Ad

Tuesday 30 December 2014

FAM, PFA bakal diheret ke FIFAMUHAMMAD DAYNE AZMIN



  |  31 Disember 2014 12:25 AM
 Izham Ismail (duduk tengah), Hairuddin Omar (duduk dua dari kiri),
Izham Ismail (duduk tengah), Hairuddin Omar (duduk dua dari kiri),
 
Izham Ismail (duduk tengah), Hairuddin Omar (duduk dua dari kiri), Khairi Zainudin (duduk dua dari kanan) dan beberapa pemain Perlis mengangkat kad tertera kata-kata menggesa PFA menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain-pemain Perlis yang mereka dakwa tidak dibayar sejak Jun lalu, semasa sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal diheret ke mahkamah, malah sehingga ke peringkat Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) sekiranya mereka gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain Perlis yang telah berlarutan lima bulan.

Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM) ternyata telah hilang sabar kerana isu itu telah berlarutan lama sehinggakan terpaksa memberikan kata dua itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, pihaknya berharap PFA terutamanya Presiden, Datuk Rozabil Abd. Rahman serta FAM tidak mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung isu itu kerana pemain-pemain Perlis kini sengsara tanpa sumber pendapatan sejak Liga Perdana berakhir pada Jun lalu.

“Dua surat rasmi berhubung isu ini telah dihantar kepada PFA pada 29 September dan 16 Oktober. Afidavit pemain-pemain kepada FAM pula telah dihantar pada 12 November namun sehingga kini tiada sebarang tindakan daripada kedua-dua pihak berkenaan.

“Oleh itu, kami tidak akan ter­agak-agak untuk membawa isu ini ke mahkamah atau FIFA jika PFA atau FAM tidak cuba membantu kami menyelesaikan isu ini dalam masa terdekat.

“Mereka seolah-olah mengambil sikap tunggu dan lihat. Sepatutnya isu ini sudah boleh diselesaikan (lebih awal) tetapi (kini) sudah lewat hingga lima bulan.

“Apabila kami membawa kes ini kepada pihak media dan bertindak lebih agresif melalui kenyataan penaung kami, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, barulah PFA memberikan respon tetapi kenyataan mereka pula bercanggah, akhirnya masa berjalan (tanpa ada tindakan) dan pemain merana,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Presiden PFAM, Hairuddin Omar semalam.

Sebanyak 12 daripada 24 pemain Perlis terpaksa bergantung sepenuhnya kepada usaha PFAM selepas jalan perbincangan dengan PFA serta bantuan yang diharapkan daripada FAM sejak Ogos lalu me­nemui jalan buntu.

Dua belas pemain berkenaan adalah Khairi Zainuddin, Muhammad Faizal Nasir, Farizal Rozali, Amirul Seman, Farouk Hashim, Zahid Ahmad, Zairi Hafiezi, Suvihart Shian, Arfan Rashid, Fazuan Abdullah, Fitri Jamaluddin dan pemain dari Ivory Coast, Dao Bakary.

Sementara itu, Khairi yang mewakili rakan-rakannya berkata, mereka pada awalnya tidak mahu menghebahkan masalah mereka kepada pihak media namun apabila tiada maklum balas positif daripada PFA setelah beberapa sesi perbincangan diadakan, PFAM sahaja menjadi harapan terakhir mereka agar gaji yang tertunggak lima bulan lalu dapat dinikmati oleh semua pemain.

“Sebenarnya, kami cuba mewujudkan situasi menang-menang tetapi nampaknya tiada sebarang usaha daripada PFA mahu membayar gaji kami sejak Jun lalu, jadi ini adalah ikhtiar kami.

“Bayangkan ada antara kami yang kereta mereka telah ditarik balik, meminjam wang saudara-mara bagi meneruskan kehidupan dan saya sebagai ketua pasukan berasa bertanggungjawab untuk membela nasib kawan-kawan,” katanya.

Dia juga mendakwa PFA telah membuat tindakan silap dengan menganggap tidak perlu membayar gaji pemain sebaik sahaja Perlis tersingkir daripada pertandingan Piala Malaysia menerusi perlawanan terakhir pada 24 Jun lalu.

“Bila isu ini keluar, ada panda­ngan yang kurang tepat (daripada PFA) apabila menyatakan gaji kami hanya dibayar hingga Jun sahaja, sedangkan kontrak kami yang telah diteliti oleh Pesuruhjaya Sumpah, jelas menyatakan gaji semua pemain perlu dibayar hingga November.

“Pembayaran terakhir yang dilakukan pada 15 September lalu oleh Presiden PFA adalah gaji bagi bulan Jun dan dia patut tengok kontrak dahulu, fahamkan betul-betul dan bukannya membuat kesimpulan sendiri.

“Perjumpaan yang diadakan pada September lalu pun tidak mendapat persetujuan daripada majoriti pemain apabila ramai pemain tidak dapat datang kerana terpaksa balik ke kampung masing-masing setelah tiada pendapatan,” katanya.

Tegasnya, di dalam perjumpaan itu juga pemain yang hadir telah menolak cadangan PFA yang hanya mahu membayar gaji hingga bulan Jun sahaja.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/fam-pfa-bakal-diheret-ke-fifa-1.42831#sthash.T6cJk6x1.dpuf

No comments:

Post a Comment