air semakin tinggi dalam rumah, tiada bantuan dan kami menuju ke bukit berhampiran untuk menyelamatkan diri.”Itu rayuan seorang mangsa banjir yang menghubungi wartawan Sinar Harian apabila rumah mereka di Manek Urai,  Kuala Krai,  dilimpahi arus deras banjir.Wanita yang dikenali sebagai Wan Amina memohon bantuan Sinar Harian untuk melaporkan kepada pihak berkuasa kerana keadaan sekitar kampung mereka lumpuh sepenuhnya tanpa mendapat bantuan sebarang pihak.

“Kami sangat takut, anak kecil menangis, ada orang tua yang sakit, tolonglah kami supaya dapat keluar dari sini," katanya sambil menangis teresak-esak.

Keadaan genting itu adalah sebahagian daripada kisah banjir melanda hulu Kelantan, yang dianggap terburuk dalam sejarah negeri ini.

Hujan lebat tanpa henti di kawasan hulu membawa arus deras memasuki beberapa daerah utama di negeri ini, malah kenaikan paras air yang mendadak di beberapa kawasan di sekitar Kota Bharu bagaikan mengimbau kembali pengalaman bencana alam yang sama pernah berlaku pada 1962.

Walaupun dalam kawalan, pihak berkuasa mengakui beberapa lokasi di daerah ini, mangsa tidak dapat dipindahkan berikutan arus deras yang membahayakan anggota penyelamat.

Malah, beberapa helikopter bantuan makanan tidak dapat mendarat, ekoran cuaca yang tidak mengizinkan dan terpaksa berpatah balik ke Kota Bharu.

Bandar Kuala Krai juga  hampir  lumpuh sepenuhnya apabila  banjir memenuhi bandar itu termasuk beberapa pejabat kerajaan. 

Pintu masuk ke Kelantan juga turut  terputus apabila Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, air melimpah di Sungai Durian, sementara Simpang Pulai-Cameron Hinglands ditutup kerana tanah runtuh. Selain itu pintu masuk  dari arah utara juga lumpuh berikutan tanah runtuh banjaran
Titiwangsa di laluan lebuh raya Timur-Barat.

Sementara itu di Kota Bharu, setakat jam 7 petang,  air dari hulu Kelantan mula melimpah, malah pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) telah memindahkan beberapa pesakit ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. 
Berdasarkan laporan portal e.banjir kerajaan negeri, sehingga jam 6 petang semalam, sebanyak 126 pusat pemindahan banjir dibuka iaitu pertambahan 30 pusat pemindahan melibatkan 26,749 mangsa banjir daripada 8,101 keluarga yang dipindahkan berbanding kelmarin, hanya 21,600 mangsa.

Jajahan Pasir Mas masih lagi mencatatkan jumlah keluarga dipindah paling ramai iaitu 2,294 keluarga melibatkan 21 pusat pemindahan untuk menempatkan 6,641 mangsa .

Manakala jajahan Gua Musang pula sebanyak 18 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan 7,285 mangsa daripada 1,880 keluarga dan ditempatkan di tiga daerah utama iaitu Galas, Chiku serta  Bertam.

Selain itu, beberapa jalan utama beberapa jajahan di sini turut terjejas kesan daripada limpahan air sungai yang mula memasuki bandar dan kawasan perumahan.

Jajahan Machang catatkan angka paling tinggi apabila tujuh jalan utama kini ditutup kepada semua kenderaan.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 2.12.14

No comments:

Post a Comment